Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

GE2025: Parti pemerintah, pembangkang pergiat tampil bakal calon

Lebih 30 bakal calon telah diperkenalkan PAP dan pembangkang
Apr 11, 2025 | 4:36 PM
Antara calon-calon yang dilihat dan disebut bakal bertanding di GE2025 adalah (mengikut putaran jam, dari kiri, atas) Encik Sani Ismail dari Parti Kemajuan Singapura (PSP); Encik Muhammad Faizal Mohmad dari Perikatan Demokratik Singapura (SDA); Cik Surayah Akbar dari Parti Demokratik Singapura (SDP); Cik Hazlina Abdul Halim dari Parti Tindakan Rakyat (PAP); Dr Syed Alwi Ahmad dari Titik Merah Bersatu (RDU); dan Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik dari Parti Pekerja (WP).
Antara calon-calon yang dilihat dan disebut bakal bertanding di GE2025 adalah (mengikut putaran jam, dari kiri, atas) Encik Sani Ismail dari Parti Kemajuan Singapura (PSP); Encik Muhammad Faizal Mohmad dari Perikatan Demokratik Singapura (SDA); Cik Surayah Akbar dari Parti Demokratik Singapura (SDP); Cik Hazlina Abdul Halim dari Parti Tindakan Rakyat (PAP); Dr Syed Alwi Ahmad dari Titik Merah Bersatu (RDU); dan Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik dari Parti Pekerja (WP). - Foto fail

Bahang Pilihan Raya Umum (GE) 2025 kian hangat dengan parti-parti politik – baik parti pemerintah mahupun parti pembangkang – giat turun padang mendekati penduduk bagi memperkenalkan senarai bakal calon-calon mereka.

Sejak laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) dikeluarkan pada 11 Mac, lebih 30 bakal calon telah diperkenalkan di merata Singapura oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP), termasuk wajah baru dan juga mantan penjawat politik.

Mantan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, yang juga Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng serta mantan Menteri Negara Kanan, Dr Lam Pin Min, kini kerap dilihat di kawasan Fernvale dan Sengkang.

Kedua-duanya pernah bertanding di GRC Sengkang pada GE2020 dan tewas ketika berhadapan dengan pasukan baru Parti Pekerja (WP).

Meskipun tewas, Dr Lam masih meneruskan peranannya sebagai penasihat bagi badan akar umbi serta pengerusi cawangan PAP Sengkang West sejak GE2020.

Antara wajah-wajah baru Melayu PAP yang telah diperkenalkan setakat ini termasuk Profesor Madya Dr Elmie Nekmat, 43 tahun dan mantan Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim, 40 tahun.

Turut diperkenalkan juga adalah dua pakar perubatan iaitu Konsultan Psikiatri dan Pengarah Perubatan, The Starfish Clinic, Dr Syed Harun Alhabsyi, 39 tahun, serta Pengarah Klinikal dan Pakar Bedah Pergigian, Nuffield Holdings, Dr Faisal Abdul Aziz, 37 tahun.

Namun, senarai nama-nama calon yang bakal bertanding masih belum dimuktamadkan, kata Anggota Parlimen (AP) PAP sedia ada, yang kerap merujuk kepada Perdana Menteri dan Setiausaha Agung PAP, Encik Lawrence Wong, sebagai “orang terakhir yang membuat keputusan muktamad”.

Meskipun demikian, Berita Harian (BH) difahamkan bahawa senarai bakal calon PAP akan diumumkan secara rasmi pada hujung minggu ini dan minggu-minggu akan datang menjelang GE2025.

Ini susulan pengumuman Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim pada 11 April, menyatakan beliau akan berpindah dari GRC Nee Soon untuk bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights bagi GE2025.

Dr Faishal, yang telah berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) selama tiga penggal, mula menyertai politik pada 2006 sebagai sebahagian daripada pasukan GRC Marine Parade, sebelum menyertai pasukan GRC Nee Soon pada 2011.

Parti Pekerja (WP) masih belum mengumumkan secara rasmi barisan calon mereka, serta kawasan yang bakal ia bertanding untuk GE2025.

Namun, beberapa aktivis WP Melayu lama serta wajah baru telah dilihat di lapangan.

Ini termasuk peguam Encik Muhammad Fadli Mohammed Fawzi, 44 tahun, yang pernah bertanding di GRC Marine Parade, dan bekas penyelidik dan penyelaras program, Encik Abdul Shariff Aboo Kassim, 59 tahun yang pernah bertanding di GRC East Coast pada GE2020.

Wajah baru seperti Pengurus Hartanah Kanan, Majlis Bandaran Aljunied-Hougang, Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, 35 tahun, telah dilihat di GRC Sengkang, sementara Pengarah Bersekutu, Standard Chartered Bank, Cik Afifah Khalid, 42 tahun, dilihat di Tampines.

WP telah memegang SMC Hougang sejak 1991, GRC Aljunied sejak 2011 dan GRC Sengkang sejak 2020. Parti tersebut kini dipimpin Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh.

Sekurang-kurangnya satu parti pembangkang – Parti Demokratik Singapura (SDP) – telah mengumumkan senarai calon-calonnya untuk kawasan yang bakal ia bertanding pada GE2025.

Ini termasuk Setiausaha Agung, SDP, Dr Chee Soon Juan, 62 tahun, yang akan bertanding di SMC Sembawang West, dan Pengerusi SDP, Profesor Dr Paul Tambyah, 60 tahun yang akan bertanding di SMC Bukit Panjang.

Ia juga mengumumkan barisan calonnya untuk GRC Sembawang, yang merangkumi Dr James Gomez, 60 tahun, Encik Damanhuri Abas, 54 tahun, Cik Surayah Akbar, 42 tahun, Encik Bryan Lim, 49 tahun dan Encik Alfred Tan, 59 tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg