Kemenangan tipis Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Tampines yang dipimpin Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, tidak menandakan kehilangan sokongan pengundi Melayu terhadap parti pemerintah, sebaliknya mencerminkan keadaan yang unik di Tampines.
Jika diteliti keputusan secara menyeluruh, kejayaan PAP meraih 65.57 peratusan undi – satu peningkatan sekitar 4 peratus berbanding 2020 – menunjukkan sokongan Melayu yang juga kukuh bagi parti tersebut dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Demikian menurut pakar yang telah membincangkan keputusan GE2025 dalam podcast, NoTapis BHerbual, baru-baru ini.
PAP mengalahkan tiga lagi parti dalam pertarungan empat penjuru bagi GRC Tampines dengan menerima 52.02 peratus undi.
Parti Pekerja (WP) menerima 47.37 peratus undi sementara Parti Kuasa Rakyat (PPP) mendapat 0.43 peratus dan Parti Perpaduan Nasional (NSP) mendapat 0.18 peratus undi.
Pada GE2020, PAP memenangi 66.41 peratus undi dalam pertarungan menentang NSP, yang menerima 33.59 peratus.
Penggiat masyarakat yang juga Pengarah Pengasas, Dialogue Centre Limited, Encik Imran Mohd Taib, berkata adalah penting untuk sedar bahawa secara umum, tiada kehilangan undi Melayu terhadap PAP.
“Kita lihat peratusan undi terhadap PAP meningkat, agak tinggi di kawasan undi yang lain kecuali mungkin di Tampines, itu menunjukkan tidak ada kehilangan undi Melayu secara umum.
“Tetapi memang di Tampines kita dapat lihat umumnya ada kehilangan undi Melayu terhadap parti sedia ada dan itu kita lihat dimainkan sebagai isu antara dua tokoh – Encik Faisal Manap daripada WP dan juga Encik Masagos.
“Tetapi saya rasa kita juga harus mengambil (perkara ini) dengan kaveat – walaupun undi Melayu di Tampines menurun atau kurang, pada masa yang sama, ia tidak mengakibatkan tumbangnya PAP di sana,” kata Encik Imran.
Beliau menjelaskan terdapat isu lebih besar seperti yang berkaitan perbandaran, kemudahan tersedia yang baik dan kerja-kerja akar umbi di sana yang menyebabkan tidak semua undi Melayu hilang.
Pada masa yang sama, sentimen berkaitan kaum yang dimainkan berikutan pertarungan antara Encik Masagos yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dengan pesaingnya, Encik Faisal, mungkin juga telah menimbulkan ketidakselesaan dalam pengundi bukan Melayu.
Ini mungkin membantu memenangi undi daripada golongan tersebut, kata Encik Imran.
“Ada... sentimen terhadap masyarakat Melayu yang muncul kerana pertarungan yang dilihat antara Encik Faisal Manap dengan Encik Masagos, ini terkait dengan isu-isu yang lebih luas seperti isu Calvin Cheng, isu Gaza dan sebagainya.
“Pengundi-pengundi bukan Melayu juga melihat dan berasa tidak senang ketika isu-isu ini dimainkan. Jadi itu mungkin membantu sedikit untuk mengaut undi dari bukan Melayu kerana mereka juga takut akan sentimen perkauman yang boleh meledak jika tidak dikawal,” jelasnya.
Pengamat politik, Zamil Kanan dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, pula berpendapat selain isu etnik dan agama, isu kelas perlu diambil kira.
“Kadang-kadang keperitan yang dihadapi masyarakat itu berunsur kelas. Misalnya, di Sengkang dan Punggol, profil pengundinya itu seakan-akan sama – banyak yang menyebutkan tentang kelas sandwic.
“Saya fikir bahawa di Tampines juga, walaupun isunya, kadang-kadang kita sering membahaskan demografi masyarakat Melayu lebih tinggi berbanding kawasan lain, tapi masyarakat Melayu itu sebahagian daripada kelas – mungkin mereka juga adalah salah satu kelas yang tersepit dalam hal ini dan itu mungkin mencorak cara mereka mengundi,” ujar Dr Norshahril.
Encik Imran menambah jika dilihat GRC Sembawang, peratusan pengundi Melayu di sana juga lebih tinggi dari kawasan lain.
“Tapi kita tidak lihat apa yang terjadi seperti di Tampines. Jadi itu menunjukkan secara umum, tiada kehilangan undi dari kalangan Melayu. Itu isu-isu yang lebih spesifik yang terjadi di Tampines,” katanya, sambil menambah parti pemerintah perlu meneliti kesan isu-isu spesifik itu dan kaitannya dengan pengundi Melayu di kawasan undi tersebut serta sama ada ia mencerminkan isu-isu lebih luas.
GRC Sembawang dimenangi pasukan PAP dengan 67.75 peratus undi dalam persaingan tiga penjuru menentang Parti Demokratik Singapura (SDP) dan NSP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg