Pilihan Raya Umum akan datang bukan hanya mengenai Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerlukan mandat yang kuat, namun bagi rakyat Singapura juga menyedari bahawa terdapat banyak perkara yang dipertaruhkan untuk negara di tengah-tengah persekitaran global baru yang mencabar, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
“Untuk terus hidup, untuk terus berkembang maju, untuk kita mengemudi persekitaran global yang amat mencabar, kita akan memerlukan sebuah Singapura yang kukuh dan bersatu padu,” kata beliau.
“Dan apabila pilihan raya datang, saya akan membentangkan kes saya bagi PAP, bagi saya dan pasukan saya, dan saya berharap rakyat Singapura akan memberi saya peluang untuk berkhidmat kepada mereka dan Singapura,” tambah beliau.
Encik Wong berkata demikian kepada wartawan Singapura pada 26 Mac sebelum pulang ke tanah air menyusuli lawatan pengenalan dua hari ke Vietnam.
Menekankan pentingnya pembaharuan kepimpinan, Encik Wong berkata beliau telah berusaha gigih untuk memperbaharui pasukan kepimpinan dan juga PAP sejak satu hingga dua tahun lalu.
“Keadaan akan okey untuk satu penggal dalam tempoh lima tahun mendatang, tetapi sekiranya tiada pembaharuan, saya fikir kita akan rasa kesannya, bukan segera, bukan lima tahun akan datang, tetapi pastinya dalam 10, 15 tahun mendatang.
“Jika ini berlaku, ia bukan hanya PAP, malah Singapura dan rakyat Singapura yang akan menanggung padahnya.
“Itu sebabnya pembaharuan kepimpinan adalah satu keutamaan bagi saya, dan itu sebabnya saya telah bekerja keras sepanjang satu, dua tahun lalu, mendekati individu berbeza, memujuk dan menggalak mereka untuk mengambil langkah ke hadapan untuk memasuki politik,” kata beliau.
PAP telah mendekati individu daripada sektor awam dan privet, dan juga akademia dan bidang lain, dalam usaha mencari potensi calon.
Bagi sektor awam, Encik Wong berkata beberapa penjawat awam telah melahirkan bahawa mereka bersedia memasuki politik dan berkhidmat untuk negara.
Bagaimanapun, bagi sektor privet, keadaannya lebih mencabar.
Memberi contoh, Encik Wong berkata bagi seorang individu berjaya daripada sektor privet yang berpotensi mendaki tangga kerjaya untuk mencapai kedudukan kepimpinan kanan dalam syarikat berbilang negara (MNC) atau syarikat tempatan besar, pengorbanannya adalah lebih besar.
“Ini bukan fenomena baru… Ia memang mencabar, dan ia kekal seperti itu,” kata beliau.
Encik Wong berkata seorang potensi calon itu perlu mempunyai komitmen untuk berkhidmat, memiliki nilai yang betul, dan mereka ingin memasuki politik bagi tujuan yang betul, iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura dan menjadikan Singapura sebuah negara yang lebih baik untuk semua.
Beliau menambah bahawa senarai potensi calon yang baru akan dipertimbangkan dan dipilih, dan akan diumumkan apabila pilihan raya diadakan.
Dalam wawancara bersama media itu, Encik Wong turut menekankan pentingnya bagi negara Asean bekerjasama, terutamanya di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan persaingan sengit antara negara kuasa besar.
“Ia rasa seperti kami sedang memasuki dunia di mana setiap negara mementingkan diri sendiri, dan negara lebih kuat akan menggunakan kekerasan, malah pemaksaan untuk mendapatkan apa yang mereka mahu, dengan mengorbankan negara lebih kecil,” kata beliau.
“Bahkan dalam Asean juga, negara besar rasa bahawa ini sebuah persekitaran global yang amat mencabar dan tidak sesuai.
“Namun, jika kita boleh gabung bersama dan dalam Asean, sebagai satu kolektif, kita lebih kuat, dan kita boleh berpegang teguh dalam persekitaran global baru ini dan tentunya, pemimpin Asean menyedari perkara ini,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg