Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) menyaksikan peratusan keluar mengundi sebanyak 92.83 peratus – atau 2,438,610 – daripada 2,627,026 pengundi berdaftar di kawasan dipertandingkan membuang undi, selepas penambahan pengundi di luar negara.
Undian lebih 9,000 rakyat Singapura yang mengundi di luar negara dikira pada 15 Mei bagi GE2025, dengan sebahagian besar keputusan keseluruhan sejajar dengan pilihan pengundi tempatan.
Dalam satu kenyataan pada 15 Mei, Jabatan Pilihan Raya (ELD) berkata terdapat 17,237 pengundi di luar negara yang berdaftar di semua kawasan pilihan raya yang dipertandingkan.
Daripada jumlah tersebut, 5,966 daripada 8,091 pengundi luar negara yang berdaftar telah mengundi di 10 pusat mengundi di luar negara, lapor The Straits Times (ST).
Di samping itu, 3,363 daripada 6,097 undi pos telah diterima di Singapura pada tarikh akhir dan diterima untuk pengiraan.
Secara keseluruhan, termasuk undi tempatan, jumlah undi yang ditolak ialah 42,945.
Keputusan pengundian pada 3 Mei telah pun dimuktamadkan sebelum undi luar negara dikira, memandangkan jurang kemenangan bagi kesemua 32 kawasan pilihan raya adalah lebih besar daripada jumlah pengundi luar negara yang berdaftar bagi setiap kawasan.
GRC Marine Parade-Braddell Heights tidak dipertandingkan kerana menang tanpa bertanding.
Pengundi luar negara mengundi di 10 pusat mengundi di luar negara yang terletak di suruhanjaya tinggi, keduataan atau konsulat pemerintah Singapura di Beijing, Canberra, Dubai, Hong Kong, London, New York, San Francisco, Shanghai, Tokyo dan Washington.
Undi luar negara dikira di dewan serbaguna ELD di Novena Rise, dengan kehadiran beberapa calon GE2025 untuk menyaksikan pengiraan.
Sebahagian besar undi luar negara mencerminkan undi tempatan, kecuali SMC Sembawang West dan SMC Bukit Panjang.
Di Sembawang West, Ketua Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Chee Soon Juan menerima 23 undi sah di luar negara, manakala calon Parti Tindakan Rakyat (PAP), Cik Poh Li San menerima 21 undi. Cik Poh memenangi kerusi tersebut dengan 53.18 peratus undi.
Calon PAP, Encik Liang Eng Hwa dan Dr Paul Tambyah dari SDP masing-masing menerima 36 undian di luar negara untuk persaingan di Bukit Panjang, dengan Encik Liang menang dengan 61.38 peratus undi.
Di SMC Jalan Kayu, Encik Ng Chee Meng dari PAP menerima 33 undi luar negara, manakala Encik Andre Low dari Parti Pekerja (WP) mendapat 30 undi. Encik Ng memenangi kerusi tunggal dengan 51.47 peratus undi.
GRC Tampines, yang dimenangi PAP dengan 52.02 peratus undi, mempunyai 166 pengundi luar negara yang memilih parti pemerintah dan seramai 153 mengundi WP.
GRC Punggol, yang dimenangi PAP dengan 55.17 peratus, mempunyai 156 pengundi luar negara yang mengundi PAP dan seramai 126 mengundi WP.
GE2025 menyaksikan peratusan keluar mengundi terendah sejak 1968. Pada Hari Mengundi, 92.47 peratus pengundi berdaftar telah mengundi di Singapura.
Pemerhati politik berkata penurunan kadar keluar mengundi berkemungkinan besar disebabkan rakyat Singapura telah merancang perjalanan lebih awal sebelum pilihan raya diumumkan, mengambil kesempatan cuti umum iaitu Hari Buruh yang jatuh pada Khamis, 1 Mei.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg