Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ESM Goh: S’pura perlu pasukan terkuat hadapi dunia mencabar

May 1, 2025 | 7:57 PM
Goh Chok Tong, PAP
Dalam satu hantaran di Facebook pada 25 April, Menteri Kanan Emeritus (ESM), Encik Goh Chok Tong, berkata pengundi perlu membuat keputusan antara mempunyai lebih ramai pembangkang di Parlimen dengan pemerintah yang lebih lemah, atau memberi Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) mandat yang kuat untuk mentadbir Singapura. - Foto ST

Dakwaan pembangkang bahawa pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) tidak akan menjadi lemah jika ia kehilangan menteri adalah taktik pilihan raya yang mengelirukan pengundi, kata Menteri Kanan Emeritus, Encik Goh Chok Tong.

Dalam hantaran di Facebook pada 30 April, Encik Goh menggunakan analogi pasukan bola sepak untuk merujuk kepada pemegang jawatan politik Singapura.

“Jika empat pemain berpengalaman dalam pasukan bola sepak seramai 11 orang yang memulakan perlawanan tidak hadir, adakah pasukan itu akan menjadi lebih lemah?

“Menurut pembangkang, jawapannya adalah ‘tidak’. Kerana anda boleh menggunakan pemain simpanan, kata mereka,” tulisnya.

“Mana mungkin? Walaupun dengan pemain gantian yang berkebolehan, tiada yang menandingi adanya pasukan pertama anda di padang,” katanya.

Sepanjang tempoh berkempen, pelbagai parti pembangkang berhujah bahawa lebih ramai Anggota Parlimen (AP) pembangkang di Parlimen tidak akan melemahkan pemerintah, dan sebaliknya menghasilkan lebih banyak idea dan penelitian dasar yang akan memberi manfaat kepada warga Singapura.

Dalam hantarannya, Encik Goh memberi gambaran Parti Pekerja (WP) memenangi kesemua 26 kerusi yang ditandinginya dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), dan Parti Kemajuan Singapura (PSP) memenangi lima kerusi di GRC West Coast-Jurong West.

Ini akan menghasilkan ‘garis markah’ 66 AP PAP dan 31 AP pembangkang, kata Encik Goh, yang merupakan mantan perdana menteri kedua Singapura.

WP meletakkan 26 calon dalam tiga Kawasan Undi Perseorangan (SMC) dan lima Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC), termasuk GRC East Coast, GRC Punggol dan GRC Tampines.

Kekalahan PAP di lapan kawasan itu dan GRC West Coast-Jurong West bermakna kehilangan 10 pemegang jawatan politik, kata Encik Goh.

Ini termasuk empat menteri berpengalaman – Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Gan Kim Yong, yang bertanding di GRC Punggol; Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, di GRC East Coast; Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, di GRC Tampines; dan Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, di GRC West Coast-Jurong West.

“Ini tidak dapat dinafikan akan menghambat PM (Perdana Menteri, Encik Lawrence) Wong untuk penggal pemerintah yang akan datang. Beliau akan mendapati sukar untuk bermain menentang pasukan lain di pentas sejagat,” katanya.

“Dalam dunia yang berisiko menjadi ‘might is right’ (yang menetapkan bahawa negara yang lebih berkuasa bebas melakukan apa sahaja), kita memerlukan pasukan terkuat untuk titik merah kita.”

Sebelum ini, Encik Goh, dalam satu hantaran di Facebook pada 25 April, berkata pengundi perlu membuat keputusan antara mempunyai lebih ramai pembangkang di Parlimen dengan pemerintah yang lebih lemah, atau memberi Encik Wong dan PAP mandat yang kuat untuk mentadbir Singapura.

Pada 30 April pula, beliau berkata: “Singapura berhak mendapat pasukan terbaik untuk memimpin kita di peringkat domestik dan antarabangsa. Ia juga berhak mendapat perbahasan politik yang jujur.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg