Memandangkan GRC Bishan-Toa Payoh merupakan kawasan matang, ia mempunyai bilangan warga emas yang lebih tinggi daripada purata kebangsaan.
Justeru, salah satu keutamaan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) adalah untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan mudah diakses untuk golongan warga emas, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, 51 tahun.
Beliau akan mengetuai pasukan PAP bagi bertanding di GRC tersebut untuk Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) ini.
Encik Chee mengambil alih peranan itu daripada Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, 66 tahun, yang akan bersara.
Dalam sidang media di Toa Payoh pada 18 April, Encik Chee berkata selain usaha pembaharuan, pasukan itu juga akan menumpukan perhatian kepada keperluan keluarga muda yang mendiami flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di sana juga.
Encik Chee turut memperkenalkan dua muka baru dalam pasukan GRC Bishan-Toa Payoh, Cik Elysa Chen, 41 tahun, dan Encik Cai Yinzhou, 35 tahun, yang akan meneruskan kerja-kerja yang telah dijalankan oleh Dr Ng dan seorang lagi Anggota Parlimen (AP) yang meletak jawatan, Encik Chong Kee Hiong.
“Sebagai satu pasukan, kami akan terus memperbaharui bandar kami dan memperbaiki infrastruktur serta persekitaran kehidupan untuk penduduk kami agar ia menjadi kawasan yang baik untuk semua penduduk kami dari pelbagai peringkat umur,” kata Encik Chee yang telah berkhidmat di GRC Bishan-Toa Payoh selama 10 tahun.
Pengarah Eksekutif agensi belia CampusImpact, Cik Chen berkongsi bahawa beliau pernah menjadi wartawan jenayah dan juga guru kolej prauniversiti.
Menjelaskan perubahan kerjayanya, beliau berkata: “Sebagai wartawan, saya sering tiba terlalu lewat di tempat kejadian (untuk membantu). Saya harap saya dapat tiba lebih awal.”
Keinginan untuk memberi kesan lebih awal dalam kehidupan belia menarik minat beliau kepada bidang pendidikan di mana beliau berpeluang melihat “kuasa pendidikan dalam membangunkan potensi anak muda”.
Beliau juga berkhidmat sebagai kaunselor daerah dalam Jawatankuasa Tetap Sokongan Sosial di Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West sejak lima tahun lalu.
Encik Cai pula merupakan Pengarah Eksekutif Pusat Warisan Chinatown.
Seorang sukarelawan PAP sejak 2018, Encik Cai pernah bekerja di rumah jagaan semasa pandemik dan kini menguruskan pusat penuaan aktif.
“Saya akan menyuarakan sokongan untuk penjaga – bukan sahaja warga emas, tetapi juga orang dewasa dan kanak-kanak yang mempunyai keperluan khas atau kurang upaya,” katanya.
Sementara itu, Menteri Negara (Pendidikan dan Sumber Manusia), Cik Gan Siow Huang, akan bertanding semula di SMC Marymount.
Jika dipilih, Encik Saktiandi, 51 tahun, akan terus menjaga kawasan Toa Payoh East, manakala Encik Chee akan kekal di Toa Payoh West.
Cik Chen akan mengambil alih kawasan Bishan East-Sin Ming, dan Encik Cai akan bertanggungjawab untuk Toa Payoh Central, kawasan yang dahulunya dijaga oleh Dr Ng.
GRC Bishan-Toa Payoh mempunyai 98,505 pengundi berdaftar dan merupakan salah satu daripada lima GRC yang mengekalkan sempadan asalnya, menurut laporan terkini Jawatankuasa Kajian Sempadan Pilihan Raya (EBRC).
Dalam Pilihan Raya Umum 2020, pasukan PAP yang terdiri daripada Dr Ng, Encik Chee, Encik Saktiandi dan Encik Chong menewaskan pasukan Parti Rakyat Singapura (SPP) dengan memperolehi 67.23 peratus undi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg