Bak kata pepatah, bagai sirih pulang ke gagang, Kaki Bukit bukan kawasan yang asing bagi Anggota Parlimen (AP) baru GRC Aljunied, Encik Fadli Fawzi, daripada Parti Pekerja (WP).
Ia bukan sahaja tempat Encik Fadli meningkat dewasa, bahkan beliau kini masih tinggal di bahagian Bedok Reservoir merangkumi Kaki Bukit.
Encik Fadli, peguam berusia 44 tahun itu akur divisyen Kaki Bukit di bawah GRC Aljunied bukanlah tapak Kaki Bukit yang asal.
Namun, bagi dirinya, beliau tetap menganggap kawasan itu bak ‘kampung halaman’.
“Bukit asal di Bedok Reservoir telah diratakan, tetapi orang tetap merujuk kawasan itu sebagai Kaki Bukit kerana ia berada di kaki bukit,” kata Encik Fadli.
“Divisyen Kaki Bukit sendiri, yang pada dasarnya ialah kawasan Bedok North, terletak sekitar 10 minit dari tempat tinggal saya.
“Kawasannya mirip seperti Kaki Bukit di mana saya membesar, daripada cara flatnya disusun atur hingga ke selekoh jalan rayanya.
“Saya berasa begitu selesa di sini,” kata beliau kepada Berita Harian (BH).
Encik Fadli dipilih menjadi AP kawasan itu setelah pasukan WP – terdiri daripada Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh; Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim; Encik Gerald Giam; dan Encik Kenneth Tiong – berjaya mempertahankan kubu kuat mereka di Aljunied dengan 59.68 peratus undi dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada Mei lalu.
Beliau menggantikan Encik Faisal Manap, yang berkhidmat di Kaki Bukit selama 14 tahun sebelum ini, tetapi bertanding di Tampines GRC pada GE2025.
Encik Fadli mungkin seorang AP kali pertama dan pendatang baru di Aljunied, namun, beliau bukan muka baru dalam masyarakat mahupun bidang politik.
Beliau telah menyertai WP sejak 2013 dan telah bertanding dan tewas di GRC Marine Parade pada GE2020.
Sejak menang di GRC Aljunied pada Mei lalu, Encik Fadli giat menjalankan kegiatan untuk penduduk kawasan itu, katanya.
Antaranya, Encik Fadli telah memulakan inisiatif baru dengan mengadakan ceramah mengenai Surat Kuasa Berkekalan (LPA) di beberapa kejiranan.
Pihak peguam kemudian mengesahkan dokumen tersebut secara percuma.
LPA adalah dokumen undang-undang yang membolehkan seseorang melantik seorang atau lebih individu untuk membuat keputusan berhubung kebajikan peribadi dan/atau hartanah serta hal ehwal beliau sekiranya individu itu hilang keupayaan mental pada masa depan.
“Ini adalah khidmat penting kerana pengetahuan mengenai LPA masih rendah. LPA akan menjadi lebih penting, lebih-lebih lagi dalam masyarakat yang semakin menua.
“Oleh itu, saya berharap penduduk Kaki Bukit, terutamanya mereka yang menjaga warga emas kita, akan meraih manfaat daripada usaha ini,” kata beliau.
Encik Fadli berkongsi bahawa mantan AP Encik Faisal amat aktif dalam pelbagai program kebajikan dan pendekatan untuk penduduk, terutama mereka yang kurang mampu.
Ia merupakan usaha yang akan beliau teruskan, katanya.
Malah, setelah menang dalam GE2025, Encik Faisal telah meluangkan banyak masa memperkenalkan Encik Fadli kepada individu yang berbeza dan membantu beliau membiasakan diri dengan isu yang dihadapi penduduk dan estet di Kaki Bukit.
Sememangnya, isu berkaitan golongan warga emas dan penjaga merupakan sesuatu yang dekat di hati Encik Fadli.
Menurut perangkaan oleh akhbar The Straits Times (ST) berdasarkan data Jabatan Perangkaan Singapura, 28.7 peratus penduduk di GRC Aljunied berusia antara 46 dengan 65 tahun.
Lagi 22 peratus penduduk di kawasan itu berusia lebih 65 tahun.
Dengan ramai penduduk Kaki Bukit berusia lanjut – mencerminkan penduduk semakin menua di Singapura – Encik Fadli berkata isu tersebut adalah relevan untuk dibincangkan di peringkat nasional.
Namun, beliau menambah bahawa perkara berkaitan yang tidak harus dilupakan juga adalah mengenai sokongan dalam penjagaan.
“Meskipun penjagaan bagi warga emas adalah sebahagian besar daripada isu yang harus dibincangkan kita juga tidak boleh melupakan keperluan penjaga dalam keluarga yang juga termasuk menjaga kanak-kanak berkeperluan khas dan ahli keluarga dengan isu kesihatan mental.
“Kita harus memberi sokongan dan pengiktirafan sewajarnya kepada penjaga,” tambah beliau.
“
Sebagai bapa yang bekerja, saya memahami banyak cabaran yang ibu bapa hadapi. Walaupun saya bernasib baik kerana mempunyai sokongan yang baik dan keadaan kerja yang lebih fleksibel, saya berharap dapat mendorong lebih banyak sokongan untuk ibu bapa mengimbangi tanggungjawab mereka di tempat kerja dan di rumah.“Akhir sekali, sebagai bapa yang bekerja, saya memahami banyak cabaran yang ibu bapa hadapi.
“Walaupun saya bernasib baik kerana mempunyai sokongan yang baik dan keadaan kerja yang lebih fleksibel, saya berharap dapat mendorong lebih banyak sokongan untuk ibu bapa mengimbangi tanggungjawab mereka di tempat kerja dan di rumah,” kata beliau.
Dari segi isu perbandaran pula, keutamaan beliau adalah untuk memastikan estet kejiranannya dikendalikan dengan baik, di samping mencari peluang mempertingkat prasarana tempatan seperti laluan pejalan kaki berbumbung.
Encik Fadli juga sedang meneliti beberapa trend.
Sedang penduduk semakin menua, beliau berkata persekitaran binaan juga perlu berubah dengan mengambil pertimbangan keperluan warga emas.
Ini seperti peningkatan kepada keselesaan mencari jalan dari satu tempat ke tempat yang lain dalam kejiranan dan ruang bagi warga senja boleh kekal aktif dan bersosial.
Sementara itu, Encik Fadli turut mendapati bahawa tingkah laku generasi muda juga sedang berubah dan ini menjejas beberapa institusi komersial di Kaki Bukit, seperti pasar basah.
“Saya sedang memerhatikan bagaimana ini akan menjejas vendor tempatan, terutamanya kerana terdapat pasar basah di Blok 538 dan Blok 511,” kata beliau.
Sebagai AP Melayu/Islam, Encik Fadli berharap dapat memperjuangkan isu berkaitan kemiskinan, mobiliti sosial dan diskriminasi dalam masyarakat.
Isu itu turut menjadi keprihatinannya semasa beliau berkhidmat sebagai pegawai pembangunan dasar di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dahulu.
“Sebagai seseorang yang dilatih sebagai ahli sosiologi dan peguam, saya ingin mendekati isu-isu ini bukan hanya melalui pendekatan berasaskan masyarakat, malah dengan menangani struktur, institusi dan perundangan yang lebih luas di Parlimen,” kata beliau.
Dengan pengalaman kerjaya dan pendidikannya yang pelbagai, Encik Fadli berharap dapat membawa pendekatan segar kepada perbahasan dan penelitian rang undang-undang di Parlimen nanti.
“Saya berharap dapat membantu membina sebuah masyarakat dan negara di mana terdapat ruang untuk semua orang berkembang maju dan berjaya,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg