Pemenang bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) West Coast dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2020 merupakan antara yang terakhir diumumkan pada dinihari 11 Julai 2020.
Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang diketuai Encik S. Iswaran – Menteri Pengangkutan pada ketika itu – memperolehi 51.69 peratus undi, sekali gus membolehkannya mencatat kemenangan tipis ke atas Parti Kemajuan Singapura (PSP) dengan 48.31 peratus undi.
Ia merupakan kekalahan paling tipis dalam GE2020, dengan 3.38 mata peratusan undi memisahkan kededua pasukan.
Menjelang GE2025, pengamat politik sekali lagi meramalkan kawasan undi di barat Singapura itu sebagai antara medan persaingan sengit.
Malah, mereka tidak berganjak daripada pandangan tersebut selepas Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) mengeluarkan laporannya pada 11 Mac.
Bagi GE2025, GRC West Coast telah berubah nama dan bentuk.
Ia kini dikenali dengan nama West Coast-Jurong West dan merupakan kawasan undi lima anggota dengan 158,581 pengundi – lebih banyak pengundi berbanding 144,516 pengundi bagi GRC West Coast dalam GE2020.
Estet Taman Jurong dan sebahagian Jurong Spring, yang sebelum ini membentuk GRC Jurong, kini merupakan sebahagian daripada GRC baru tersebut.
Selain estet perumahan itu, GRC West Coast-Jurong West turut merangkumi estet Boon Lay, Nanyang, West Coast dan Ayer Rajah-Gek Poh.
Estet perumahan di Telok Blangah dan Dover dikeluarkan dari GRC West Coast dan diserap GRC Tanjong Pagar, manakala HarbourFront dan Sentosa menyertai SMC Radin Mas.
Penyerapan estet Taman Jurong dan sebahagian Jurong Spring mungkin lebih menarik perhatian – kededua kawasan itu dianggap kubu kuat PAP, berdasarkan keputusan GE2020 di GRC Jurong.
Pengamat politik, Profesor (Adjung) Terence Ho daripada Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Universiti Nasional Singapura (NUS), beranggapan penyerapan Taman Jurong menambah peluang bagi PAP untuk menang di GRC baru, namun beliau menambah, ia bukan hakikat yang pasti.
Ini memandangkan estet itu diterajui mantan Menteri Kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam, sebelum beliau meletak jawatan pada 2023 untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden, kata Profesor Ho.
“Prestasi masa lalu PAP di Taman Jurong dan Jurong Spring adalah cerminan senarai calonnya dan pembangkang yang dihadapinya... adalah bukan sesuatu yang pasti, estet-estet tersebut akan memberi sokongan sekukuh sokongan yang diraih PAP pada pilihan raya umum sebelum ini,” tambahnya.
Di samping itu, Profesor Ho berkata antara faktor yang boleh menjejas bagaimana penduduk di daerah baru mengundi ialah kaliber calon dan bagaimana calon itu menyakinkan penduduk mereka berkemampuan dan boleh dipercayai.
Pendapat serupa dikongsi Profesor Undang-Undang, Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Eugene Tan, yang menyifatkan persaingan kali ini bagi GRC West Coast-Jurong West “bergantung pada barisan calon dan cara parti melaksanakan kempen” di peringkat kebangsaan.
Namun, berhubung kes Encik Iswaran, yang meletak jawatan pada Januari 2024 menyusuli siasatan rasuah, Profesor Ho berkata kesannya ke atas tahap kepercayaan pengundi adalah terhad.
“Lebih penting adalah siapa yang akan PAP letakkan bagi menggantikan tempatnya (Iswaran), rekod prestasi parti terhadap pengurusan estet di kawasan West Coast dan isu kebangsaan yang dekat di hati ramai,” tambah beliau.
Kehadiran kededua wakil PAP dan PSP di West Coast pada masa ini boleh dirasakan secara lebih ketara, terutama dalam tempoh beberapa hujung minggu yang baru berlalu, dengan kededua parti mempergiat usaha bertemu penduduk.
Barisan AP GRC West Coast kini dianggotai Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, Encik Ang Wei Neng, Cik Foo Mee Har dan Cik Rachel Ong.
Encik Desmond dijangka mengetuai pasukan PAP dalam GRC ini bagi GE2025, namun sama ada beliau akan digandingkan dengan seorang lagi menteri masih menjadi persoalan.
Sejauh ini, PAP sudah menampilkan muka baru, Cik Natasha Choy, yang dikatakan bakal bertanding dalam GE2025 bagi GRC West Coast-Jurong West setelah beliau dilihat bersama Encik Desmond dalam satu majlis pada 2 April.
Sementara itu, pakar bedah ortopedik, Dr Hamid Razak, juga telah dilihat di Jurong Spring sejak 2024 dan berkemungkinan disertakan di GRC tersebut.
PSP pula telah mengetengahkan tiga wajah baru iaitu Encik Sani Ismail, Encik Sumarleki Amjah dan Cik Stephanie Tan, yang disebut-sebut sebagai bakal calon yang bertanding di kawasan itu.
Mereka dilihat bersama Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dan naib pengerusi pertama PSP, Cik Hazel Poa, semasa lawatan di Pasar Boon Lay Place pada 5 April.
Cik Poa, bersama ketua parti yang juga NCMP, Encik Leong Mun Wai, dan pengerusi parti, Dr Tan Cheng Bock, serta Encik Nadarajah Loganathan, dan Encik Jeffrey Khoo, membentuk pasukan PSP yang bertanding di GRC West Coast pada 2020.
Dr Tan pernah menjadi AP PAP bagi SMC Ayer Rajah – yang diserap dalam GRC West Coast – dari 1980 hingga 2006.
GE2020 merupakan kali pertama Dr Tan bertanding di bawah PSP sejak penubuhannya pada 2019 dan 14 tahun sejak beliau bersara sebagai Anggota Parlimen (AP) PAP.
Pada 6 April, Encik Leong mengumumkan hasrat PSP untuk bertanding di GRC West Coast-Jurong West bagi GE2025, walaupun beliau tidak memberikan pengesahan nama-nama calon yang bakal diketengahkan.
Beliau berbuat demikian di sidang media untuk melancarkan manifesto parti yang memberi perhatian kepada isu-isu harian, seperti kos sara hidup dan pekerjaan.
Tindakan kededua PAP dan PSP yang belum lagi menamakan secara rasmi calon masing-masing bagi GRC West Coast-Jurong West diduga, kata sebahagian pengamat.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Profesor Tan berkata pendekatan berhati-hati dalam mendedahkan bakal calon adalah “atas sebab-sebab strategik”.
Malah, beliau berkata terdapat kemungkinan berlakunya kejutan pada saat-saat akhir semasa Hari Penamaan Calon.
“Bagi kededua parti, persoalan utama adalah bagaimana memberi nafas baru dan memperkukuh barisan calon,” ujarnya.
Khususnya bagi PAP, ia perlu memutuskan sama ada untuk mengetengahkan dua menteri Kabinet dalam barisan calon, dengan mengambil kira risiko kehilangan kededua menteri sekiranya parti itu tewas, katanya.
Sementara itu, kos sara hidup bermain di minda kebanyakan penduduk yang ditemui BH baru-baru ini.
Encik Ishak Ibrahim, 63 tahun, yang telah menginap di West Coast selama 25 tahun, berkata beliau dan keluarganya amat rasai keperitan kos sara hidup yang meningkat semasa membayar bil api air dan apabila berjumpa doktor di klinik.
Begitu juga bagi, Cik Haslinah Abdul Latiff, 60 tahun.
Penduduk Taman Jurong selama 11 tahun itu berkata barangan runcit yang sering dibelanjakan setiap minggu mencatat peningkatan amat ketara.
Cik Haslinah menjelaskan untuk perbelanjaan beliau dan suami, mereka kerap berbelanja sekitar $30 untuk membeli ikan, sayur dan bahan makanan kering lima tahun lalu.
Namun, jumlah itu meningkat kepada $50 sejak kebelakangan ini.
Bagi Cik Sofilia Zaidee, 29 tahun, yang baru mendirikan rumah tangga, beliau menghargai bantuan pemerintah yang membolehkan pasangan muda seperti beliau dan suami membeli rumah sendiri.
Namun kos bersangkutan yang harus ditampung keluarga muda, seperti bil api air dan kos barangan runcit, masih mencetus keprihatinan, kata penduduk Boon Lay itu.
Selain kos sara hidup, beberapa perkara yang ditimbulkan penduduk ialah isu perbandaran.
Pesara, Cik Habsah Yusoff, akur estet perumahannya di Jurong West Street 42, telah dijaga dengan baik oleh majlis bandaran.
Seorang lagi penduduk Jurong West, Encik Nurmuhammad Norhalim, 25 tahun, yang bakal mengundi buat kali pertama bagi GE2025 berkata beliau mendapati banyak blok HDB telah dicat semula.
Beliau berkata laluan berbumbung ke perhentian bas juga telah dibina atas permintaan penduduk.
“Terdapat tuisyen percuma dan baucar yang diberikan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan di kawasan saya.
“Terdapat juga banyak program kemasyarakatan untuk merapatkan hubungan, termasuk lawatan ke Johor Bahru, yang merupakan cara yang baik untuk berinteraksi dengan penduduk dan mengeratkan lagi hubungan dalam masyarakat,” kata Encik Nurmuhammad.
Zamil penyelidik kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya, berkata penduduk biasanya mengukur kesesuaian calon untuk disokong berdasarkan jenama parti politik yang diwakilinya, calon yang bertanding dan faktor yang diutamakan seperti bantuan kos sara hidup.
“Encik Lee telah menekankan semangat berpasukan sebagai teras bagi menguruskan GRC West Coast dan telah memperkenalkan ahli kesatuan sekerja, Cik Choy, sebagai sebahagian daripada pasukannya di GRC West Coast.
“Dengan ini, ia dijangka memberi tumpuan kepada isu-isu seperti penuaan aktif, penglibatan belia, keterlibatan masyarakat dan memastikan peningkatan prasarana di semua bahagian GRC,” ujarnya.
“
Bagi kededua parti, persoalan utama adalah bagaimana memberi nafas baru dan memperkukuh barisan calon.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg