Adalah hujah yang tidak masuk akal untuk mengatakan Parti Tindakan Rakyat (PAP) boleh kehilangan menteri tanpa melemahkan pemerintah, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, pada 29 April.
Ini kerana setiap pasukan terdiri daripada pelbagai anggota, ada yang memainkan peranan lebih penting, yang lain pula melengkapi pasukan, kata Encik Lee semasa lawatan beliau ke Pasar dan Pusat Makanan Bedok Reservoir Road di GRC Aljunied.
“Jika tidak penting siapa yang ada dalam pasukan, maka tiada kesukaran membentuk sebuah pemerintah yang baik dengan sesiapa sahaja (dan) kita tidak perlu kumpulkan pasukan yang terdiri daripada individu bermutu,” jelas Encik Lee.
Itu merupakan respons Encik Lee terhadap komen Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh.
Pada 28 April, Encik Pritam berkata jika kesemua 26 calon WP dipilih memasuki Parlimen dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), pemerintah tetap akan mempunyai “ruang yang memadai, tumpuan yang mencukupi”.
Encik Pritam turut berkata Singapura akan menghadapi masalah jika Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, tidak mempunyai menteri lain dalam Kabinet yang dapat berunding dengan Amerika Syarikat mengenai tarif selain Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.
Encik Pritam mendakwa Encik Gan sudah bersedia untuk bersara sebelum GE2025 dan, jika dipilih semula, beliau kemungkinan hanya akan berkhidmat untuk satu penggal sahaja.
Menurut Encik Lee, Encik Pritam berkata demikian kerana mahu meraih sokongan bagi calon WP di GRC Punggol, yang berdepan dengan pasukan PAP yang diketuai Encik Gan.
Mengenai hujah Encik Pritam bahawa kemudahan seperti hospital dan stesen kereta api akan terus dibina jika pasukan pembangkang dipilih, Encik Lee berkata kemudahan asas dan perkhidmatan pemerintah dibangunkan di serata negara.
“Tetapi adakah Anggota Parlimen (AP) di sesebuah kawasan undi membuat perbezaan? Jawapannya adalah ya,” katanya.
Calon PAP di GRC Aljunied akan mengutamakan kepentingan penduduk dan mampu menjalin kerjasama dengan pemerintah bagi memastikan kebimbangan dan keperluan penduduk difahami, tambahnya.
Apabila ditanya mengenai dakwaan WP bahawa parti pemerintah belum mengemukakan rancangan lima tahun untuk GRC Aljunied, Encik Lee berkata dakwaan itu “tidak wajar”, kerana Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim, juga berkata parti mereka tidak mempunyai rancangan lima tahun bagi kawasan undi baru yang mereka tandingi.
Cik Chan Hui Yuh, 48 tahun, yang mengetuai pasukan PAP di GRC Aljunied, berkata jika dipilih, mereka akan memberi nafas baru kepada bandar itu.
Encik Lee berkata: “(Bagi) PAP, jika anda ingin tahu apakah rancangan kami, lihat di sekitar anda.
“Lihat rumah yang telah kami bina, kereta api yang sedang beroperasi, perkhidmatan yang kita nikmati – itu adalah apa yang telah kami bina untuk Singapura di semua kawasan.”
Beliau turut mengulas walaupun WP mendakwa mendapat penarafan hijau dalam laporan pengurusan majlis bandaran oleh Kementerian Pembangunan Negara (MND), “namun ada (penanda) yang lebih hijau daripada yang lain”, katanya, merujuk kepada sebuah taman di Aljunied “di mana (tempat) buaian tidak dilengkapi buaian selama dua tahun”.
“Sekiranya saya boleh mula dengan membetulkan perkara seperti itu dan memastikan ia berada pada tahap yang sepatutnya, yang saya yakin pasukan PAP kami mampu lakukan, itu sudah cukup bermakna,” katanya.
Encik Lee berkata beliau mengunjungi kawasan seperti Aljunied dan Jalan Kayu untuk menunjukkan kepada pengundi kawasan itu penting bagi PAP dan parti pemerintah memandang serius pilihan raya ini.
WP menguasai GRC Aljunied sejak 2011 dan pada GE2020, mereka menewaskan PAP dengan 59.9 peratus undi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg