Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mantan panglima tentera darat David Neo diperkenal pasukan PAP di Tampines

Apr 12, 2025 | 9:06 PM
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli (tiga dari kiri), memperkenal Mantan Panglima Tentera Darat, Encik David Neo (dua dari kiri) kepada pihak media semasa acara ‘Konsert Irama Aidilfitri 2025’ di Hab Tampines Kita (OTH) pada 12 April. Beliau ditemani pasukan PAP, (dari kiri) Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Dr Koh Poh Koon, Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pengangkutan serta Kelestarian dan Alam Sekitar, Encik Baey Yam Keng, Dr Charlene Chen, 43 tahun, penolong profesor pemasaran di Universiti Teknologi Nanyang dan Datuk Bandar Daerah Timur Laut, Encik Desmond Choo.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli (tiga dari kiri), memperkenal Mantan Panglima Tentera Darat, Encik David Neo (dua dari kiri) kepada pihak media semasa acara ‘Konsert Irama Aidilfitri 2025’ di Hab Tampines Kita (OTH) pada 12 April. Beliau ditemani pasukan PAP, (dari kiri) Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Dr Koh Poh Koon, Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pengangkutan serta Kelestarian dan Alam Sekitar, Encik Baey Yam Keng, Dr Charlene Chen, 43 tahun, penolong profesor pemasaran di Universiti Teknologi Nanyang dan Datuk Bandar Daerah Timur Laut, Encik Desmond Choo. - Foto BM oleh KHALID BABA

Mantan Panglima Tentera Darat, Encik David Neo, telah menyertai pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Tampines menjelang pilihan raya umum akan datang.

Melahirkan harapan agar barisan bakal calon PAP yang akan bertanding di kawasan undi itu bagi Pilihan Raya Umum (GE) 2025 dapat disahkan dalam masa terdekat, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang menerajui pasukan Anggota Parlimen (AP) PAP di GRC Tampines berkata Encik Neo, 47 tahun, telah diperkenal kepada penduduk di beberapa kawasan Tampines.

Tambahnya, Encik Neo turut serta dalam lawatan ke rumah penduduk bersama AP GRC Tampines selain aktif menyertai pelbagai acara masyarakat di sekitar Tampines.

“Kami gembira beliau giat turun padang dan mula mengenali penduduk di sini.

“Hari ini, saya berbesar hati mengalu-alukan penyertaan Encik David Neo dalam pasukan kami. Kami berharap barisan calon pasukan dapat disahkan secepat mungkin,” kata Encik Masagos.

Encik Masagos berkata demikian kepada media ketika ditemui di acara Konsert Irama Aidilfitri 2025 di Hab Tampines Kita (OTH) pada 12 April.

Turut hadir di acara tersebut ialah AP GRC Tampines GRC yang lain termasuk Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon; Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng; serta Mayor CDC North East, Encik Desmond Choo.

Seorang lagi bakal calon baru pasukan PAP di GRC Tampines, Dr Charlene Chen, 43 tahun, yang merupakan penolong profesor pemasaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) juga hadir di acara itu.

Dr Chen diperkenal kepada penduduk Tampines pada Jun 2024 dan kini merupakan penasihat akar umbi kedua bagi kawasan Tampines East.

Dr Chen, mantan sukarelawan akar umbi Buona Vista, telah menerajui Sesi Bertemu Penduduk (MPS) di Tampines East sejak lewat 2024.

Encik Neo pula merupakan wajah baru di Tampines, selepas menamatkan khidmat sebagai panglima tentera darat pada 21 Mac.

Encik Neo menyertai Tentera Darat Singapura pada 1996 dan dilantik sebagai Panglima Tentera Darat mulai Mac 2022.

Tampines dijangka menjadi antara kawasan undi dengan saingan sengit dalam pilihan raya kali akan datang, dengan hingga tiga parti pembangkang dijangka bertanding menentang PAP bagi merebut kerusi lima anggota GRC Tampines serta kerusi perseorangan SMC Tampines Changkat.

Tidak lama selepas laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) dikeluarkan pada 11 Mac, Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP) melahirkan hasrat untuk bertanding di Tampines.

Sementara itu, Parti Pekerja (WP) pula masih belum mengesahkan pendiriannya, namun dilihat aktif mendekati penduduk Tampines sejak dua tahun lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg