Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dari Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai, telah dipilih semula sebagai setiausaha agung PSP.
Beliau mengundurkan diri daripada jawatan itu pada Februari 2024 susulan Arahan Pembetulan yang dikeluarkan ke atasnya di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (Pofma) bagi satu hantaran media sosial.
Encik Leong kali pertama menjadi setiausaha agung pada April 2023.
Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Cik Hazel Poa, yang merupakan seorang lagi NCMP daripada parti tersebut.
Cik Poa akan menyandang jawatan naib pengerusi pertama PSP.
Dengan ini, Encik Leong menjadi setiausaha agung kelima parti itu sejak ia ditubuhkan pada 2019.
Peralihan tampuk kepimpinan itu diumumkan parti dalam satu sidang media pada 26 Mac di ibu pejabatnya di Pusat Beli-belah Bukit Timah selepas pertemuan pertama Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang baru dipilih pada 20 Mac.
Beliau akur bahawa sekiranya ada kesilapan yang dibuat, seseorang individu seharusnya memikul tanggungjawab atas kesilapan itu.
Namun, beliau berkata ia bukanlah detik penamat kerjaya politik.
“Apabila waktunya sesuai, apabila keadaannya memerlukan, individu tersebut harus tampil ke hadapan dan itulah yang saya lakukan hari ini,” ujarnya.
Susulan ucapan Encik Leong, pengasas dan pengerusi PSP, Dr Tan Cheng Bock, menambah bahawa beliau amat bangga dengan tindakan Encik Leong untuk “akui kesilapan” dan kemudian tampil semula bagi memimpin parti.
“Ini adalah politik. Ia menunjukkan kekuatan seseorang individu untuk tidak tunduk kepada tekanan dan terus letak jawatan (daripada politik),” kata beliau.
CEC yang baru dipilih ini telah hangat dipertandingkan oleh 24 calon dan daripada jumlah itu, 12 anggota dipilih.
Antara anggota yang dipilih adalah mantan setiausaha agung pertama PSP, Dr Tan, 84 tahun, serta NCMP parti tersebut, Encik Leong, 65 tahun dan Cik Poa, 54 tahun – kesemua mereka bertanding di GRC West Coast pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020).
Enam nama baru dipilih.
Mereka ialah Encik Samuel Lim Ngee Tong, 29 tahun; Encik Anthony Neo, 57 tahun; Encik S. Nallakaruppan, 60 tahun; Encik Soh Zheng Long, 36 tahun; Encik Jonathan Tee Kow Loke, 50 tahun dan Encik Joseph Wong Chee Fong, 68 tahun.
CEC ini akan berkhidmat bagi penggal Mac 2025 hingga Mac 2027 dan dijangka memimpin parti dalam Pilihan Raya Umum (GE) akan datang, yang harus diadakan sebelum November 2025.
Tiga lagi anggota yang dipilih ialah Encik A’bas Kasmani, 71 tahun, Cik Wendy Low Wei Ling, 48 tahun dan Encik Phang Yew Huat, 65 tahun.
Lapan anggota CEC sebelumnya tidak dipilih semula, termasuk beberapa calon dari pilihan raya lalu.
Mereka ialah Dr Ang Yong Guan, Encik Harish Pillay, Encik Jeffrey Khoo, Encik Nadarajah Loganathan and Encik Lim Cher Hong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg