SPH Logo mobile
Langgan|

Jururawat Hospital Besar Ng Teng Fong antara calon PAR

Jururawat Hospital Besar Ng Teng Fong antara calon PAR

Apr 20, 2025 | 11:29 AM

Jururawat Hospital Besar Ng Teng Fong antara calon PAR

Cik Sarina Abu Hassan, 54 tahun, telah diperkenalkan sebagai bakal calon Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR) bagi Pilihan Raya Umum (GE) 2025.
Cik Sarina Abu Hassan, 54 tahun, telah diperkenalkan sebagai bakal calon Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR) bagi Pilihan Raya Umum (GE) 2025. - Foto BH oleh INSYIRAH MOHD SHUKOR

Jururawat Cik Sarina Abu Hassan, 54 tahun, telah diperkenalkan sebagai bakal calon Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR) bagi Pilihan Raya Umum (GE) 2025.

Beliau, yang telah bertugas sebagai jururawat selama 35 tahun dan kini bertugas di Hospital Besar Ng Teng Fong, adalah antara muka baru yang dilihat bersama Setiausaha Agung PAR, Encik Lim Tean, semasa lawatan parti tersebut ke Pusat Penjaja Jalan Batu pada 20 April.

Bercakap kepada wartawan, Cik Sarina menyatakan hasrat beliau untuk memperjuangkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih adil serta makanan percuma untuk pelajar sekolah.

“Saya berharap dapat menyumbang pengetahuan dan kemahiran yang saya telah kumpul selama ini kepada parti PAR yang ingin membawa perubahan,” kata beliau.

Encik Lim menyifatkan latar belakang Cik Sarina sebagai seorang jururawat satu aset penting bagi parti itu.

Katanya, menamakan Cik Sarina sebagai calon selaras dengan misi PAR untuk menawarkan penjagaan kesihatan, pendidikan dan makanan percuma kepada anak-anak sekolah.

“Beliau bukan sahaja membawa pengalaman mendalam dalam sektor kesihatan, malah semangat khidmat kepada masyarakat.

“Itu adalah nilai yang kami di PAR amat hargai,” kata Encik Lim.

Selain Cik Sarina, calon-calon lain yang diumumkan pada 20 April termasuk pengarah sekolah swasta, Encik Nadarajan Selvamani, 59 tahun; usahawan dalam industri binaan, Encik Kumar Appavoo, 56 tahun; dan pegawai bank komersial, Encik Prabu Ramachandran, 36 tahun.

Sebelum ini, Encik Lim telah mengumumkan bahawa PAR akan meletakkan 14 calon di lima SMC - Potong Pasir, Mountbatten, Radin Mas, Queenstown dan Yio Chu Kang - serta di dua GRC - Jalan Besar dan GRC Tanjong Pagar.

Namun, Encik Lim enggan menamakan calon PAR yang bakal bertanding di kawasan undi tertentu.

Katanya, PAR telah lama bersedia untuk GE2025 dan menyambut baik pengumuman tarikh pilihan raya oleh pihak berkuasa.

Encik Lim berkata beliau calon bebas yang ingin bertanding di SMC Mountbatten, Encik Jeremy Tan, 32 tahun harus berundur untuk mengelakkan persaingan tiga penjuru di kawasan undi tersebut.

Sebelum ini, Encik Tan telah menyatakan hasratnya untuk bertanding di Mountbatten sebagai “calon bitcoin pertama Singapura”.

Apabila ditanya sama ada PAR telah berbincang bersama Encik Tan untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru, Encik Lim berkata:

“Kami berdiri teguh dalam cadangan kami untuk bertanding di kawasan ini. “Malah, saya rasa beliau patut berundur.

“Calon bebas tidak mempunyai peluang yang besar untuk menang. Jika beliau benar-benar serius, beliau patut sertai parti politik dan bertanding di bawah panji parti itu,” ujar Encik Lim.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg