Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maliki tidak tanding di East Coast, belum sahkan persaraan atau pindah kawasan undi

Maliki sifatkan Hazlina sebagai berwibawa, miliki empati dan fokus pada isu penduduk
Apr 12, 2025 | 10:37 AM
Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman (dua dari kiri) memperkenal mantan Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim (kiri) sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang akan mengambil alih tugasnya di kawasan undi Siglap di GRC East Coast.
Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman (dua dari kiri) memperkenal mantan Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim (kiri) sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang akan mengambil alih tugasnya di kawasan undi Siglap di GRC East Coast. - Foto BH oleh ANWAR SALEH

Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Dr Mohamad Maliki Osman, mengumumkan beliau tidak akan bertanding semula di GRC East Coast pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Namun, Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), belum mengesahkan sama ada beliau akan bersara daripada politik atau bertanding di kawasan undi lain.

Bercakap kepada media selepas lawatannya ke Pasar Fengshan di Bedok pada 12 April, beliau turut memperkenal mantan presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim, sebagai bakal calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang akan bertanding di GRC East Coast.

Dr Maliki melahirkan sokongannya buat Cik Hazlina, 40 tahun, yang akan mengambil alih tugasnya berkhidmat di kawasan undi Siglap dalam GRC East Coast, yang beliau terajui sejak 2011.

“Saya mengenalinya sebagai seorang yang berwibawa, berempati, dan memiliki kejelasan tujuan, nilai-nilai yang akan memberinya kedudukan kukuh dalam kerjaya perkhidmatan awam.”

“Saya mengenalinya sebagai seorang yang penuh berwibawa serta mempunyai sifat empati dan tujuan, dan inilah nilai yang akan meletakkannya dalam kedudukan baik bagi kehidupan jawatan awam.

“Sebagai mantan wartawan, serta pernah... memimpin badan tidak mencari untung, saya yakin beliau benar-benar memahami keperluan rakyat Singapura, dan itu salah satu nilai utama seseorang yang menggalas jawatan pejabat awam,” ujar beliau.

Ketika ditanya apakah beliau akan bersara daripada politik atau bertanding di kawasan undi lain, Dr Maliki berkata keputusan itu akan dimuktamadkan pada Hari Penamaan Calon.

Dr Maliki, 59 tahun, menyertai politik pada 2001 dan berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang selama dua penggal, dari Oktober 2001 hingga April 2011.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai AP di GRC East Coast dari Mei 2011 hingga kini.

Mengulas tentang perasaannya meninggalkan GRC East Coast, tempat beliau berkhidmat hampir 14 tahun, Dr Maliki berkata beliau berasa sedih, namun menekankan bahawa langkah itu penting demi memastikan terdapat pembaharuan dan peralihan kuasa.

Dr Maliki turut memberi jaminan kepada penduduk bahawa Cik Hazlina akan meneruskan projek-projek yang telah diumumkan beliau di Siglap, meskipun beliau tidak akan lagi berkhidmat di GRC East Coast.

“Saya yakin Cik Hazlina akan dapat meneruskan kerja-kerja yang telah saya lakukan kerana beliau mempunyai pengalaman, bukan sahaja di peringkat sektor swasta tapi di peringkat masyarakat juga.

“Saya mohon agar penduduk GRC East Coast memberi sokongan kepada Cik Hazlina supaya beliau dapat meneruskan kerja-kerja yang telah kami lakukan selama ini,” kata Dr Maliki.

Turut hadir di lawatan ke pasar itu ialah AP GRC East Coast yang lain, iaitu Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat; Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How; dan Timbalan Speaker Parlimen, Cik Jessica Tan; dan Cik Cheryl Chan.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, yang juga AP GRC Marine Parade, turut hadir bersama seorang lagi muka baru PAP – mantan Ketua Turus Staf Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Encik Goh Pei Ming.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg