Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hougang kekal milik WP

May 4, 2025 | 1:39 AM
WP, Hougang, GE2025
Calon Parti Pekerja (WP) bagi SMC Hougang, Encik Dennis Tan (tengah), mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang telah berkumpul di luar Blok 322, Hougang Avenue 5, pada 4 Mei 2025. - Foto ST

SMC Hougang sekali lagi dimenangi calon Parti Pekerja (WP), Encik Dennis Tan, yang telah berkhidmat di kawasan undi perseorangan itu sejak 2020.

Beliau menewaskan calon baru Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Marshall Lim.

Encik Tan, 54 tahun, meraih 62.17 peratus undi, manakala Encik Lim, 38 tahun, mendapat 37.83 peratus undi.

Pada 2020, Encik Tan memenangi kerusi tunggal itu dengan 61.2 peratus undi.

Bercakap kepada penyokong WP di pusat perhimpunan di Stadium Serangoon selepas keputusan rasmi diumumkan pada awal 4 Mei, Encik Tan mengucapkan terima kasih kepada penduduk Hougang kerana memberinya peluang berkhidmat selama lima tahun lagi.

“Saya berasa sangat rendah hati dengan sokongan anda, tetapi dengan bantuan tuhan, saya akan terus memberi yang terbaik bagi lima tahun akan datang.

“Terima kasih kerana terus menerima saya dan WP untuk mewakili anda. WP sayangkan Hougang!” kata Encik Tan.

Bagi penduduk yang tidak mengundinya, Encik Tan memberi jaminan beliau akan terus berkhidmat kepada mereka secara sama rata.

“Anda semua adalah penduduk saya yang saya sayangi,” tambahnya.

Encik Tan Setiausaha Penganjur WP, juga merupakan perunding dan peguam perkapalan di firma, DennisMathiew Shipping Lawyers.

Sementara itu, Encik Lim pula ialah peguam jenayah dan rakan kongsi dalam firma guaman swasta, Martin & Partners.

Beliau menjadi Pengerusi Cawangan PAP Hougang pada Februari 2025.

SMC Hougang merupakan kawasan undi yang paling lama dipegang parti pembangkang dalam sejarah pilihan raya Singapura, dan telah berada di tangan WP sejak mantan ketua parti itu, Encik Low Thia Khiang, memenangi kawasan undi tersebut pada 1991.

Encik Low kemudian menyerahkan kerusi itu kepada penggantinya, Encik Yaw Shin Leong, semasa Pilihan Raya Umum 2011 (GE2011) untuk bertanding di GRC Aljunied.

Encik Yaw menang dengan 64.80 peratus undi namun dipecat daripada WP pada 2012 atas dakwaan mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita yang sudah berkahwin.

Pilihan raya kecil diadakan pada tahun yang sama dan calon WP, Encik Png Eng Huat, muncul sebagai pemenang.

Encik Png telah dipilih semula pada GE2015, diikuti oleh Encik Tan pada GE2020.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg