Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, akan mengetuai pasukan lima anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang akan bertanding di GRC Tampines untuk Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Pasukan itu akan dianggotai oleh Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon; Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng; serta dua muka baru, Encik David Neo dan Dr Charlene Chen.
Encik Neo, 47 tahun, merupakan bekas Panglima Tentera Darat Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang kini melibatkan diri dalam arena politik buat julung kalinya.
Dr Chen, 43 tahun, juga seorang muka baru dalam arena politik, pula merupakan penolong profesor pemasaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Pengumuman yang diadakan di dewan serba guna estet Tampines GreenVines, Blok 640 Tampines Street 62, pada 16 April itu juga menyaksikan Mayor CDC North East, Encik Desmond Choo, diumumkan sebagai calon bagi SMC Tampines Changkat.
Apabila ditanya sama ada ia adalah satu kelebihan untuk pasukan PAP bahawa Tampines GRC mungkin menjadi medan persaingan berbilang penjuru, Encik Masagos mengakui bahawa persaingan untuk pilihan raya sentiasa sengit.
“Kami menjangkakan ini lima tahun lalu dan itulah sebabnya kami tidak henti-henti bekerjasama untuk menunaikan apa yang kami janjikan…
“Tetapi janji ini bukanlah berdasarkan sesuatu yang remeh tetapi ia berdasarkan kemahuan penduduk. Jadi pada masa depan, kami ingin menumpukan fokus untuk terus menunaikan janji kami.
“Kami berjanji lima tahun lalu untuk menjadikan Tampines sebuah bandar hijau, kini orang ramai telah merasainya, dan kini kami mahu membanggakan mereka. Bersama-sama, kita akan menjadikan Tampines sebagai bandar contoh,” jelas Encik Masagos.
Dalam GE2025, GRC Tampines akan menyerap beberapa bahagian GRC Aljunied, termasuk estet baru berhampiran stesen MRT Tampines West dan di sebelah timur Bedok Reservoir.
Pada masa yang sama, beberapa kawasan daripada GRC Tampines akan dipindahkan ke SMC Tampines Changkat, sempadan baru yang diperkenalkan untuk GE2025.
SMC itu juga akan menyerap sebahagian GRC East Coast.
Menurut laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC), GRC Tampines terdiri daripada kawasan Tampines North, Tampines East, Tampines West, serta Tampines Central, dan akan menampung 147,904 pengundi berdaftar.
SMC Tampines Changkat pula akan menampung 23,802 pengundi berdaftar.
Ketika pengumuman tersebut, Encik Masagos, yang telah mewakili GRC Tampines sejak 2006, berkata:
“Mungkin ada dua, tiga atau satu parti pembangkang yang akan bertanding di Tampines, tetapi kita akan tunggu sehingga Hari Penamaan Calon supaya kita tidak sibuk dengan apa yang mungkin berlaku atau tidak berlaku.
“Kami akan menumpukan perhatian kepada penduduk, bekerjasama di kawasan kami, dan menyokong penduduk kami walaupun ketika kami memasuki tempoh pilihan raya.”
Sejak sistem GRC diperkenalkan di Singapura pada 1998, GRC Tampines merupakan kawasan yang dikendali PAP.
Pasukan PAP memperoleh 72.07 peratus undian pada GE2015, dan 66.41 peratus undian pada GE2020.
Kawasan undi itu ditandingi sekurang-kurangnya dua parti politik pada setiap GE kecuali pada 1997 apabila PAP menang tanpa persaingan.
Namun, buat kali pertama, GRC Tampines bakal menjadi medan persaingan berbilang penjuru dengan kehadiran sehingga tiga parti pembangkang pada GE2025 – Parti Perpaduan Nasional (NSP), Parti Kuasa Rakyat (PPP), dan Parti Pekerja (WP).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg