Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

GE2025: Pertaruhan lebih besar, jaga kepentingan S’pura di dunia, kata PM Wong

PAP lancar manifesto jelang GE2025; 32 calon baru diumum termasuk 13 wanita
Apr 17, 2025 | 11:39 AM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berucap sewaktu pelancaran manifesto PAP sempena GE2025 ini pada 17 April.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berucap sewaktu pelancaran manifesto PAP sempena GE2025 ini pada 17 April. - Foto ST

Pilihan raya umum 2025 membawa pertaruhan lebih besar buat negara kecil seperti Singapura sedang ia berdepan dunia yang semakin bergolak dan tidak menentu.

Justeru, politik tidak boleh terus dijalankan seperti biasa tetapi perlu memberi tumpuan terhadap bagaimana untuk melindungi kepentingan Singapura di pentas global, kata Perdana Menteri yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Lawrence Wong, sewaktu mendedahkan manifesto parti tersebut pada 17 April di Infinite Studios yang terletak di daerah One-north dekat Portsdown Avenue. 

“Pilihan Raya Umum kali ini diadakan pada tahun Singapura (mencapai) 60 tahun yang penuh bersejarah buat kita semua,” kata Encik Wong, yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 15 Mei 2024.

“Ia berlangsung pada waktu dunia sedang melalui pelbagai perubahan besar. Maka, penting untuk rakyat Singapura memilih pasukan yang dapat memimpin mereka menempuh masa yang mencabar ini,” katanya dalam bahasa Melayu.

Beliau menukil bahawa antara cabaran yang dihadapi Singapura di peringkat global kini adalah tarif yang dikenakan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang bukan hanya meninggalkan kesan ke atas ekonomi global, tetapi juga menjejas ekonomi Singapura yang mungkin mengalami kemelesetan ekonomi dan kehilangan pekerjaan.

Justeru, Encik Wong, berkata bagaimana negara mengemudi tempoh mencabar ini akan menentukan masa depan penduduk dan anak-anak mereka.

“Ada yang mahu meremehkan keadaan ini... mereka mendakwa tidak perlu untuk bertindak balas secara keterlaluan.

“Tetapi itu bukan bagaimana kami menangani keadaan di PAP.

“Kami akan sentiasa terus terang dan telus dalam menonjolkan cabaran akan datang.

“Kami tidak pernah dan tidak akan mempertaruhkan masa depan Singapura dan warga Singapura,” ujarnya.

Justeru, berasaskan slogan ‘Dunia Berkisar. Barisan Segar. Azam Berkobar’, Encik Wong menggariskan beberapa bidang utama di mana parti itu berjanji akan penuhi.

Pertama, kata Encik Wong, adalah untuk mengembangkan ekonomi yang berdaya maju dengan menyediakan pekerjaan dan peluang baik.

Seterusnya, adalah untuk terus memperkukuh sistem pendidikan supaya setiap anak boleh mencapai potensi mereka sepenuhnya, selain memastikan warga dewasa dapat mempertingkat kemahiran mereka dan mendapat pekerjaan lebih baik.

Selain itu, PAP akan memastikan rumah dimampui dan bermutu di samping memperkasa warga Singapura supaya kekal sihat dan meniti hari tua dengan bermakna.

“Kami akan membina bandar yang lebih hijau dan lebih mampan, dan membawa sukan, seni dan budaya ke tahap lebih tinggi, menjadikan ia lebih mudah diakses dan boleh dinikmati semua.

“Kami akan membina masyarakat yang kesemuanya saling menghormati, dan setiap insan dihargai tidak kira siapa mereka,” tambahnya.

Pilihan raya ini merupakan yang pertama buat Encik Wong sebagai perdana menteri dan pemimpin PAP.

Encik Wong, yang mengetuai barisan pemimpin 4G, antaranya telah membawa Singapura mengharungi pandemik Covid-19 yang dianggap krisis terbesar bagi generasi ini.

Melebihi itu, katanya, beliau akur akan cabaran yang dihadapi warga setempat, antaranya dengan keadaan penduduk yang menua dengan pesat, selain kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) yang boleh menggantikan pekerjaan.

Justeru, beliau berkata detik ini merupakan genting bagi warga Singapura memilih pasukan yang bakal memimpin negara dan membentuk laluan ke hadapan.

Menggulung ucapannya, beliau berkata walaupun dunia telah berubah, PAP akan kekal berpegang kepada nilai-nilai yang mengasaskan parti tersebut, iaitu tidak korup, meritokrasi, kepelbagaian bangsa, keadilan dan kesaksamaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg