Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sambutan hangat buat PM Wong, pasukan PAP

Sokongan pengundi dihargai, bakal AP siap berkhidmat susulan kemenangan GE2025
May 4, 2025 | 3:07 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (didakap seorang penduduk) bersama anggota lain pasukan GRC Marsiling-Yew Tee (dari kanan) Cik Hany Soh, Encik Alex Yam dan Encik Zaqy Mohamad di Pasar Marsiling pada 4 Mei.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (didakap seorang penduduk) bersama anggota lain pasukan GRC Marsiling-Yew Tee (dari kanan) Cik Hany Soh, Encik Alex Yam dan Encik Zaqy Mohamad di Pasar Marsiling pada 4 Mei. - Foto ST

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) menemui para pengundi di GRC Marsiling-Yew Tee pada pagi 4 Mei, selepas mengekalkan kawasan undi itu dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025 (GE2025).

Orang ramai berkumpul di Pasar Marsiling ketika Encik Wong, bersama rakan sepasukannya Encik Alex Yam, Encik Zaqy Mohamad dan Cik Hany Soh, tiba sekitar 8.55 pagi untuk mengucapkan terima kasih kepada penduduk atas sokongan mereka.

Penduduk beratur untuk mengucapkan tahniah dan bersalaman dengan pasukan PAP.

Seorang wanita warga emas turut mengambil peluang mendakap Encik Wong dan setiap rakan sepasukannya sebagai tanda terima kasih.

Pasukan PAP Marsiling-Yew Tee, yang kekal sama sejak 2020, mengatasi pasukan Parti Demokratik Singapura (SDP) yang terdiri daripada Encik Jufri Salim, Encik Alec Tok, Encik Ariffin Sha dan Dr Gigene Wong.

Pasukan PAP memperoleh 73.46 peratus daripada 110,110 undi sah, berbanding 26.54 peratus SDP.

PAP telah memenangi tiga kali berturut-turut menentang SDP di GRC Marsiling-Yew Tee sejak penubuhannya pada 2015.

Encik Wong dan pasukannya kemudian menaiki bas tanpa bumbung untuk perarakan kemenangan dari Pasar Marsiling ke Yew Tee Square, sambil penyokong melambai dan bersorak.

Encik Yam memberitahu bahawa keputusan pilihan raya kali ini adalah “tanda sokongan yang kuat terhadap agenda PM (Wong)”.

“Namun begitu, keputusan yang lebih baik ini bermakna tanggungjawab yang lebih tinggi untuk kami menunaikan apa yang kami janjikan bagi penduduk kami,” kata Encik Yam.

Encik Shariff Mazlan, seorang penduduk Yew Tee, yang ditemui The Straits Times, merancang untuk pergi membeli-belah bersama isterinya dan anak lelaki mereka yang berusia dua tahun, Ihsan Ali, pada 4 Mei.

Namun, mereka membuat hentian khas untuk menyapa Encik Wong dan pasukannya ketika mereka tiba di Yew Tee Square.

Keluarga itu juga sempat bergambar bersama calon Anggota Parlimen (AP) dipilih untuk GRC Marsiling-Yew Tee.

“Masa depan kami di tangan anda,” katanya kepada Encik Wong.

Encik Shariff, 32 tahun, berkata: “Kami memutuskan untuk singgah kerana kami mahu menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri kami, Encik Lawrence Wong.”

“Kami benar-benar beruntung tinggal di sini di Yew Tee dengan sokongan dan kepimpinannya.

“Dengan kemenangan besar yang diperoleh PAP, saya pasti ia akan meningkatkan keyakinan mereka dan membantu kami dalam jangka panjang,” ujarnya.

Di kawasan utara Singapura, pasukan PAP bagi GRC Nee Soon mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada penduduk di sekitar kawasan tersebut.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, yang mengetuai pasukan PAP bagi GRC Nee Soon, berkata keputusan GE2025 mencerminkan “mandat terkuat” bagi GRC Nee Soon.

Encik Shanmugam berkata beliau “percaya sepenuhnya” dengan pasukannya, yang terdiri daripada muka baru, Cik Lee Hui Ying, Encik Jackson Lam, Cik Goh Hanyan dan Encik Syed Harun Alhabsyi, akan “melaksanakan tugas mereka seperti yang diharapkan penduduk Nee Soon.”

Di kawasan timur Singapura, pasukan GRC East Coast juga keluar beramai-ramai untuk meraikan kemenangan mereka bersama penduduk dan penyokong.

Bercakap kepada media, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, berkata keutamaannya sekarang adalah bagi lima AP yang dipilih untuk membahagikan kawasan undi dalam kalangan mereka.

“Akan terdapat sedikit penyusunan dan perubahan memandangkan kami perlu menggabungkan bahagian yang berbeza dalam kalangan pasukan kami,” kata Encik Tong.

Sejak disahkan menang, Encik Tong telah berulang kali menyatakan akan perlunya mendekati mereka yang tidak mengundi PAP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg