Warga Singapura akan keluar mengundi pada 3 Mei, berlatarbelakangkan ketidaktentuan dan ketidakstabilan geopolitik.
Hari Penamaan Calon adalah 23 April manakala tempoh berkempen pula sejurus selepas calon diluluskan untuk bertanding pada hari yang sama – berlangsung sehingga 1 Mei.
Hari Bertenang ditetapkan pada 2 Mei bagi memberi ruang kepada warga Singapura membuat keputusan.
Ini merupakan Pilihan Raya Umum (GE) pertama Encik Wong sebagai Perdana Menteri dan Setiausaha Agung penggal pertama bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Dalam satu hantaran Facebook pada 15 April, Encik Wong berkata beliau memutuskan untuk mengadakan GE sedang dunia semakin bergejolak.
“Kita sedang menyaksikan perubahan besar di dunia. Ia menjadi semakin tidak menentu dan tidak stabil. Keadaan global yang membolehkan Singapura mencapai kejayaan sejak beberapa dekad lalu mungkin tidak lagi berkekalan.
“Justeru saya memutuskan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ini. Pada persimpangan kritikal ini, rakyat Singapura harus memilih pasukan untuk memimpin negara, dan melakar hala tuju masa depan Singapura bersama,” kata beliau.
Presiden Tharman Shanmugaratnam telah membubarkan Parlimen atas nasihat Encik Wong, dan kemudian mengeluarkan Writ Pilihan Raya.
Bakal calon boleh memfailkan dokumen pencalonan di sembilan Pusat Penamaan Calon dari 11 pagi hingga 12 tengah hari pada 23 April.
Pada Hari Mengundi, tempat mengundi akan dibuka dari 8 pagi hingga 8 malam.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan pada 15 April selepas writ dikeluarkan mengisytiharkan 3 Mei sebagai cuti umum, mengikut Seksyen 35 Akta Pilihan Raya Parlimen.
Singapura akan mengundi 97 Anggota Parlimen (AP) di 33 kawasan undi – 18 Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan 15 Kawasan Undi Perseorangan (SMC).
Pada 12 April, Encik Wong menyatakan PAP akan menampilkan lebih 30 muka baru – jumlah calon baru paling ramai yang pernah ia tampilkan sejak kebelakangan ini.
GE2020 menyaksikan PAP menang 61.23 peratus undi tetapi tewas GRC Sengkang di tangan Parti Pekerja (WP).
Dalam satu hantaran Facebook pada 15 April selepas writ dikeluarkan, Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh, yang juga Ketua Pembangkang, berkata ia merupakan satu penghormatan menjadi pembangkang di Parlimen.
Hantaran susulan beliau menyatakan disebabkan kos berkempen yang semakin meningkat, parti itu memohon sokongan agar ia kekal dapat menjadi wakil pembangkang di Parlimen.
“Sebagai parti pembangkang dengan kehadiran sederhana di Parlimen, kami terus bersuara untuk mereka yang mungkin terlepas pandang.
“Kami meneliti dasar sedia ada dan mencadangkan idea segar untuk memenuhi keperluan dan aspirasi masyarakat yang lebih pelbagai dan kompleks. Tetapi kita tidak boleh melakukan ini sendirian,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Pilihan Raya (ELD) dalam satu kenyataan pada 15 April berkata Ketua Pengarah Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), Encik Han Kok Juan, adalah Pegawai Pengurus Undi (RO) pilihan raya kali ini.
Beliau menggantikan Encik Tan Meng Dui, yang menggalas tanggungjawab tersebut pada GE2020.
Kenyataan itu juga memberi garis panduan berkempen dan penguatkuasaan undang-undang baru yang melarang bahan palsu mendalam atau ‘deepfake’.
Undang-undang itu diluluskan Parlimen pada Oktober 2024 di bawah Akta Pilihan Raya (Integriti Pengiklanan Secara Dalam Talian) (Pindaan).
Ia adalah sebagai respons untuk memerangi maklumat palsu yang dipacu, dijana atau dimanipulasi kecerdasan buatan (AI) generatif dan membolehkan pemerintah mengekang mana-mana kandungan yang dijana atau dimanipulasi AI generatif semasa pilihan raya di Singapura.
Undang-undang itu akan berkuat kuasa dari tempoh Writ Pilihan Raya dikeluarkan sehingga waktu mengundi tamat.
RO turut mempunyai kuasa mengeluarkan arahan pembetulan dan calon boleh memohon arahan tersebut di bawah seksyen 61MA yang baru dalam undang-undang tersebut.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kededua parti pemerintah dan parti pembangkang sudah menampilkan barisan calon di beberapa kawasan.
Antara muka baru calon baru Muslim yang telah ditampilkan parti pemerintah PAP adalah mantan presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim, dan pakar ortopedik, Dr Hamid Razak.
Cik Hazlina akan menggantikan Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Dr Mohamad Maliki Osman di GRC East Coast pada GE2025.
Beliau akan mengambil alih sebagai bakal calon PAP bagi daerah mengundi Siglap dalam GRC East Coast, yang diterajui Dr Maliki hampir 14 tahun sejak 2011.
Dr Hamid pula diumumkan sebagai calon PAP bagi GRC West Coast-Jurong West yang baru dibentuk pada 15 April dalam satu sidang media.
Bagi parti pembangkang, tiga wajah baru Parti Kemajuan Singapura (PSP) – Encik Sani Ismail dan Encik Sumarleki Amjah – dilihat menyertai Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dan naib pengerusi pertama parti, Cik Hazel Poa, di Pasar Boon Lay Place, sebahagian daripada GRC West Coast-Jurong West.
Parti Demokratik Singapura (SDP) pula telah memperkenalkan Bendahari parti, Cik Surayah Akbar; Encik Damanhuri Abas, Encik Ariffin Iskandar Sha Ali Akbar dan setiausaha penganjur parti, Encik Jufri Salim, sebagai bakal calon.
Namun setakat ini, Parti Pekerja (WP) masih belum mengetengahkan calon.
Namun, selain mempertahankan kubu semasa GRC Aljunied, GRC Sengkang dan SMC Hougang, parti itu dijangka bertanding antara lain di GRC East Coast dan GRC Marine Parade-Bradell Heights.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg