Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faisal hargai sokongan penduduk GRC Tampines, Aljunied

May 4, 2025 | 2:47 AM
Naib pengerusi Parti Pekerja (WP), Encik Faisal Manap (tengah), menyampaikan ucapan di Stadium Serangoon pada 4 Mei. Beliau ditemani sebilangan anggota pasukan WP di GRC Tampines, Dr Ong Lue Ping (kiri) dan Encik Michael Thng.
Naib pengerusi Parti Pekerja (WP), Encik Faisal Manap (tengah), menyampaikan ucapan di Stadium Serangoon pada 4 Mei. Beliau ditemani sebilangan anggota pasukan WP di GRC Tampines, Dr Ong Lue Ping (kiri) dan Encik Michael Thng. - Foto BM oleh KHALID BABA

Naib Pengerusi Parti Pekerja (WP), Encik Faisal Manap, yang kalah tipis di GRC Tampines, reda dengan keputusan Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) dan meluahkan penghargaan kepada pengundi dan penyokong parti.

Pasukan WP di GRC Tampines, yang turut disertai pengasas bersama firma pembekalan peralatan industri Immanuel Engineering, Encik Jimmy Tan; ahli psikologi klinikal kanan di Institut Kesihatan Mental (IMH), Dr Ong Lue Ping; mantan diplomat, Cik Eileen Chong; dan pengasas bersama syarikat pemula teknologi Showdrop, Encik Michael Thng, telah meraih 47.37 peratus undi.

Dalam wawancara eksklusif bersama Berita Minggu (BM), Encik Faisal berkata:

“Saya reda dengan keputusan ini... Menang kalah adalah satu adat. Jadi memang telah ditakdirkan dan juga telah menjadi pilihan penduduk ataupun pengundi Tampines. Saya reda insya-Allah.”

Menjawab pertanyaan tentang peranannya dalam Parlimen seterusnya, Encik Faisal berkata Tampines mungkin mendapat kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), namun beliau serahkan keputusan tersebut kepada ketua parti.

Beliau yang ditemui BM sekitar 2 pagi pada 4 Mei, tertawa sambil berkata buat masa ini, beliau ingin pulang dan tidur dahulu sebelum memikirkan perancangan seterusnya.

Encik Faisal, yang berkhidmat di GRC Aljunied sejak 2011, juga tidak lupa penduduknya di sana.

Meluahkan penghargaan kepada mereka, beliau berkata perjalanannya berkhidmat telah membolehkan beliau meraih pelbagai pengalaman dan nilai kehidupan.

Awal sebelum itu, Encik Faisal turut menyampaikan ucapan kepada penyokong parti di Stadium Serangoon.

“Kepada pengundi GRC Tampines, saya percaya pasukan kami telah bertanding dengan sepenuh jiwa untuk mendapatkan mandat anda. Namun, takdir yang menentukan segalanya, saya reda insya-Allah.

“Dengan rendah hati, saya mengucapkan terima kasih di atas sokongan anda semua, kata-kata rangsangan dan yang paling penting doa-doa anda buat pasukan kami semasa proses perjuangan kami.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diketuai Menteri Masagos. Insya-Allah semoga beliau menjadi menteri yang lebih baik lagi insya-Allah, saya akan doakan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg