Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

GE2025: Mandat jelas bagi pemerintah; WP perkukuh kedudukan namun kelemahan parti lain ketara

May 4, 2025 | 7:45 PM
grc tampines, empat penjuru
Persaingan empat penjuru di GRC Tampines berakhir dengan kemenangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) menerima 52.02 peratus undi. - Foto ST

Mandat yang diberikan kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) bukan sahaja kukuh, mandat ia yang agak selesa berbanding pilihan raya sebelumnya.

Dipimpin Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, PAP memenangi 87 daripada 97 kerusi Parlimen dan menerima 65.57 peratus undi sah, naik daripada 61.24 peratus pada 2020.

Pengamat politik, Zamil Kanan dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, memberitahu Berita Harian (BH):

“Mandat PAP ini adalah mandat yang selesa jika dibandingkan dengan undi popular yang diterimanya pada 2020.

“Kalau kita lihat peratusan undian (di sesetengah kawasan undi) ada sampai 80 peratus... itu sebenarnya pencapaian PAP yang dikatakan mandat besar atau disebut sebagai ‘landslide’ dan ini diterima PAP apabila ia ditentang oleh parti-parti yang boleh dianggap sebagai parti-parti kecil.”

Namun, pada masa yang sama, parti pembangkang, Parti Pekerja (WP) juga menunjukkan kehebatannya dalam GE kali ini, bahkan pencapaiannya boleh dianggap besar.

Ini meskipun WP memenangi 10 kerusi – jumlah sama berbanding GE2020.

“Kalau kita lihat parti WP sebenarnya telah mengukuhkan kedudukannya kalau diukur dari sudut pencapaian GRC Sengkang – ada peningkatan dari segi undian. Dan dari segi peratusan undi di Aljunied dan Hougang kita melihat bahawa ia seakan-akan sama tahun 2020.

“Kalau kita nak bahaskan tentang aspek Punggol dan Tampines, ini adalah pertama kali kita melihat kemasukan WP dan mereka telah berjaya mencapai pencapaian yang sangat besar,” kata Dr Norshahril.

Pasukan WP berjaya mengekalkan kedudukan di GRC Sengkang tetapi kali ini dengan peratusan undi 56.31 peratus, iaitu sekitar 4 peratus lebih tinggi dari 52.12 peratus undi​ yang diterima mereka pada 2020.

Pasukan WP menerima 59.68 peratus undi di GRC Aljunied manakala di SMC Hougang pula 62.17 peratus.

Di kawasan undi ‘hangat’ GRC Tampines pula, WP kalah kepada pasukan PAP dengan margin tipis 47.37 peratus berbanding 52.02 peratus, sementara di GRC Punggol, WP kalah 44.83 peratus kepada PAP yang menerima 55.17 peratus undi.

Tidak seperti WP, prestasi parti-parti pembangkang lain dalam GE2025 boleh dianggap lemah dan mengecewakan.

Parti lebih kecil seolah-olah tersingkir setelah kalah dengan margin yang besar sehingga beberapa calon akan kehilangan deposit mereka sebanyak $13,500 setiap seorang kerana gagal meraih sekurang-kurangnya 12.5 peratus undi.

Keputusan GE2025 juga menunjukkan bahawa walaupun pengundi semakin terbuka kepada idea pluralisme politik, kerelevanan sesetengah parti pembangkang menjadi tanda tanya, kata pakar.

Pengarah Pengasas, Dialogue Centre Limited, Encik Imran Mohd Taib yang juga penggiat masyarakat, ketika mengulas keputusan di GRC Tampines, berkata peratusan undi yang diterima Parti Perpaduan Nasional (NSP) yang hanya 0.18 peratus, dan Parti Kuasa Rakyat (PPP), 0.43 peratus, “menunjukkan walaupun orang mahu pembangkang, tetapi mereka akan mengundi pembangkang yang dirasakan boleh dipercayai dan kuat”.

“Saya rasa ini adalah perkara yang harus difikirkan oleh pihak pembangkang sendiri sama ada mahu disatukan atau menutup kedai untuk sebahagian daripada parti-parti pembangkang yang dilabel sebagai ‘mosquito party’ atau parti kecil,” tambah beliau.

Pengarah urusan Crescent Law Chambers LLC, Encik Ahmad Nizam Abbas, pula berkata jika dilihat peratusan undi yang diterima Perikatan Rakyat Bagi Pembaharuan (PAR) iaitu di bawah 25 peratus bagi kesemua kawasan undi yang ditandingi, ia merupakan isu “branding” atau penjenamaan parti.

“Apabila kita sebut tentang PAR, orang semua ingat Lim Tean, (calon-calon) yang lain semua tak dikenali, jadi susah, dalam masa sembilan hari (berkempen) itu susah untuk memperkenalkan diri mereka kepada penduduk,” ujarnya.

Encik Nizam menambah bahawa sesebuah parti itu tidak seharusnya dikaitkan hanya dengan satu individu sahaja.

Sementara itu, Dr Norshahril berkata:

“Di negara-negara lain, jika suatu parti itu tidak memenuhi ambang minimum dari segi undi popular dan kerusi, ia tidak akan dibenarkan bertanding dalam pilihan raya seterusnya, tetapi ini tidak ada di Singapura.

“Jadi kalau parti-parti yang mungkin mencapai peratusan undian yang kurang dari 4 peratus, mereka sepatutnya memikirkan sama ada mereka boleh meneruskan agenda parti tersebut atau tidak, atau mungkin bergabung dengan parti-parti lain.”

Ditanya tentang undi beralih atau ‘swing vote’ di GRC Tampines pula, Dr Norshahril berkata beliau tidak dapat menyatakan sama ada undi beralih daripada pengundi Melayu di sana memainkan peranan dalam peratusan undi yang diterima pada akhirnya.

Ini kerana terdapat beberapa faktor lain yang perlu dipertimbangkan.

“Tentang signifikan pengundi-pengundi Melayu, kita masih belum dapat tahu sejauh mana ‘Malay swing’ berlaku terutama bagi pasukan di Tampines.

“Yang perlu kita lihat juga adalah jumlah undi rosak dan golongan yang keluar mengundi di Tampines. Marginnya amat tipis sehingga ada pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku di kawasan undi tersebut jika peratusan undi itu meningkat atau undi rosak dikurangkan, jadi ada pelbagai kemungkinan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Norshahril mengingatkan bahawa pilihan raya sudah pun berakhir dan sekarang adalah masa untuk semua rakyat bersatu.

“Jika ada perdebatan tentang dasar-dasar dan sebagainya, itu perlu dilakukan di parlimen dengan penuh hemat dan baik dan janji-janji dalam menifesto perlu ditepati,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg