Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pritam: Faisal Manap ketuai WP di Tampines tunai hasrat lama

WP tidak bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights atas pertimbangan strategi, beri tumpuan kepada kawasan lain
Apr 23, 2025 | 8:56 PM
PRITAM singh
Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh (tengah), yang ditemui media di blok 717 Tampines Street 72 berhampiran Sekolah Poi Ching, berkata Encik Faisal Manap sudah lama meminta dipindahkan ke GRC Tampines. - Foto ST

Keputusan Parti Pekerja (WP) memindahkan penyandang GRC Aljunied, Encik Faisal Manap, ke GRC Tampines dibuat bagi memenuhi hasrat lamanya, di samping keyakinan parti terhadap kekuatan barisan calon yang akan bertanding di kawasan itu.

Ketua WP, Encik Pritam Singh, berkata bahawa Encik Faisal, 49 tahun, “telah lama menyatakan hasrat” untuk bertanding di GRC Tampines.

Encik Pritam berkata demikian kepada wartawan pada 23 April selepas menyerahkan kertas pencalonan pasukan GRC Aljunied, dan turut menjawab soalan mengenai keputusan WP untuk tidak bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights.

“Beliau telah lama meminta saya mempertimbangkan cadangan tersebut. Kini, hasrat beliau akhirnya tercapai jua.

“(Encik) Faisal Manap kini berada di Tampines, dan beliau berbangga mengetuai pasukan WP di GRC tersebut,” kata Encik Pritam yang turut menambah bahawa parti itu sebenarnya merancang meletakkan pasukan di GRC Tampines pada Pilihan Raya Umum (GE) 2020.

Namun, atas kekangan sumber dan keperluan strategi ketika itu, rancangan tersebut tidak dapat dijayakan.

“Adakah kami mempunyai calon yang cukup berkualiti untuk membentuk satu pasukan mantap di kawasan itu?” ujarnya dan menegaskan bahawa WP kini telah menemui “calon-calon terbaik yang bersedia mewakili Parti Pekerja dalam pilihan raya ini.”

Selain Encik Faisal, pasukan lima anggota itu turut merangkumi Encik Jimmy Tan, 53 tahun, pengasas bersama syarikat pembekalan peralatan industri Immanuel Engineering; pakar psikologi klinikal kanan di Institut Kesihatan Mental (IMH), Encik Ong Lue Ping, 48 tahun; bekas diplomat, Cik Eileen Chong, 33 tahun; dan pengasas bersama syarikat pemula teknologi Showdrop, Encik Michael Thng, 37 tahun.

GRC Tampines bakal menyaksikan saingan empat penjuru melibatkan WP, Parti Kuasa Rakyat (PPP) dan Parti Perpaduan Nasional (NSP) menentang pasukan daripada PAP yang diketuai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Mengulas lanjut mengenai keputusan untuk tidak bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights, Encik Pritam berkata bahawa keputusan tersebut bukanlah bererti pengunduran parti dari kawasan tersebut. 

“Kami adalah sebuah parti politik yang kecil. Kami cuba memberi yang terbaik apabila bertanding dalam pilihan raya, dan inilah strategi yang kami ambil untuk pilihan raya kali ini, mengambil kira perubahan sempadan serta pertimbangan lain yang perlu diambil kira oleh Parti Pekerja,” jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg