Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengamat: Mandat kuat PAP tanda pengundi pilih kestabilan

Pengundi tunjuk kematangan pertimbang kesan isu sejagat, mutu calon; PAP digesa tidak sia-siakan sokongan, tunai janji GE
May 6, 2025 | 5:30 AM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tiga dari kiri) dan pasukan GRC Marsiling-Yew Tee (dari kiri) Cik Hany Soh, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam meraikan kemenangan pasukan itu di Stadium Yio Chu Kang pada 4 Mei.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tiga dari kiri) dan pasukan GRC Marsiling-Yew Tee (dari kiri) Cik Hany Soh, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam meraikan kemenangan pasukan itu di Stadium Yio Chu Kang pada 4 Mei. - Foto ST

Mandat kuat yang diraih Parti Tindakan Rakyat (PAP) semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) menunjukkan pengundi memilih parti yang boleh memberikan kestabilan di tengah-tengah ketidaktentuan sejagat, kata penganalisis kepada Berita Harian (BH).

Walaupun pilihan selamat mungkin menyumbang kepada mandat tersebut, penganalisis berkata pengundi mahukan calon yang boleh dipercayai dan dianggap mampu menangani kebimbangan dan cabaran di dalam dan luar negara.

Zamil penyelidik kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya berkata, mandat kuat yang dimenangi PAP menunjukkan bahawa pengundi “memilih jenama politik yang dipercayai”.

“Secara umumnya, pengundi kelihatan arif dan mempertimbangkan peristiwa sejagat yang perlu ditangani oleh Singapura seperti ketidaktentuan pasaran eksport dan gangguan rantaian bekalan.

“(Ia) berhubung dengan cara Singapura mengemudi peristiwa sejagat seperti Amerika Syarikat menggunakan tarif untuk mengeluarkan konsesi daripada rakan dagangannya yang akan memberi kesan kepada pekerjaan dan kos sara hidup di sini,” kata Dr Faizal.

Zamil penyelidik kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya berkata, mandat kuat yang diperolehi oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) menunjukkan pengundi “memilih jenama politik yang dipercayai”.
Zamil penyelidik kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya berkata, mandat kuat yang diperolehi oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) menunjukkan pengundi “memilih jenama politik yang dipercayai”. - Foto fail

Sementara itu, Profesor Undang-Undang, Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Eugene Tan berkata pengundi Singapura telah menunjukkan “tahap kematangan tinggi” dan menggunakan undi mereka dengan “akhlak, kebijaksanaan, dan tanpa rasa takut atau pilih kasih”.

Beliau menambah kebanyakan pengundi memilih PAP kerana mereka tahu parti tersebut boleh melaksanakannya seperti mana ia memimpin negara sejak 1959.

“Mengambil tindakan adalah lebih penting daripada kata-kata sahaja... PAP mempunyai kelebihan yang ketara dalam dasar, yang disokong kempen di kawasan undi.

“Mereka juga mempunyai platform yang kukuh dan kehadiran di lapangan di seluruh Singapura.

“Melalui undian, rakyat mencerminkan kepentingan kestabilan, kesinambungan, dan keselamatan ketika aturan dunia, yang mana Singapura telah meraih manfaat besar daripadanya, sedang berubah,” kata Dr Tan.

Bagi Zamil Kanan dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat pula, beliau berkata antara pertimbangan rakyat semasa mengundi adalah perang dagangan yang sedang berlaku di seluruh dunia.

Namun, beliau berkata pengundi turut mengambil pertimbangan lain termasuk terhadap isu nasional ketika mengundi PAP pada 3 Mei.

“Kita lihat mungkin peningkatan undian bagi PAP itu mungkin atas dasar “flight to safety” (pilihan yang selamat) tapi kalau kita perincikan di peringkat tempatan, di peringkat kawasan undi – ada isu-isu dan perkara dinamik tersendiri.

“Ada yang mungkin resah terhadap dasar luar dan sebagainya. Pelbagai isu yang boleh diketengahkan di peringkat akar umbi,” kata Dr Norshahril.

Pada GE2025, PAP menang 87 daripada 97 kerusi Parlimen dan menerima 65.57 peratus undi sah, naik daripada 61.24 peratus pada 2020.

Dr Norshahril berkata PAP perlu terus bekerja keras demi memastikan sokongan yang diterimanya dapat diteruskan.

“Jika tidak, mereka boleh mengalami kekalahan yang besar atau penurunan yang besar dalam undi pada masa hadapan,” katanya.

Zamil Kanan dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat berkata antara pertimbangan rakyat semasa mengundi adalah perang dagangan yang sedang berlaku di seluruh dunia.
Zamil Kanan dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat berkata antara pertimbangan rakyat semasa mengundi adalah perang dagangan yang sedang berlaku di seluruh dunia. - Foto fail

Parti Pekerja (WP) pula berjaya melihat peningkatan dalam jumlah undi yang diraihnya bagi GRC Sengkang dengan peratusan undi 56.31 peratus, iaitu sekitar 4 peratus lebih tinggi berbanding 52.12 peratus undi​ yang mereka terima pada 2020.

Ia juga berjaya meraih peratusan undi yang agak sama berbanding pilihan raya lepas bagi GRC Aljunied (2025: 59.68 peratus; 2020: 59.65 peratus) dan SMC Hougang (2025: 62.17 peratus; 2020: 61.27 peratus).

Bagi kawasan undi lain yang ditandingi WP, seperti GRC Punggol, GRC Tampines, SMC Punggol, SMC Jalan Kayu dan SMC Tampines Changkat, parti tersebut berjaya meraih sekurang-kurangnya 40 peratus undi rakyat.

Menurut Dr Tan, PAP tidak boleh mensia-siakan mandat kukuh yang diraihnya pada GE2025 dan perlu mentadbir negara dengan empati, rendah hati dan rasa hormat.

Beliau menambah parti pemerintah perlu berhati-hati dalam memperjuangkan jalan pertengahan yang luas, melaksanakan janji pilihan raya dan mentadbir dengan baik.

“Adalah jelas bahawa WP boleh dengan mudah menguasai sekurang-kurangnya satu pertiga daripada undi di mana-mana kawasan yang mereka tandingi. Ini adalah tahap asas sokongan untuk WP.

“Bagi PAP, ini bermakna selain mengekalkan sokongan daripada pangkalan mereka, mereka perlu memenangi sekurang-kurangnya separuh daripada pengundi yang tidak terikat dengan mana-mana parti,” kata Dr Tan.

Bagi GE2025, selain PAP, WP juga berjaya memperkenalkan ramai calon baru yang mempunyai kelayakan yang baik.

Justeru, Dr Tan berkata mengetengahkan calon berkaliber yang baik “adalah satu kemestian” dalam pilihan raya umum pada masa hadapan.

Profesor Undang-undang, Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Eugene Tan berkata pengundi Singapura telah menunjukkan “tahap kematangan yang tinggi”.
Profesor Undang-undang, Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Eugene Tan berkata pengundi Singapura telah menunjukkan “tahap kematangan yang tinggi”. - Foto fail

Ini kerana pengundi mesti diyakinkan bahawa seseorang yang ingin menjadi Anggota Parlimen (AP) mereka bukan sahaja mewakili suara pengundi, malah mempunyai niat dan keutamaan yang betul, katanya.

Menurut Dr Faizal, calon baru yang berpotensi kini mempunyai pilihan parti yang berwibawa selain PAP.

Ia dijangka memperhebat persaingan bagi menarik calon yang baik dalam kalangan parti.

“Memandangkan kepelbagaian latar belakang dan kerjaya calon, khususnya pembangkang, tidak semestinya PAP akan sentiasa menarik calon yang baik.

“Dengan adanya peningkatan bilangan AP dan demografi kita yang semakin menua, ini juga akan merangsang persaingan untuk menarik calon yang baik,” kata Dr Faizal.

“Kita lihat mungkin peningkatan undian bagi PAP itu mungkin atas dasar “flight to safety” tapi kalau kita perincikan di peringkat tempatan, di peringkat kawasan undi - ada isu-isu dan perkara dinamik tersendiri. Ada yang mungkin resah terhadap dasar luar dan sebagainya. Pelbagai isu yang boleh diketengahkan di peringkat akar umbi”
Zamil Kanan dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat

“Memandangkan kepelbagaian latar belakang dan sektor di mana calon berasal, khususnya pembangkang, tidak semestinya PAP akan sentiasa menarik calon yang baik. Dengan adanya peningkatan bilangan Anggota Parlimen dan demografi kita yang semakin menua, ini juga akan merangsangkan persaingan untuk menarik calon yang baik”
Zamil penyelidik kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya.

“PAP mempunyai kelebihan yang ketara dalam dasar, yang disokong oleh kempen di kawasan undi. Mereka juga mempunyai platform yang kukuh dan kehadiran di lapangan di seluruh Singapura. Melalui undian mereka, rakyat mencerminkan kepentingan kestabilan, kesinambungan, dan keselamatan ketika tantanan sejagat, yang mana Singapura telah mendapat manfaat yang besar daripadanya, sedang berubah”
Profesor Undang-undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Eugene Tan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg