Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal turun padang dekati penduduk Tampines

Apr 29, 2025 | 8:43 PM
Faishal Ibrahim, GRC Tampines, GE2025
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah), giat mendekati penduduk di luar kawasan undinya, seperti di Tampines pada 29 April, walaupun telah memenangi GRC Marine Parade-Braddell Heights tanpa bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025). - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Meskipun telah memenangi GRC Marine Parade-Braddell Heights tanpa bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, tidak terus berehat.

Sebaliknya, beliau segera turun padang membantu rakan seperjuangannya dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP) di pelbagai kawasan undi, termasuk di GRC Tampines.

Dr Faishal, Anggota Parlimen (AP) yang telah berkhidmat selama lima penggal sejak 2006, kelihatan mendekati dan beramah mesra dengan penduduk Tampines di Blok 201D, Tampines Street 21, pada petang 29 April.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), Dr Faishal mengakui terdapat jurang dan ruang untuk penambahbaikan dalam pembangunan masyarakat Melayu/Islam di Singapura, walaupun ia telah mencapai kemajuan besar selama ini.

“Saya akan terus mendekati penduduk di sini dan saya berjanji saya akan membawa pulang maklum balas mereka untuk berkongsi dengan kepimpinan PAP.

“Ini supaya kita boleh meneruskan usaha membangunkan masyarakat Melayu/Islam di Singapura, bersama masyarakat lain dan membaiki kelemahan sedia ada.

“Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan rakan-rakan saya akan terus komited membangunkan masyarakat Melayu/Islam bukan sahaja di Tampines, malah di Singapura,” jelasnya.

Dr Faishal turut menekankan bahawa masyarakat Melayu/Islam telah mencatat banyak kemajuan dalam pelbagai bidang, khususnya dari segi pendidikan dan pembangunan sosial.

Beliau menambah, ramai anak muda dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam kini berpelajaran tinggi dan jumlah mereka yang memperoleh ijazah kelas pertama turut meningkat berbanding masa lalu.

Mengulas mengenai rangkaian sokongan sedia ada, Dr Faishal menyebut badan-badan seperti M Kuasa Tiga (M³), Yayasan Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra), telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan masyarakat.

Ditanya mengapa beliau, sebagai AP GRC Marine Parade-Braddell Heights, mendekati penduduk GRC Tampines, Dr Faishal berkata:

“Walaupun saya menang tanpa bertanding (di GRC Marine Parade-Braddell Heights), saya mahu mendekati penduduk lain di Singapura, termasuk penduduk Melayu/Islam di Tampines.

“Sebagai seorang AP selama 19 tahun, saya telah melihat proses dan keikhlasan pemerintah membantu dalam membangunkan masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

“Apabila saya lihat proses tersebut dan seriusnya pemerintah mahu menyokong masyarakat Melayu/Islam, ia tidak susah bagi saya berkongsi pengalaman saya (maklum balas penduduk).”

Semasa di Tampines, Dr Faishal kelihatan mengedarkan risalah pengundian yang memaparkan calon PAP bagi GRC Tampines kepada penduduk di sana.

Pasukan itu terdiri daripada Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon; Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Baey Yam Keng; dan dua muka baru PAP – iaitu mantan Panglima Tentera Darat, Encik David Neo; dan Profesor Pemasaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Charlene Chen.

Dr Faishal menambah, peluang mendekati penduduk turut memberinya peluang membetulkan sebarang salah tanggapan yang mungkin ada.

Menurut beliau lagi, adalah penting masyarakat Melayu/Islam diberi ruang berkongsi pandangan, didengari dan terus didukung dalam usaha membangunkan masyarakat.

“(Walaupun) semakin mencabar kehidupan kita, semakin mendalam dan kuat kita akan bekerja untuk menyokong masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

“Walaupun saya di GRC Marine Parade-Braddell Heights, hati saya kepada masyarakat Melayu/Islam di Singapura, termasuk penduduk di Tampines,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg