GE2025: Sekitar 40% calon baru PAP adalah wanita
GE2025: Sekitar 40% calon baru PAP adalah wanita
Termasuk calon Melayu/Islam Hazlina Halim
GE2025: Sekitar 40% calon baru PAP adalah wanita
Sekitar 40 peratus calon baru Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) adalah wanita.
Ini bermakna, 13 daripada 32 calon baru adalah wanita, paling banyak dalam empat Pilihan Raya Umum sejak 2006.
Antara kumpulan ini ialah mantan presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim.
Sebelum ini, PAP menamakan jumlah calon wanita baru tertinggi pada GE2020, iaitu 10 daripada 27 calon, mewakili 37 peratus calon baru.
Berkongsi demikian sewaktu mendedahkan manifesto Parti Tindakan Rakyat (PAP), setiausaha agung PAP, Encik Lawrence Wong, berkata ia adalah sebahagian daripada pembaharuan diri, dengan calon muda yang membentuk teras pasukan 5G (generasi kelima) seterusnya.
Menurut Encik Wong, PAP telah memperkenalkan calon-calon mereka, dari kawasan ke kawasan.
Ia akan berterusan dalam beberapa hari akan datang, tambahnya, yang juga berkata PAP akan berkongsi lebih lanjut mengenai anggota parlimen yang berundur.
“Berundur bukan perkara mudah kerana mereka telah menjalin hubungan rapat dengan aktivis dan penduduk mereka.
“Tetapi dalam PAP, kami berkhidmat bukan untuk diri kami sendiri, tetapi untuk rakyat Singapura. Anggota Parlimen kami memahami kepentingan pembaharuan diri.
“Jadi mereka melakukan bahagian mereka untuk menyerahkan obor kepada kohort baru,” kata Encik Wong pada 17 April.
24 daripada calon yang diperkenalkan akan ditempatkan di kawasan yang dikuasai PAP.
Mereka ialah:
- usahawan sosial muda, Encik Cai Yinzhou
- penolong profesor pemasaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Dr Charlene Chen
- pengarah eksekutif badan amal CampusImpact, Cik Elysa Chen
- ahli akademik Dr Choo Pei Ling
- mantan ketua pegawai eksekutif (CEO) Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Encik Dinesh Vasu Dash
- mantan pengarah Kementerian Pengangkutan (MOT), Encik Foo Cexiang
- peguam perkapalan Cik Gho Sze Kee
- mantan pengarah Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Cik Goh Hanyan
- mantan Ketua Turus, Staf bersama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Encik Goh Pei Ming
- pakar ortopedik, Dr Hamid Razak
- mantan presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim
- pengarah kedermawanan badan amal, Encik David Hoe
- ketua pegawai operasi (COO) syarikat khidmat pemindahan Shalom Movers, Encik Gabriel Lam
- mantan pengerusi PAP cawangan Hougang, Encik Jackson Lam
- mantan penjawat awam kanan, Cik Jasmin Lau
- peguam Cik Cassandra Lee
- pegawai perkhidmatan awam Cik Lee Hui Ying
- Ketua Hal Ehwal Korporat Sembcorp untuk Singapura dan Asia Tenggara, Cik Valerie Lee
- mantan pengarah di Kementerian Kewangan (MOF), Encik Shawn Loh
- Mantan Panglima Tentera Darat, Encik David Neo
- pengarah syarikat bateri Powermark Battery, Encik Ng Shi Xuan
- pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Wanita Fengshan dan Majlis Rangkaian Integrasi Wanita (WIN) Persatuan Rakyat (PA), Cik Diana Pang
- mantan penjawat awam, Encik Jeffrey Siow
- mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Syed Harun Alhabsyi
Lapan lagi calon akan ditempatkan di kawasan yang dikuasai parti pembangkang.
Mereka merupakan:
- pengarah perniagaan baru dan kemampanan kumpulan syarikat Chye Thiam Maintenance, Dr Adrian Ang
- ahli fakulti NUS, Profesor Madya Dr Elmie Nekmat
- pengarah klinikal Nuffield Dental, Dr Faisal Abdul Aziz
- pengarah di perusahaan makanan dan minuman tempatan, Creative Eateries, Cik Bernadette Giam
- prinsipal di firma ekuiti swasta Tembusu Partners, Cik Theodora Lai
- peguam jenayah, Encik Marshall Lim
- pengarah urusan Morrow Architects and Planners, Encik Daniel Liu
- penolong pengarah Unit Pekerja Bebas dan Bekerja Sendiri (FSEU) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Jagathishwaran Rajo.
Encik Wong juga berkata bahawa PAP tidak boleh bertanggapan secara automatik bahawa ia akan memenangi pilihan raya hanya kerana ia telah berkuasa selama ini.
“Kos sara hidup masih menjadi kebimbangan besar bagi kebanyakan rakyat Singapura (seperti yang berlaku di mana-mana negara.
“Lihatlah keputusan pilihan raya di negara lain sepanjang tahun lalu – parti penyandang sama ada kalah atau mengalami kerugian besar.
“Begitu juga, kita boleh mengharapkan pertarungan sengit di semua kawasan pilihan raya,” kata Encik Wong.

