Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tampines dijangka saksi saingan berbilang penjuru buat kali pertama

Pengamat politik: Kelompok pengundi Melayu besar; kehadiran WP sebagai calon parti pembangkang uji mandat PAP
Apr 14, 2025 | 5:30 AM
Lebih 280,000 orang, atau kira-kira 5 peratus penduduk Singapura, tinggal di Tampines. Daripada jumlah keseluruhan itu, sekitar 170,000 merupakan pengundi berdaftar.
Lebih 280,000 orang, atau kira-kira 5 peratus penduduk Singapura, tinggal di Tampines. Daripada jumlah keseluruhan itu, sekitar 170,000 merupakan pengundi berdaftar. - Foto ST

Kecuali pada 1997, apabila Tampines tidak ditandingi, kawasan undi itu sebahagian besarnya telah menjadi medan persaingan dua hala dalam Pilihan Raya Umum (GE).

Namun keadaan dijangka berubah bagi pilihan raya akan datang apabila terdapat kemungkinan Tampines berdepan dengan persaingan berbilang penjuru dengan kehadiran sehingga tiga parti pembangkang di kawasan itu.

Parti Perpaduan Nasional (NSP) bertanding di GRC Tampines dalam Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), manakala Parti Kuasa Rakyat (PPP) pada akhir Februari 2025 mengumumkan rancangannya untuk bertanding di sana.

Sementara itu, Parti Pekerja (WP) telah mendekati penduduk Tampines sejak 2023 dan kelihatan bersedia menghantar pasukan ke sana juga.

Lebih 280,000 orang, atau kira-kira 5 peratus penduduk Singapura, tinggal di Tampines.

Daripada jumlah keseluruhan itu, sekitar 170,000 merupakan pengundi berdaftar.

Tampines, sebagai Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC), terdiri daripada 147,900 pengundi.

Ini selepas Tampines Changkat yang diduduki kira-kira 23,800 pengundi, diasingkan sebagai Kawasan Undi Perseorangan (SMC) selepas sempadan pilihan raya baru diumumkan pada Mac.

Namun, antara faktor yang membezakan GRC Tampines ialah ia merupakan GRC yang mempunyai kelompok terbesar pengundi Melayu, hampir seorang dalam setiap empat penduduk.

Jumlah penduduk Melayu, iaitu 23.6 peratus, adalah kira-kira 10 peratus lebih tinggi berbanding purata kebangsaan berdasarkan banci penduduk 2020.

Anggaran demografi kawasan pilihan raya itu diperoleh berdasarkan umur daripada Jabatan Perangkaan dan data kediaman dari Jun 2024; dan pecahan bangsa penduduk mengikut banci penduduk 2020.

PENGUNDI MUDA, MELAYU BOLEH PENGARUH HALA TUJU KEPUTUSAN

Pengamat politik yang dihubungi Berita Harian (BH) berkata jumlah pengundi Melayu di Tampines tidak kecil dan berpotensi mempengaruhi hala tuju keputusan pilihan raya.

Saintis politik daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Madya Walid Jumblatt Abdullah, berkata kejadian berhubung hantaran Facebook oleh mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Calvin Cheng, mengenai Gaza berkemungkinan besar memberi kesan kepada pandangan orang ramai terhadap parti pemerintah.

Berdasarkan pengamatannya ke atas reaksi netizen di dalam talian, beliau menambah, cara Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menangani keadaan tersebut tidak disambut baik oleh sebahagian masyarakat Islam.

Bagaimanapun, beliau akur adanya tindakan susulan oleh Encik Masagos – yang menyifatkan Encik Cheng sebagai tidak beradab dan telah menggores perasaan masyarakat Melayu/Islam.

Namun kurang pasti, kesan susulan daripada tindakan tersebut.

“Ini lebih-lebih lagi memandangkan menteri utama di Tampines juga merupakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dan beliau secara tidak langsung terlibat sama juga,” ujarnya.

Awal sebelum ini, Encik Cheng telah memuat naik satu hantaran di Facebook, pada 13 Mac dan mengkritik kumpulan aktivis, Monday of Palestine Solidarity, yang mengganggu Sesi Bertemu Penduduk (MPS) di beberapa tempat.

Beliau berkata akan menaja mereka untuk dipindahkan ke Gaza, dengan syarat mereka tidak kembali ke Singapura.

Encik Masagos dalam hantaran di Facebook pada 3 April berkata, beliau tidak bersetuju dengan pandangan Encik Cheng.

Pada 9 April, beliau menyuarakan bahawa tindakan Encik Cheng sebagai tidak beradab dan menggores perasaan masyarakat Melayu/Islam dalam satu wawancara yang disiarkan podcast BHerbual No Tapis akhbar ini.

Berhubung isu Gaza, Profesor Undang-Undang, Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Eugene Tan, berkata:

“Peperangan di Gaza mungkin menjadi salah satu pertimbangan bagi sesetengah pengundi Melayu/Islam dan bukan Melayu/Islam, terutamanya jika mereka berasa bahawa pemerintah PAP (Parti Tindakan Rakyat) sepatutnya melakukan lebih banyak lagi untuk membantu rakyat Gaza, serta Singapura wajar mengambil langkah untuk menjauhkan diri daripada Israel.”

Zamil Penyelidik di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Teo Kay Key, turut menambah bahawa jaminan berterusan bahawa Singapura bersifat terangkum dalam amalan beragama juga mungkin sesuatu yang dekat di hati pengundi.

Selain pengundi Melayu, Dr Teo menarik perhatian bahawa pengundi yang boleh merubah angin pilihan raya ialah penduduk lebih muda dan pertengahan umur.

Ia terutamanya bagi pemilik rumah kali pertama di estet dengan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) serta generasi terhimpit yang sedang menangani keprihatinan perumahan, penjagaan dan kewangan.

“Sementara pengundi lebih muda prihatin tentang isu kehidupan harian, mereka kemungkinan juga memikirkan tentang isu di peringkat kebangsaan seperti kepelbagaian, perwakilan politik dan sebagainya.

“Mereka juga mungkin lebih rela mempertimbang parti pembangkang, terutama jika mereka dilihat boleh menyumbang sebagai Anggota Parlimen (AP).

“Kemungkinan ini juga akan meningkat jika parti yang bertanding di daerah pilihan raya disifatkan sebagai semakin boleh dipercayai,” ujarnya.

Walaupun Tampines digelar sebagai estet matang, jumlah penduduknya terus meningkat dengan projek perumahan baru beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini termasuk projek BTO baru di Tampines North seperti Tampines GreenCourt, GreenDew dan GreenFoliage.

Treasure at Tampines, yang siap dibina pada 2023, merupakan kondominium tebesar Singapura, dengan lebih 2,200 unit.

Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) telah membentuk Tampines Changkat, yang menempatkan kondominium tersebut disebabkan pertumbuhan jumlah penduduk.

Dalam GE2025, GRC Tampines yang terdiri daripada lima anggota akan menyerap beberapa bahagian GRC Aljunied, pada masa yang sama melepaskan beberapa daerah kepada SMC Tampines Changkat yang baru.

SMC itu juga akan menyerap sebahagian GRC East Coast.

ADAKAH PAP DAPAT KEKALKAN KEDUDUKANNYA?

Sejak sistem GRC diperkenalkan di Singapura pada 1998, GRC Tampines merupakan kawasan yang dikendali PAP.

Kini, ia terbahagi kepada lima kawasan: Tampines North, Tampines East, Tampines West, Tampines Central dan Tampines Changkat.

Sewaktu GE2020, pasukan PAP memenangi 66.41 peratus, menewaskan NSP yang meraih 33.59 peratus.

Pasukan PAP tersebut terdiri daripada Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos (Tampines West); Encik Baey Yam Keng (Tampines North); Cik Cheng Li Hui (Tampines East); Dr Koh Poh Koon (Tampines Central); dan Encik Desmond Choo (Tampines Changkat).

Namun anggota lima pasukan itu hilang satu-satunya wakil wanita pada 2023, apabila Cik Cheng meletak jawatan setelah rahsia hubungan sulit bersama mantan Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin, terbongkar.

Encik Masagos telah mengambil alih tanggungjawab Cik Cheng di Tampines East.

Walaupun sempadan Tampines disemak, dalam hantaran Facebook pada 13 Mac, Encik Masagos memberi jaminan bahawa pelan induk lima tahun di Tampines akan turut melibatkan Tampines Changkat.

Encik Choo pula kini bertanggungjawab memimpin kawasan Tampines Changkat.

Ini bermakna PAP perlu menghantar dua lagi calon dalam pilihan raya akan datang, ekoran jawatan kosong yang ditinggalkan Cik Cheng dan pemindahan Encik Choo ke Tampines Changkat.

Salah satu jawatan itu dijangka diisi Dr Charlene Chen, 43 tahun, seorang penolong profesor pemasaran di NTU, yang diperkenalkan kepada penduduk pada Jun 2024.

Digelar sebagai pengganti Cik Cheng, bekas relawan akar umbi di Buona Vista itu kini penasihat akar umbi kedua bagi GRC Tampines.

Beliau telah menjalankan MPS bagi penduduk Tampines East sejak lewat 2024.

Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Tampines kini terdiri daripada (dari kiri) Encik Desmond Choo, Dr Koh Poh Koon, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, Dr Charlene Chen dan Encik Baey Yam Keng.
Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Tampines kini terdiri daripada (dari kiri) Encik Desmond Choo, Dr Koh Poh Koon, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, Dr Charlene Chen dan Encik Baey Yam Keng. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sedang barisan calon PAP di Tampines belum dikenal pasti, pesaing yang dinanti-nantikan di Tampines adalah WP, yang juga belum mendedahkan sebarang maklumat mengenai pencalonannya.

Namun, parti itu dilihat mendekati penduduk Tampines secara aktif sekurang-kurangnya sejak 2023.

Berdasarkan sumber yang diterima akhbar, The Straits Times (ST), empat individu dijangka ditempatkan di Tampines sebagai calon WP ialah Encik Jimmy Tan, 53 tahun, yang bekerja sendiri; pakar pembayaran, Encik Jasper Kuan, 46 tahun; peguam pertikaian yang kini menjadi perunding, Encik Andre Low, 33 tahun; dan Cik Afifah Khalid, 42 tahun, pengarah bersekutu dalam industri perkhidmatan kewangan.

Mantan ketua Parti Pekerja (WP), Encik Low Thia Khiang (tengah) bersama empat calon yang mungkin bertanding di Tampines – Encik Andre Low (dua dari kiri), Encik Jasper Kuan (empat dari kiri), Cik Afifah Khalid (tiga dari kanan) dan Encik Jimmy Tan (dua dari kanan).
Mantan ketua Parti Pekerja (WP), Encik Low Thia Khiang (tengah) bersama empat calon yang mungkin bertanding di Tampines – Encik Andre Low (dua dari kiri), Encik Jasper Kuan (empat dari kiri), Cik Afifah Khalid (tiga dari kanan) dan Encik Jimmy Tan (dua dari kanan). - Foto WP

Zamil penyelidik kanan di IPS, Dr Faizal Yahya, berkata mandat PAP yang sekian lama memegang Tampines akan ‘diuji’ dengan tiga daerah mengundi di GRC Aljunied, terdiri daripada hampir 4,000 pengundi, dipindah ke GRC Tampines.

“Tiga daerah mengundi di Tampines West yang dipindah dari divisyen Bedok-Reservoir Punggol di bawah GRC Aljunied ke GRC Tampines merangkumi estet HDB BTO baru Tampines GreenGem, tempat AP WP, Encik Gerald Giam, telah aktif dalam usaha pendekatannya.

“WP kemungkinan meluaskan usaha pendekatan mereka dari tiga kawasan undi itu yang sebelum ini di bawah GRC Aljunied, dan ini mungkin menjejas mandat penyandang,” ujarnya.

Selain itu, GRC Tampines mungkin ditanding sebagai usaha WP untuk terus meluaskan pengaruh mereka di daerah timur dan timur laut Singapura, katanya lagi.

Walaupun Tampines secara umumnya dianggap sebagai ‘kubu kuat’ PAP, Dr Walid berkata ia juga patut dipersoal sama ada ia adalah kerana belum ada parti pembangkang yang kuat bertanding di sana.

Menurut Dr Walid, walaupun NSP dianggap sebagai parti pembangkang ‘lemah’, ia masih dapat raih kira-kira 34 peratus undian pada 2020, iaitu jumlah yang ‘tidak kecil’.

“Jika WP menghantar pasukan ke sana, kita akan dapat tahu sejauh mana ia merupakan kubu kuat bagi PAP,” ujarnya.

Dr Tan berkata sememangnya persaingan akan semakin sengit berbanding pilihan raya sebelum ini sekiranya WP benar-benar bertanding di Tampines.

Ketua Parti Perpaduan Nasional (NSP), Encik Spencer Ng (dua dari kanan), dan presiden NSP, Encik Reno Fong (tiga dari kanan), mendekati penduduk di Pusat Makanan dan Pasar Bulat Tampines pada 9 Februari.
Ketua Parti Perpaduan Nasional (NSP), Encik Spencer Ng (dua dari kanan), dan presiden NSP, Encik Reno Fong (tiga dari kanan), mendekati penduduk di Pusat Makanan dan Pasar Bulat Tampines pada 9 Februari. - Foto NSP

Bagi NSP pula, ini akan menjadi kali empat secara berturut-turut ia bertanding di Tampines sejak 2011.

Presiden NSP, Encik Reno Fong, berkata beliau akan memimpin pasukan Tampines, dengan Naib Presiden, Encik Mohd Ridzwan Mohammad, sebagai anggota disahkan bertanding.

Encik Ridzwan bertanding di GRC Tampines sejak GE2020, sementara Encik Fong bertanding sejak 2011.

Calon NSP lain yang kemungkinan masuk bertanding termasuk pengurus operasi, Encik Lim Rui Xian, 36 tahun; pegawai keselamatan, Cik Nur Farahiyah Mahfoot, 39 tahun; dan Encik Thamilselvan Karuppaya, 57 tahun, yang bekerja sendiri.

Setiausaha agung Parti Kuasa Rakyat (PPP), Encik Goh Meng Seng (enam dari kanan), bersama anggota parti termasuk pengerusi parti, Encik Derrick Sim (enam dari kiri), sewaktu sesi mendekati penduduk Tampines pada 23 Februari.
Setiausaha agung Parti Kuasa Rakyat (PPP), Encik Goh Meng Seng (enam dari kanan), bersama anggota parti termasuk pengerusi parti, Encik Derrick Sim (enam dari kiri), sewaktu sesi mendekati penduduk Tampines pada 23 Februari. - Foto ST

Setiausaha Agung PPP, Encik Goh Meng Seng, juga telah mengisytiharkan beliau akan mengetuai pasukan di Tampines, mengesahkan sekurang-kurangnya tiga calon yang mungkin berada dalam barisannya setakat ini.

Mereka ialah pengerusi parti, Encik Derrick Sim, 45 tahun, seorang perancang kewangan; eksekutif landskap, Encik Vere Nathan, 26 tahun; dan usahawan, Cik Arbaah Haroun, 49 tahun.

Saintis politik daripada Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Elvin Ong, menarik perhatian bahawa jika ketiga-tiga parti pembangkang bertanding, undi bagi parti pembangkang akan berpecah dan peluang menewaskan PAP akan berkurangan.

“Peluang WP menang dalam kalangan ketiga-tiga parti pembangkang adalah tertinggi, memandangkan mereka dipandang pengundi sebagai parti pembangkang paling boleh dipercayai, sepertimana didedah tinjauan IPS.

“Secara amnya, dengan rekod lama PAP menang di Tampines, kita patut jangka PAP untuk terus menang tidak kira parti mana yang bersaing dengan mereka.

“Memandangkan bilangan pengundi Melayu tinggi di GRC tersebut dan hakikat Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos, merupakan menteri utama di sana, kita boleh jangka sekurang-kurangnya sebahagian undian bagi PAP akan mencerminkan penilaian pengundi Melayu ke atas prestasinya,” ujar beliau.

Yang pasti, persaingan sengit boleh dijangka di Tampines, kata pemerhati.

“Yang pasti, PAP mempunyai kelebihan kerana sudah menerajui (Tampines). Perjuangan untuk tambat hati dan fikiran pengundi dijangka berlangsung dengan sangat sengit,” kata Dr Tan.

KEPRIHATINAN PENDUDUK TAMPINES

Tampines Boulevard Park menyediakan ruang riadah dan suasana penuh kehijauan.
Tampines Boulevard Park menyediakan ruang riadah dan suasana penuh kehijauan. - Foto ZAOBAO

Penduduk Tampines yang dihubungi BH baru-baru ini, secara umum berkongsi mereka senang hati dengan kemudahan dan prasarana yang disediakan di estet mereka, malah mendapati apa yang disediakan di Tampines serba cukup.

Encik Muhammad Khairul Sufian, 38 tahun, yang sudah tinggal di Tampines lebih sedekad berkata pembangunan di Tampines sepanjang tahun-tahun lalu boleh dianggap “sangat pesat”.

Beliau tidak sabar menantikan lebih banyak kemudahan dibangunkan, antaranya hab pengangkutan bersepadu Tampines Central dan kelab masyarakat Tampines North.

“Saya amat berpuas hati dengan penambahan kehijauan (Tampines Eco Green dan Tampines Boulevard Park), selain lebih banyak bas dan kereta api yang menjadikan perjalanan semakin mudah,” ujar pakar kanan dalam industri pengangkutan itu.

Walaupun rata-rata gembira dengan pembangunan di Tampines, para penduduk turut menimbulkan beberapa keprihatinan.

Encik Ahmad Safiy, 28 tahun, yang baru berpindah ke Tampines North selama dua tahun, berkata walaupun Tampines membuatnya rasa aman, tidak terasing dan lengkap dengan kemudahan seperti Our Tampines Hub, beliau mendapati Tampines agak sesak.

“Kami sangat memerlukan satu lagi masjid memandangkan masyarakat Islam di sini besar,” ujarnya, yang berharap pembangunan masjid di Tampines North itu dapat dipercepat.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan bahawa pembinaan masjid di Tampines North, yang sebelum ini tergendala akibat pandemik Covid-19, akan dimulakan pada 2027.

Masjid di Tampines North itu, yang pertama kali diumumkan pada 2015, akan didirikan di tapak sepanjang Tampines North Drive 5.

Sementara itu, terdapat penduduk yang berkata mereka akan memberi tumpuan terhadap isu di peringkat kebangsaan kerana mendapati pembangunan di Tampines sudah cukup baik.

Bagi pengundi kali pertama, Cik Syakirah Aqilah Sanusi, 24 tahun, beliau sangat prihatin dengan isu kos sara hidup.

“Dengan kos sara hidup yang meningkat, kita sebagai generasi muda akan terus mempersoal sama ada kita akan mampu memiliki rumah dan memenuhi keperluan asas sebelum kita memulakan sebuah keluarga,” ujarnya.

Memberi pandangan umum, Encik Muhd Raihan, 26 tahun, yang telah menetap di Tampines East sepanjang hidupnya, percaya bahawa suara pembangkang di dalam Parlimen penting supaya dapat memberi pandangan alternatif kepada keputusan yang bakal dibuat pemerintah.

Baginya, apa yang dicarinya dalam calon yang bakal bertanding di Tampines adalah sama ada mereka berkebolehan dan boleh dipercayai untuk mewakili penduduk.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg