Peguam, Encik Alex Yeo akan bertanding di kawasan Potong Pasir di bawah Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) menggantikan Anggota Parlimen (AP), Encik Sitoh Yih Pin.
Encik Sitoh, 61 tahun, akan bersara daripada politik selepas berkhidmat selama tiga penggal.
Encik Yeo, 46 tahun, menceburi politik pada 2020, semasa beliau dicalonkan di GRC Aljunied sebagai sebahagian pasukan PAP.
Dalam pilihan raya itu, PAP kalah dengan 40.05 peratus undi kepada Parti Pekerja (WP), yang menang dengan 59.95 peratus undi.
Dalam satu taklimat akhbar di Potong Pasir pada 16 April, Encik Yeo berkata beliau bukan wajah baru di Potong Pasir kerana beliau sudah melakukan kerja sukarela di kawasan itu sejak 2013.
“Ia terasa seperti saya kembali ke tempat asal saya... sebahagian daripada diri saya sebenarnya tidak pernah meninggalkan Potong Pasir,” ujar beliau.
Dalam kata-kata pendahuluannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada Encik Sitoh kerana memberikannya bimbingan dalam memberi khidmat kepada masyarakat di Potong Pasir, lapor The Straits Times.
“Beliau ialah mentor yang saya sayangi dan saya sudah belajar banyak tentang kepimpinan serta perkhidmatan masyarakat daripada beliau,” kata Encik Yeo.
Encik Sitoh telah menjadi AP SMC Potong Pasir sejak 2011.
Encik Yeo pula akan kembali ke kejiranan Potong Pasir, walaupun beliau lebih banyak berinteraksi dengan penduduk di Aljunied, memandangkan beliau mengendalikan sebuah klinik guaman masyarakat di kawasan itu, yang beliau tubuhkan pada 2016.
Beliau telah juga melancarkan program Surat Kuasa Berkekalan (LPA) secara pro bono atau percuma.
“Saya (masih dekat) dan hanya dipisahkan oleh jejambat,” ujar beliau.
Beliau sedang menyiapkan satu manifesto dan akan melancarkannya tidak lama lagi.
Manifesto tersebut akan memberikan butir-butir mengenai rancangan lima tahun bagi kawasan Potong Pasir, tambah Encik Yeo.
Ia akan mengandungi rancangan menambah baik pelbagai prasarana atau kemudahan fizikal, di samping inisiatif yang bertujuan menyokong keluarga dan mengeratkan lagi hubungan mesra sesama penduduk.
Kerja penambahbaikan tersebut termasuk membina lebih banyak laluan pejalan kaki berbumbung, jambatan dan papan tanda.
Encik Yeo turut memberi sedikit gambaran mengenai rancangan “menyegarkan semula dan memberi nafas baru” kepada beberapa kejiranan matang di Potong Pasir dan menjaga kebajikan warga emas dalam masyarakat, contohnya, dengan menyediakan klinik bergerak.
“Kami merangka rancangan ini setelah mendengar, memerhati dan berinteraksi dengan para penduduk Potong Pasir di seluruh kawasan pilihan raya,” jelasnya.
Beliau turut melahirkan hasrat menunaikan setiap janji yang dibuat kepada penduduk kawasan tersebut.
Beliau menambah sesiapa sahaja yang ingin berkhidmat kepada penduduk Potong Pasir perlu memahami “cara menggabungkan warisan masa lalu, dengan impian dan aspirasi penduduk untuk masa hadapan”.
Parti Rakyat Singapura (SPP) dijangka bertanding sekali lagi di kawasan Potong Pasir dalam pilihan raya ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg