Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan PAP di Tampines harap dapat kerjasama, dengar suara penduduk

Keputusan pilihan raya jelas tunjuk sokongan padu terhadap PM Wong
May 4, 2025 | 4:24 PM
Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (dengan kalungan bunga) bertemu penduduk di Tampines Street 81 untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka.
Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (dengan kalungan bunga) bertemu penduduk di Tampines Street 81 untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka. - Foto BH oleh NATASHA MUSTAFA

Selepas kemenangan tipis dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Tampines berikrar untuk turun padang bagi mendengar suara penduduk dan meneliti semula isu-isu yang dihadapi penduduknya.

Dalam satu sidang media di Tampines Street 81,  Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang mengetuai pasukan PAP di GRC Tampines, melahirkan rasa terima kasih dan rendah hati di atas sokongan penduduk Tampines bagi pilihan raya kali ini.

Ditanya tentang kemenangan tipis dalam GE2025, Encik Masagos berkata meskipun pasukannya mengalami persaingan yang sengit, ia merupakan pilihan raya yang menunjukkan sokongan yang padu terhadap Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

“Kami amat berterima kasih kepada penduduk yang mengundi kami dan memberi kami peluang untuk kembali sekali lagi.

“Yang penting, setelah GE2025 kali ini, kita dapat pulihkan suasana dan bekerjasama sebagai ‘Satu Tampines’ dan Singapura yang bersatu,” katanya yang sudah berkhidmat di kejiranan Tampines selama 19 tahun.

Encik Masagos menambah bahawa pasukannya akan mengambil sedikit masa untuk mengenal pasti jurang sokongan dan melaksanakan penambahbaikan.

“Sekarang pilihan raya telah selesai, mari kita bekerjasama sebagai ‘Satu Tampines’ yang bersatu, dan juga sebagai ‘Satu Singapura’.

“Saya rasa ini adalah cara kita mengharungi kesukaran apabila ia datang,” katanya lagi.

Parti Tindakan Rakyat (PAP) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen di GRC Tampines, dengan meraih 52.02 peratus undi sekali gus menangkis usaha Parti Pekerja (WP) yang mahu menguasai GRC itu.

WP, yang bertanding di GRC itu buat kali pertama, meraih 47.37 peratus undi.

GRC itu menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan dua parti lain, Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP), turut memberikan saingan.

WP, yang dianggotai Encik Faisal Manap, Encik Jimmy Tan, Dr Ong Lue Ping, Cik Eileen Chong dan Encik Michael Thng, menunjukkan kegigihan mereka, untuk memenangi hati penduduk.

Kekalahan WP di GRC Tampines itu juga bermakna Encik Faisal, yang merupakan anggota pembangkang Melayu pertama apabila beliau menang sebagai sebahagian daripada pasukan di GRC Aljunied pada 2011, kehilangan kerusi parlimennya.

Bagaimanapun, ini merupakan kemenangan tipis bagi pasukan PAP dengan peratusan kemenangan kali ini jauh lebih rendah berbanding GE2020, di mana PAP meraih 66.41 peratus undi semasa menentang NSP.

Seawal 9 pagi di Blok 823A Tampines St 81, Encik Masagos bersama pasukannya yang terdiri daripada Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon; Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Baey Yam Keng; mantan Panglima Tentera Darat, Encik David Neo; dan Profesor Pemasaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Charlene Chen, turun daripada bas persiaran untuk bertemu penduduk.

Ketika Berita Harian (BH) tiba di kawasan itu, lautan sukarelawan PAP yang berbaju putih dilihat bersemangat mengedarkan bendera dan kipas dengan logo ikonik petir kepada penduduk di sana.

Ramai orang kemudian berkumpul di lelapang berdekatan blok itu untuk bergambar dan mengucapkan tahniah kepada pasukan PAP.

Dr Chen, muka baru dalam pasukan lima anggota itu, turut menyuarakan komitmen untuk berkhidmat kepada semua penduduk, termasuk mereka yang tidak mengundi PAP.

“Pasukan kami bersedia untuk mendengar apa sahaja maklum balas, dan kami bersedia untuk melakukan kerja dengan sungguh-sungguh.

“Saya rasa kami perlu memulakan kerja kami dan mula mendengar.

“Itulah yang perlu kami lakukan di samping bertindak terhadap beberapa perkara yang dibangkitkan penduduk.

“Jadi, pasti kami akan mengumpulkan semua sukarelawan kami dan mula turun padang,” jelas Dr Chen, yang bercakap dengan media, sambil berjalan sekitar kejiranan Tampines bagi mengucapkan terima kasih kepada penduduk di kawasan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg