Walaupun banyak yang belum sempurna, pemerintah akan terus berusaha mendengar selain mendekati orang ramai menerusi dialog agar permasalahan yang dihadapi masyarakat boleh dihuraikan sesukar mana sekalipun.
Demikian dinyatakan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang memimpin pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Tampines.
Menujukan ucapannya khusus kepada pengundi Melayu sewaktu rapat yang diadakan di Maktab Rendah Temasek pada 1 Mei, Encik Masagos berkata:
“Tidak semua permintaan masyarakat dapat dikabulkan dengan serta-merta. Saya mohon maaf jika ada perkara yang belum dapat ditunaikan.”
Awal sebelum itu, Encik Masagos dalam hantaran Facebooknya berkata beliau telah melalui banyak cabaran sepanjang khidmatnya kepada masyarakat dengan bermacam pandangan berbeza daripada pelbagai pihak tentang pelbagai isu.
Tidak semua bersetuju dengan pandangan kami, ujar beliau.
“Sebagai pemimpin, saya sangat menghargai semua maklum balas anda termasuk sepanjang tempoh berkempen.
“Saya sedar saya tidak sempurna tetapi saya bertekad akan terus memperbaiki kelemahan saya dan menjadi suara anda bagi kebaikan semua,” katanya.
Dalam ucapan rapat Encik Masagos, beliau membuat perbandingan dengan pemimpin Melayu/Islam yang lalu bagi mengingatkan masyarakat mengenai jasa mereka dalam membawa masyarakat menggapai kegemilangan.
Memberi contoh, beliau menggelar Dr Yaacob Ibrahim sebagai tokoh besar yang banyak berjasa kepada masyarakat.
“Walaupun beliau sering dikecam, beliau tetap sabar. Beliau beristiqamah.
“Begitu juga dengan Encik Abdullah Tarmugi. Beliau kekal komited kerana sayangnya beliau kepada masyarakat kita,” kata Encik Masagos dalam ucapannya pada hari terakhir berkempen sebelum Hari Bertenang 2 Mei.
Berkat jasa pemimpin sebelumnya, masyarakat Melayu kini berada di ambang kejayaan menjadi masyarakat gemilang yang dihormati masyarakat lain disebabkan pencapaian dan perpaduan yang ditonjol.
Pencapaian itu termasuk pembinaan dua lagi masjid, termasuk di Tampines North, selain dana $15 juta yang dikumpulkan bagi membantu mangsa Gaza, Palestin, katanya.
Begitu juga dengan Wakaf Masyarakat Singapura, yang akan menjadi tunjang utama kesinambungan institusi penting seperti masjid dan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), tambah Encik Masagos.
Memohon sokongan pengundi bagi pasukan PAP, beliau menggariskan perancangan lima tahun akan datang.
Ia termasuk Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) ketiga pada 2026, dan pembukaan Tanjong Katong Complex yang baru pada 2029.
Encik Masagos turut menarik perhatian kepada nilai yang dipegangnya dalam kehidupan masyarakat majmuk.
“Jangan mengorbankan rakyat kita, jangan mengorbankan masyarakat kita untuk kepentingan diri.
“Seharusnya kita berkorban diri kita untuk masyarakat, bukan sebaliknya. Itulah yang saya dididik semasa saya membesar.
“Sebarkan kesejahteraan kepada semua tidak kira bangsa atau agama. Bantu orang susah, selamatkan orang yang terancam, bina kepercayaan antara masyarakat,” ujarnya.
Menyentuh tentang pembangunan Tampines sebagai “bandar contoh”, Encik Masagos berkata apa yang dicapai Tampines sejauh ini membuktikan pasukan PAP di sana telah menunaikan janji mereka.
“Jadi saya galakkan anda untuk bertanya sekeliling... apa yang pembangkang akan lakukan untuk Tampines?
“Sekurang-kurangnya salah satu daripada mereka berkata, usah risau kami akan mengambil rancangan Masagos dan melaksanakannya.
“Saya katakan kepada mereka... itu rancangan saya.
“Dan hanya kerana anda telah membaca majalah dalam penerbangan tidak bermakna anda tahu bagaimana untuk menerbangkan kapal terbang tersebut,” katanya.
Encik Masagos memberi jaminan bahawa pasukan PAP Tampines terdiri daripada calon yang mempunyai latar belakang, kekuatan dan pengalaman berbeza.
Selain kemahiran zahir untuk membangunkan Tampines, pasukannya juga dilengkapi kemahiran insaniah seperti ihsan, empati, dan iltizam untuk berkhidmat.
“Kerana perwakilan bukan hanya tentang meraih kerusi. Ia tentang individu yang memahami anda, berjuang untuk anda, dan berusaha untuk anda. Dan itulah kami,” katanya.
Pasukan PAP di GRC Tampines merangkumi dua calon berpengalaman iaitu Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Baey Yam Keng.
Dua muka baru PAP, ialah mantan Panglima Tentera Darat, Encik David Neo; dan Profesor Pemasaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Charlene Chen.
Mereka bersaing dengan tiga pasukan parti pembangkang iaitu dari Parti Pekerja (WP), Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg