Calon Parti Pekerja (WP), termasuk Encik Faisal Manap yang akan bertanding di GRC Tampines, bukan hanya mewakili masyarakat mereka sendiri, kata Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh.
Beliau menegaskan kesemua calon perlu mewakili seluruh rakyat Singapura secara adil dan saksama di negara yang berbilang kaum ini.
“Encik Faisal, atau mana-mana calon Melayu/Islam kita tidak akan menjadi Anggota Parlimen atau calon untuk masyarakat mereka sahaja. Ini Singapura. Ia adalah masyarakat berbilang kaum. Jadi setiap calon perlu mewakili semua rakyat Singapura secara adil dan sama rata,” kata Encik Pritam.
Beliau yang baru sahaja mengadakan pertemuan dengan penduduk di Pusat Makanan Kovan, diminta wartawan untuk memberi respons kepada dakwaan guru agama, Encik Mohammed Noor Mohammed Deros atau dikenali sebagai Encik Noor Deros, bahawa beliau telah bertemu calon WP dan menggesa Parti Pekerja untuk mengutamakan hak dan keprihatinan masyarakat Melayu/Islam.
Dalam hantaran di Facebooknya baru-baru ini, Encik Noor Deros berkata WP ‘mengambil serius” desakannya untuk “membawa ke Parlimen isu kongkongan dan pengawalan ke atas agama Islam dan pengamalannya di Singapura melalui Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) dan institusi berkaitan seperti Majlis Ugama Islam Singapura”.
Selain itu, beliau juga menggesa WP dan calon pilihan raya lain untuk tidak memperjuangkan atau mempertahan apa-apa perkara berkaitan normalisasi LGBTQ+, dan mengambil pendirian tegas terhadap Israel serta mengiktiraf negara Palestin.
Encik Noor Deros berkata beliau berbuat demikian semasa bertemu calon WP di sebuah masjid di Aljunied.
Dalam kenyataannya semalam, WP berkata ia tidak mempunyai sebarang perjanjian, komitmen atau persetujuan dengan mana-mana pihak, termasuk Encik Noor Deros, untuk mendapatkan sokongan politik bagi calon-calonnya di Pilihan Raya Umum 2025 ini.
Mengulas pertemuan antara Encik Noor Deros dengan calon WP itu, Encik Pritam berkata:
“Apa yang berlaku ialah salah seorang jawatankuasa masjid di Aljunied mahu bercakap dengan Encik Faisal (Manap) dan anggota Melayu parti ini. Mesyuarat itu sepatutnya melibatkan beberapa ustaz dan pemimpin agama kanan Melayu/Islam.
“Tiada sebarang petunjuk awal bahawa individu ini (Encik Noor Deros), akan menyertai perjumpaan tersebut. Apabila mesyuarat bermula, beliau hadir. Dan saya difahamkan beliau ada satu senarai tuntutan. Tentunya, kenyataan kami adalah jelas, bahawa tidak timbul situasi di mana jika kami mengetengahkan agenda ini, beliau (Encik Noor Deros) akan menyokong kami. Kami tidak berpolitik dengan cara begitu di Singapura. Kami tidak berpolitik dengan cara begitu di WP.’‘
Encik Pritam menambah bahawa sebarang andaian bahawa advokasi individu tertentu akan mempengaruhi agenda parti adalah tidak berasas.
“Jika beliau (Encik Noor Deros) beranggapan bahawa advokasinya akan menyebabkan isu-isu tersebut dibawa oleh WP, saya rasa beliau tersilap besar,” tambahnya.
Sementara itu, Encik Pritam menegaskan WP tidak menjalankan politik berdasarkan sebarang tuntutan atau janji tersembunyi.
Beliau juga berkata WP tidak boleh menjadi parti politik yang cemerlang jika ia mempertaruhkan bangsa dan agama.
Beliau menggesa semua rakyat Singapura, tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama, agar menilai WP berdasarkan manifesto dan cadangan, serta apa yang mereka lakukan di Parlimen untuk semua rakyat Singapura, bukan masyarakat tertentu sahaja.
Sementara itu, pemimpin parti pembangkang lain turut menolak politik perkauman.
Presiden Parti Perpaduan Nasional (NSP), Encik Reno Fong berkata tiada tempat untuk campur tangan asing dalam politik tempatan, dan parti itu sentiasa berusaha memastikan ahlinya memahami prinsip ini.
Berkongsi sentimen serupa ialah pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP), Dr Tan Cheng Bock, yang berkata parti tersebut mempunyai kebolehan tersendiri untuk tampilkan idea tanpa memerlukan pengaruh asing.
Ketua Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Chee Soon Juan, pula berkata setiap negara mempunyai hak mutlak untuk menentukan hal ehwal pilihan raya mereka sendiri tanpa pengaruh luar dan menyokong langkah pemerintah menyekat akses pengguna Singapura kepada beberapa Iklan Pilihan Raya Dalam Talian (OEA) yang diterbitkan oleh warga asing.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg