Dalam beberapa minggu mendatang, Cik Grace Fu, Menteri Kemampanan dan Sekitaran yang juga Anggota Parlimen (AP) Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Yuhua, yang sebahagian kawasannya akan digabungkan ke dalam GRC Jurong East-Bukit Batok – merancang membiasakan diri dengan kawasan Hong Kah North dan isu yang dihadapi penduduknya.
Seperti Yuhua, beberapa bahagian SMC Hong Kah North telah digabungkan ke dalam Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) baru itu di bawah perubahan kepada sempadan pilihan raya yang diumumkan pada 11 Mac.
GRC Jurong East-Bukit Batok baru itu juga akan merangkumi SMC Bukit Batok dan beberapa bahagian GRC Jurong yang sekarang, terutama Bukit Batok East dan Clementi.
Berkongsi dalam rakaman podcast ehwal semasa, The Straits Times, The Usual Place, Cik Fu berkata beliau sudah terbiasa dengan empat dari lima kawasan yang membentuk GRC baru itu – Bukit Batok, Bukit Batok East, Clementi dan Yuhua – kerana ia di bawah majlis bandaran yang sama.
Majlis Bandaran Jurong-Clementi yang ada sekarang berkhidmat bagi SMC Bukit Batok dan SMC Yuhua, serta GRC Jurong.
“Kami kerap adakan pertemuan kerana kami mempunyai kumpulan kakitangan sama yang membantu kami menguruskan isu-isu perbandaran.
“Oleh itu, kami cukup kenal dengan satu sama lain,” kata beliau.
“Hong Kah North, sebaliknya, adalah kawasan yang saya kurang biasa.”
“Dalam beberapa minggu mendatang, saya perlu bertemu penduduk, saya perlu mendapatkan maklumat terkini, saya perlu membiasakan diri dengan landskap, topografi – di mana pusat penjajanya, di mana kedai kopinya – dan apakah isu-isu yang dihadapi penduduk,” tambah Cik Fu, yang telah mewakili Yuhua sejak 2006.
Dalam rakaman podcast yang sama itu, Cik Fu, turut menyentuh tentang usaha Singapura melindungi rakyatnya daripada kesan perubahan iklim.
Beliau berkata bahawa ia adalah satu usaha jangka panjang dan negara ini mula memperuntukkan dana sekarang agar generasi masa depan tidak perlu menanggung semua kosnya.
“Banyak aspek Belanjawan adalah tentang mempersiapkan diri kita untuk jangka panjang,” kata beliau, merujuk kepada pelan perbelanjaan Singapura untuk tahun mendatang.
“Dalam bidang kemampanan, dana perlindungan pantai (tokokan) $5 bilion adalah isyarat jelas bahawa apabila kita mempunyai sumber, apabila kita mempunyai lebihan, kami akan mengetepikannya supaya generasi ini akan mula membayar bagi generasi masa depan dan tidak meletakkan beban semua kos kepada mereka,” tambah beliau.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada 18 Februari mengumumkan Dana Perlindungan Kawasan Pantai dan Banjir akan menerima tokokan $5 bilion.
Dana itu telah dibentuk pada 2020 untuk melindungi Singapura daripada paras air laut yang semakin tinggi dan mempertingkat daya tahan terhadap banjir.
Walaupun keadaan geopolitik semasa tidak sesuai bagi inisiatif iklim, dengan Amerika Syarikat mengurangkan rancangan iklimnya, Cik Fu berkata Singapura meneruskan tindakan iklimnya.
“Kita adalah penyumbang yang sangat kecil secara keseluruhannya... sama ada kita mengurangkan pelepasan atau tidak, ia tidak akan benar-benar membawa perbezaan,” kata beliau.
“Namun, kita sentiasa berfikir bahawa Singapura suka melakukan apa yang betul. Kita tahu bahawa itu adalah tanggungjawab kita sebagai warga negara, sebagai individu, sebagai warga korporat, sebagai warga sejagat.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg