Sekiranya Parti Tindakan Rakyat (PAP) tewas di GRC Tampines dan GRC Punggol semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada Mei, ia pasti akan menghantar “mesej yang serius dan meluas” kepada dunia yang sedang menyaksikan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Sebaliknya, kemenangan PAP menunjukkan bahawa rakyat Singapura memandang serius pilihan raya dan memahami apa yang dipertaruhkan, kata Encik Wong, yang turut menggelarkan keputusan itu sebagai mandat yang kuat tetapi “bukan kemenangan besar” bagi parti pemerintah.
Encik Wong, yang juga Setiausaha Agung PAP, berkata demikian semasa berucap di Majlis Anugerah dan Persidangan PAP 2025 pada 9 November di Singapore Expo, termasuk mengimbas kembali pertandingan sengit yang berlaku di kededua GRC itu.
“Kekalahan di Tampines mungkin menunjukkan bahawa seruan Parti Pekerja (WP) yang diperhitungkan terhadap pengundi Melayu/Islam adalah strategi yang berkesan.
“Ini akan menggalak parti politik lain untuk melakukan perkara yang sama (dan) itu hanya akan merosakkan perpaduan sosial kita dan membawa kepada Singapura yang berpecah belah,” kata Encik Wong.
Jika GRC Punggol dimenangi WP, ia juga akan menghantar mesej yang salah bahawa pengundi tidak peduli dengan kebolehan yang terbukti dan kepimpinan yang mantap daripada seorang menteri yang berpengalaman seperti Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, tambahnya.
“Singapura akan kehilangan Taskforce Man (anggota pasukan petugas) yang sangat berkebolehan.”
Di Punggol – sebuah GRC baru – Encik Gan mengetuai pasukan PAP yang bertanding menentang pasukan WP yang diketuai oleh peguam kanan, Encik Harpreet Singh, yang dilihat oleh ramai sebelum pilihan raya sebagai “bintang utama” parti pembangkang dan tiga calon kali pertama yang lain.
PAP memenangi GRC Punggol dengan 55 peratus undi.
Di GRC Tampines pula, pasukan PAP yang diketuai oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menewaskan pasukan yang diketuai oleh bekas Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied, Encik Faisal Manap, dengan kira-kira 52 peratus undi.
Ia merupakan persaingan kedua paling sengit semasa GE2025.
Namun begitu, kempen WP di GRC Tampines tekah menarik sokongan kontroversi daripada pelbagai pihak, termasuk ahli politik asing, yang menggesa rakyat Singapura untuk mengundi berdasarkan kaum dan agama.
Mengimbas kembali persaingan yang sengit itu, Encik Wong berkata beliau amat berterima kasih kepada pengundi di kededua GRC itu kerana mempercayai beliau dan pasukannya.
Beliau berkata “mandat yang kuat” untuk PAP menghantar mesej yang jelas bahawa rakyat Singapura tidak mengambil risiko dengan masa depan atau “mempertaruhkan apa yang telah kita bina bersama”.
Ia juga menunjukkan bahawa rakyat Singapura “tidak akan terpengaruh dengan rayuan populis atau rayuan yang berbaur perkauman”, tambahnya.
“
“Kekalahan di Tampines mungkin menunjukkan bahawa seruan Parti Pekerja (WP) yang diperhitungkan terhadap pengundi Melayu/Islam adalah strategi yang berkesan. Ini akan menggalak parti politik lain untuk melakukan perkara yang sama (dan) itu hanya akan merosakkan perpaduan sosial kita dan membawa kepada Singapura yang berpecah belah.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg