Peratusan yang keluar mengundi bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) adalah yang terendah sejak 1968, dengan 92.47 peratus daripada 2,627,026 pengundi, berdaftar di kawasan yang ditandingi, hadir di Pusat Mengundi untuk membuang undi pada 3 Mei lalu.
Pemerhati politik berkata kepada akhbar The Straits Times (ST), penjelasan yang kemungkinannya paling ketara tentang peratusan pengundi lebih rendah pada 2025 ialah sebilangan rakyat Singapura telah pun membuat rancangan ke luar negara sebelum pilihan raya diumumkan tarikhnya, mengambil kesempatan daripada cuti Hari Pekerja, yang jatuh pada 1 Mei.
Mereka menyatakan seandainya perkara ini tidak berlaku dan lebih ramai pengundi hadir, ia mungkin tidak mengubah keputusan GE2025 pada akhirnya kerana tidak ada cara untuk mengetahui siapakah pilihan pengundi yang tidak hadir ini.
Angka 92.47 peratus, yang dikeluarkan oleh Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada 4 Mei, tidak termasuk undian di pusat mengundi di luar negara atau melalui pos, yang akan ditambah kepada pengiraan akhir, yang akan diketahui dalam tempoh tidak lebih awal daripada 10 hari selepas Hari Mengundi.
Daripada 18,389 pengundi luar negara yang berdaftar pada GE2025, 1,152 orang tidak mengundi kerana mereka telah didaftarkan untuk mengundi di GRC Marine Parade-Braddell Heights, yang dimenangi Parti Tindakan Rakyat (PAP) tanpa bertanding.
Mengikut sejarah mengundi, peratusan yang keluar mengundi di luar negara adalah antara 60 dengan 80 peratus. Walau bagaimanapun, walaupun baki 17,237 pengundi luar negara yang layak semuanya telah membuang undi di luar negara, peratusan keseluruhan yang keluar mengundi pada 2025 akan berada pada paras 93.13 peratus.
Ini lebih rendah daripada 95.81 peratus warganegara yang keluar mengundi pada 2020 ketika pilihan raya diadakan semasa pandemik Covid-19; 93.7 peratus pada 2015; dan 93.18 peratus pada 2011.
Peratusan pengundi paling rendah bagi pilihan raya Parlimen di Singapura ialah pada 1968, pilihan raya umum pertama sejak negara ini merdeka.
Kemudian, 91.83 peratus pengundi yang layak hadir untuk membuang undi, tetapi hanya terdapat tujuh kerusi yang dipertandingkan daripada 58 kerusi, kerana Barisan Sosialis yang kini tidak berfungsi telah memboikot pengundian.
Pada GE2025, SMC Mountbatten mempunyai peratusan individu yang keluar mengundi paling rendah pada Hari Mengundi dalam kalangan 32 kawasan pilihan raya yang dipertandingkan – iaitu, pada 87.83 peratus.
Kerusi Parlimen bagi SMC tersebut itu dimenangi oleh calon PAP kali pertama, Encik Gho Sze Kee, dengan 63.84 peratus undi. Beliau menentang calon bebas, Encik Jeremy Tan.
Peratusan individu yang keluar mengundi terendah seterusnya ialah di GRC Tanjong Pagar, di mana 89 peratus pengundi berdaftar telah membuang undi di Singapura apabila tempoh undian ditutup.
Di GRC ini, pasukan PAP yang diketuai Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, menang dengan 81.03 peratus undi sewaktu menentang Parti Perikatan Rakyat Bagi Pembaharuan (PAR) - prestasi terbaik parti pemerintah dalam GRC sejak divisyen pilihan raya seperti itu diwujudkan pada 1988.
Sebaliknya, kawasan pilihan raya dengan peratusan individu yang keluar mengundi tertinggi pada Hari Mengundi ialah SMC Sembawang West, dengan 94.14 peratus.
Kerusi tunggal SMC tersebut itu dimenangi calon PAP, Cik Poh Li San meskipun beliau menang tipis (perbezaan enam mata) apabila bertanding dengan Ketua Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Chee Soon Juan.
Di SMC Jalan Kayu dan GRC Tampines, yang mana peratusan mereka yang keluar mengundi masing-masing adalah 93.82 peratus dan 93.55 peratus, jumlah pengundi di Singapura yang tidak mengundi melebihi margin kemenangan PAP.
Di SMC Jalan Kayu, di mana sekurang-kurangnya 1,710 pengundi setempat tidak mengundi, Ketua Kesagtuan, Encik Ng Chee Meng, menang dengan 806 undi menentang Encik Andre Low daripada Parti Pekerja (WP).
Di GRC Tampines, di mana PAP menewaskan WP dengan 6,379 undi, terdapat sekurang-kurangnya 8,908 pengundi yang tidak membuang undi.
Mengenai sama ada peratusan lebih tinggi bagi mereka yang keluar mengundi boleh mengubah keputusan pilihan raya, terutamanya dalam perlumbaan yang lebih berdaya saing, pemerhati politik, berkata ini adalah spekulatif semata-mata.
Penganalisis kanan ehwal antarabangsa di Solaris Strategies SIngapore, Dr Mustafa Izzuddin, berkata tidak ada cara untuk mengetahui dengan pasti bagaimana mereka yang tidak mengundi akan membuat pilihan jika mereka berada di peti undi masing-masing.
“Menariknya peratusan yang keluar mengundi lebih rendah berbanding pilihan raya sebelum ini. Tetapi saya fikir setiap pilihan raya perlu dilihat mengikut ketetapannya sendiri,” katanya.
Profesor Madya Eugene Tan, seorang penganalisis politik dan karyawan undang-undang di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), berkata bahawa setiap undian penting. Ini meliputi undi rosak juga, tambahnya.
Berdasarkan pengiraan ELD setakat ini, terdapat sejumlah 42,829 undi ditolak pada tempoh tutup pengundian pada 3 Mei, atau 1.76 peratus daripada jumlah undi yang dikeluarkan.
Sebagai perbandingan, terdapat 45,822 undi ditolak pada GE2020, atau 1.8 peratus daripada jumlah undi yang dibuat ketika itu.
Mengundi adalah wajib bagi warga Singapura yang berumur 21 tahun dan ke atas, dan mereka yang tidak mengundi akan dikeluarkan namanya daripada Daftar Pengundi.
Mereka yang mempunyai alasan yang sah untuk tidak mengundi, bagaimanapun, boleh memohon untuk menyertakan nama mereka dalam daftar itu tanpa bayaran.
Beberapa sebab yang boleh diterima termasuk berada di luar negara untuk bercuti, atau masalah perubatan seperti penyakit.
Mahasiswa, Encik Basile Chen, 26 tahun, yang terbang ke Bangkok pada 2 Mei lalu, adalah antara mereka yang sudah membuat rancangan melancong sebelum Writ Pilihan Raya dikeluarkan pada 15 April.
Encik Chen, yang tidak pernah mengundi, juga terlepas Pilihan Raya Presiden 2023 kerana beliau berada dalam program pertukaran luar negara pada masa itu.
Penduduk GRC East Coast itu, yang mengikuti kempen 2025 dengan teliti, berkata beliau tidak bernasib baik kerana terlepas mengundi bagi GE2025.
“Hak untuk mengundi adalah asas dalam demokrasi yang berfungsi, dan alangkah baiknya jika pandangan saya diambil kira dengan mengambil bahagian dalam pilihan raya ini,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg