Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jawatan pemerintah beri makna mendalam pada kuasa, tanggungjawab dan pengorbanan

Dikenali sebagai AP yang beza daripada ‘acuan’, Zhulkarnain beri jaminan perjuangan cermin suara masyarakat, negara akan diteruskan
Jan 1, 2026 | 5:00 AM
Singapore, Zhulkarnain Abdul Rahim, Kementerian Ehwal Luar, MFA
Encik Zhulkarnain Abdul Rahim akan menggalas peranan sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) mulai 1 Januari 2026. - Foto BH oleh KHALID BABA

Peralihan daripada ‘backbencher’ atau bangku yang diduduki Anggota Parlimen (AP) tanpa jawatan politik, ke bangku pemerintah sering dilihat sebagai satu kenaikan pangkat.

Namun, bagi Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, langkah itu bukan sekadar perubahan jawatan atau kenaikan pangkat, malah satu anjakan mendalam mengenai makna kuasa, tanggungjawab dan pengorbanan peribadi.

Sebagai AP, Encik Zhulkarnain dikenali sebagai seseorang yang lantang mengemukakan soalan sukar – daripada konflik Timur Tengah hinggalah isu keganasan keluarga dan kebajikan golongan rentan.

Kini, apabila beliau menggalas peranan sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) mulai 1 Januari 2026, peranannya berubah secara asas – iaitu daripada mengemukakan soalan kepada menjadi sebahagian daripada proses mencari huraian.

Bagaimanapun, ini tidak bermaksud perjuangannya untuk rakyat dan masyarakat berakhir.

“Perjuangan itu diteruskan... tapi kita tidak perlu uar-uarkan di mana perjuangan itu akan berlaku.

“Yakinlah, perjuangan itu hak anda, dan amanah saya; dan saya akan perjuangkannya dengan cara terbaik yang saya mampu,” ujar beliau.

Encik Zhulkarnain, 45 tahun, berkata demikian dalam wawancara di podcast berita dan ehwal semasa Berita Harian (BH), BHerbual, baru-baru ini.

Beliau adalah antara barisan pemimpin baru yang diberi jawatan politik selepas Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada Mei tahun tersebut.

Beliau memulakan tugasnya lebih lewat kerana perlu menyelesaikan urusannya di firma guaman, Dentons Rodyk.

Seorang lagi pemimpin politik Melayu yang terpilih dalam GE2025 dan diberi jawatan pemerintah ialah Dr Syed Harun Alhabsyi, yang dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara).

Dalam pada itu, Encik Zhulkarnain, yang juga AP GRC Chua Chu Kang, berkata perubahan tugasnya itu menuntut satu anjakan minda.

Jika dahulu tugas seorang AP adalah untuk mencabar, menguji dan mempersoalkan dasar, kini tanggungjawabnya ialah membentuk, memperhalusi dan mempertahankan dasar tersebut – dengan data, proses dan kebertanggungjawaban awam.

“Dulu saya tanya soalan kerana nak cerminkan suara rakyat,” jelasnya.

“Sekarang saya masih cerminkan suara rakyat, tetapi melalui pendekatan dasar. Kita perlu pakejkan sesuatu isu supaya ia boleh difahami dan kemudian dilaksanakan dengan berkesan,” tambah beliau.

Dalam podcast hampir 90 minit itu, Encik Zhulkarnain, berkata pengalaman sebagai peguam banyak mempengaruhi cara beliau berfikir.

Beliau mengibaratkan peranan baru itu seperti berhujah di hadapan hakim dengan latar belakang berbeza.

“Ada hakim yang suka data, ada yang suka falsafah. Kita tak boleh bercakap dengan satu ‘bahasa’ sahaja,” katanya.

“Dalam pentadbiran pun sama,” tambah beliau.

Namun, peralihan kepada pemerintah bukan sekadar soal kuasa dan pengaruh.

Ia turut membawa ‘harga’ yang perlu dibayar – termasuk dari segi kewangan dan masa peribadi.

Encik Zhulkarnain tidak berselindung dan mengakui bahawa meninggalkan sektor guaman swasta, termasuk kes-kes besar di peringkat antarabangsa, merupakan satu pengorbanan nyata.

“Memang ada pengorbanan kewangan.

“Mungkin itulah sebabnya ramai dari sektor swasta tidak mahu tampil (memasuki politik),” katanya terus terang.

Namun bagi beliau, nilai kehidupan tidak diukur dengan pendapatan semata-mata.

“Komoditi paling mahal sebenarnya ialah masa,” ujarnya.

“Jadi mungkin masa saya terbaik dilakukan dengan berkhidmat dan cuba menyumbang kepada masyarakat, kepada rakyat.

“Itu tanggungjawab dan amanah yang penting bagi saya,” tambah beliau.

Keputusan untuk menyertai pemerintah bukan dibuat secara tergesa-gesa, apatah lagi ia bukan sesuatu yang beliau jangkakan.

“Sebagai seorang individu, saya bukan yang boleh diibaratkan sebagai ‘ikut acuan’ dan sebagai AP juga saya begitu.

“Jadi bila PM (Encik Lawrence Wong) jemput saya sertai pemerintah, saya tertanya ‘adakah aku ini cukup baik?’,” kata Encik Zhulkarnain tersenyum lebar.

Namun perbualan di telefon dengan PM Wong akhirnya menjadi titik penentu.

“Beliau kata, ini peluang untuk memberi impak yang lebih mendalam kepada masyarakat, khususnya masyarakat Melayu/Islam. Itu bagi saya bukan sekadar panggilan, tetapi satu amanah,” kata Encik Zhulkarnain.

Sebagai bapa kepada empat orang anak, masa bersama keluarga menjadi sesuatu yang amat berharga.

Encik Zhulkarnain mendedahkan sebagai peguam yang menangani banyak kes antarabangsa, beliau banyak menghabiskan masa di luar negara.

Pada 2025, lebih 90 hari dihabiskan di luar negara atas urusan kerja.

Sebagai pemegang jawatan politik, selain masa berjauhan dengan keluarga, beliau juga akur bahawa sedikit sebanyak privasi keluarganya juga akan terjejas.

Bagaimanapun, sokongan keluarga, khususnya isteri, menjadi faktor penting yang menjadikan keputusannya menyertai pemerintah lebih mudah.

“Isteri saya kata, kita bersyukur, hidup kita selesa. Kalau ada peluang untuk berbuat sesuatu, bagi masyarakat, bagi negara, buatlah dan buat sebaik mungkin,” ujarnya.

Walaupun sedar landskap politik hari ini lebih tidak menentu, beliau tidak melihat langkah itu sebagai sesuatu yang perlu dikesali.

“Sebaliknya, saya tak mahu satu hari nanti saya menyesal kerana tidak gunakan peluang ini.

“Lebih baik saya cuba, daripada hidup dengan persoalan ‘kalau’,” katanya.

Dalam peranan baru di Kementerian Ehwal Luar (MFA), Encik Zhulkarnain melihat keperluan Singapura untuk terus bergerak secara strategik dalam dunia yang semakin berpecah.

“Sekarang tak ada lagi kuasa dunia yang dominan.

“Tapi nasib kita semua terkait – perdagangan, jaminan makanan, tenaga, perubahan iklim. Ini cabarannya dah saya sedia menyumbang,” katanya.

Di MSF pula, isu keluarga dan keganasan domestik menjadi antara keutamaan beliau.

“Ini isu dalaman yang memberi kesan jangka panjang. Keluarga yang rapuh akan melemahkan masyarakat dan negara,” jelasnya.

“Pada akhirnya, saya mahu ada jawapan apabila dipertanggungjawabkan nanti – apa yang saya telah lakukan untuk keluarga, masyarakat dan negara.

“Jadi kalau dulu saya ada ramai klien, sekarang satu saja – iaitu rakyat Singapura,” ujar beliau.

TERUSKAN PERJUANGAN DALAM PERANAN BARU

“Perjuangan itu diteruskan... tapi kita tidak perlu uar-uarkan di mana perjuangan itu akan berlaku. Yakinlah, perjuangan itu hak anda, dan amanah saya; dan saya akan perjuangkannya dengan cara terbaik yang saya mampu.”  
LAKSANA TANGGUNGJAWAB DAN AMANAH

“Komoditi paling mahal sebenarnya ialah masa. Jadi mungkin masa saya terbaik dilakukan dengan berkhidmat dan cuba menyumbang kepada masyarakat, kepada rakyat. Itu tanggungjawab dan amanah yang penting bagi saya.”
GUNA PELUANG YANG DIBERI

“... Saya tak mahu satu hari nanti saya menyesal kerana tidak gunakan peluang ini. Lebih baik saya cuba, daripada hidup dengan persoalan ‘kalau’.”
Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg