Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan PAP diterajui Masagos pertahan GRC Tampines, menang tipis

May 4, 2025 | 2:35 AM
MASAGOS, BAEY YAM KENG, KO POH KOON, DAVID NEW, CHARLENE CHEN
Pasukan PAP di GRC Tampines diketuai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tengah), dan disertai Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Baey Yam Keng (dua dari kiri); Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon (dua dari kanan); Profesor Pemasaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Charlene Chen (paling kanan); dan mantan Panglima Tentera Darat, Encik David Neo (paling kiri). - Foto ST

Parti Tindakan Rakyat (PAP) berjaya mempertahankan GRC Tampines, meraih 52.02 peratus undi sekali gus menangkis usaha Parti Pekerja (WP) yang mahu menguasai GRC itu.

WP, yang bertanding di GRC itu buat kali pertama, meraih 47.37 peratus undi.

GRC itu menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan dua parti lain adalah Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP).

Ini merupakan kemenangan tipis bagi pasukan PAP dengan peratusan kemenangan kali ini jauh lebih rendah berbanding 2020, yang mana PAP meraih 66.41 peratus undi semasa menentang NSP.

Dalam pilihan raya umum 2025 (GE2025), PPP meraih 0.43 peratus sementara NSP meraih 0.18 peratus.

Pasukan PAP di GRC Tampines diketuai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; dan disertai Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon; Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Baey Yam Keng; mantan Panglima Tentera Darat, Encik David Neo; dan Profesor Pemasaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Charlene Chen.

Pasukan WP diketuai Naib Pengerusi WP, Encik Faisal Manap. Beliau disertai pengasas bersama firma pembekalan peralatan industri Immanuel Engineering, Encik Jimmy Tan; ahli psikologi klinikal kanan di Institut Kesihatan Mental (IMH), Dr Ong Lue Ping; mantan diplomat, Cik Eileen Chong; dan pengasas bersama syarikat pemula teknologi Showdrop, Encik Michael Thng.

Memberi ucapan menyusuli kemenangan pasukan beliau di Stadium Bedok, Encik Masagos meluahkan penghargaan atas undi keyakinan yang diberikan penduduk Tampines dan memberi komitmen untuk membangunkan visi bandar contoh.

“Ayuh bekerjasama untuk menjadikan Tampines masyarakat yang bertimbang rasa kerana inilah bagaimana kita maju ke hadapan sedang kita berdepan cabaran genting dan mendakap peluang yang datang di hadapan kita,” ujarnya.

Di Stadium Serangoon pula, Encik Faisal meluahkan penghargaannya kepada penyokong parti.

“Kepada pengundi GRC Tampines, saya percaya pasukan kami telah bertanding dengan sepenuh jiwa untuk mendapatkan mandat anda. Namun, takdir yang menentukan segalanya, saya reda insya-Allah,” katanya.

Pasukan NSP pula dibentuk presiden, Encik Reno Fong; naib presiden NSP, Encik Mohd Ridzwan Mohammad; penolong setiausaha agung NSP, Encik Eugene Yeo; perancang kewangan, Encik Zee Phay; dan Encik Thamilselvan Karuppaya, yang bekerja sendiri.

Manakala pasukan PPP diketuai setiausaha agung parti tersebut, Encik Goh Meng Seng, dan disertai pengerusi parti itu, Encik Derrick Sim; eksekutif landskap, Encik Vere Nathan; pengasas firma teknologi hijau, Encik Peter Soh; dan usahawan, Cik Arbaah Haroun.

Kecuali pada 1997, apabila Tampines tidak ditandingi, kawasan undi itu sebahagian besarnya mengundang persaingan dua hala dalam GE.

GRC Tampines yang mempunyai 147,900 pengundi merupakan antara medan persaingan paling sengit bagi GE2025.

Tampines Changkat yang mempunyai kira-kira 23,800 pengundi, pula diasingkan dan dijadikan Kawasan Undi Perseorangan (SMC) dalam GE2025 selepas sempadan pilihan raya baru diumumkan pada Mac.

GRC Tampines merupakan GRC yang mempunyai kelompok terbesar pengundi Melayu, hampir seorang dalam setiap empat penduduk – kira-kira 10 peratus lebih tinggi berbanding purata kebangsaan berdasarkan banci penduduk 2020.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg