Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, memberikan penghargaan kepada dua pemegang jawatan politik kanan yang bersara – Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, dan Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean – pada 6 Mei, sambil menyifatkan mereka sebagai “gergasi dalam perkhidmatan awam”.
Encik Heng yang juga mantan Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, dan Encik Teo mantan AP GRC Pasir Ris-Punggol, telah mengumumkan persaraan daripada dunia politik semasa Pilihan Raya Umum (GE) 2025 yang baru sahaja berlalu.
“Perkhidmatan mereka selama berdekad lamanya telah membantu membina asas kukuh, di mana saya dan pasukan saya berdiri di atas sekarang, sedang kami melakarkan jalan ke hadapan bagi Singapura,” kata Encik Wong, dalam satu kiriman Facebook pada 6 Mei.
Dalam surat perpisahannya buat Encik Heng yang dikongsi dalam kiriman itu, Encik Wong berkata Encik Heng telah meninggalkan kesan berpanjangan ke atas pembangunan Singapura dalam pelbagai portfolio utama yang telah digalasnya, dan telah menjadi kuasa stabil dalam masa krisis dan transformasi.
“Anda telah menjadi rakan seperjuangan yang teguh dan sahabat yang disayangi. Kami menyertai politik pada masa yang sama, namun anda adalah senior saya dan sentiasa bermurah hati dengan nasihat anda serta tanpa henti memberikan bimbingan.
“Ia adalah satu penghormatan untuk berkhidmat di samping anda dalam Kementerian Pendidikan dan Kewangan, dalam perjuangan kita menentang Covid-19, dalam Kabinet dan dalam politik secara lebih meluas,” tulis beliau.
Dengan pengalaman lebih empat dekad berkhidmat kepada Singapura, Encik Heng bermula sebagai pegawai polis sebelum menyertai Perkhidmatan Pentadbiran, di mana beliau memegang jawatan utama termasuk Setiausaha Tetap di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan pengarah urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
Setelah memasuki dunia politik pada 2011, Encik Heng telah dilantik sebagai menteri, yang memegang pelbagai portfolio sehingga beliau bersara.
Contohnya, sebagai Menteri Pendidikan, Encik Wong berkata Encik Heng amat percaya dalam memupuk potensi penuh setiap anak, dengan slogannya bahawa “setiap sekolah adalah sekolah yang baik” menekankan objektif utama sistem pendidikan bahawa setiap sekolah harus membangunkan yang terbaik dalam setiap pelajar dalam caranya sendiri.
Di bawah kepimpinannya, gerakan SkillsFuture juga diperkenalkan untuk menggalak rakyat mendakap sikap pembelajaran sepanjang hayat.
Sebagai Menteri Kewangan pula, Encik Heng telah membuat keputusan yang sukar tetapi diperlukan, termasuk menaikkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) demi memastikan pendapatan negara yang mampan, tambah Encik Wong.
Beliau juga telah melakarkan Pakej Jaminan yang menyeluruh demi memastikan isi rumah berpendapatan pertengahan dan rendah tidak terjejas di tengah-tengan cabaran yang dihadapi.
Apabila pandemik Covid-19 melanda, Encik Heng telah membentangkan lima Belanjawan pada 2020 untuk membantu rakyat Singapura, dan mempersiapkan Singapura untuk bangkit lebih kuat daripada krisis tersebut.
“Kepimpinan anda yang tenang, ketangkasan di bawah tekanan, dan keprihatinan untuk rakyat Singapura biasa memberikan kestabilan dan jaminan kepada negara dalam masa tidak menentu itu,” kata Encik Wong.
Antara lain, Encik Heng juga memainkan peranan utama dalam mempertingkat ekonomi negara, dengan menyandang jawatan sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi dan pengerusi Majlis Ekonomi Masa Depan serta kemudian, Panel Penasihat Ekonomi Masa Depan.
Dalam surat berasingan untuk Encik Teo, Encik Wong berkata Encik Teo telah mendedikasikan seluruh kerjayanya selama 53 tahun untuk melindungi dan memajukan kepentingan Singapura dan rakyatnya.
Encik Teo telah berkhidmat di Kementerian Pertahanan (Mindef) selama 16 tahun dalam pelbagai kapasiti, termasuk sebagai Menteri Pertahanan dari 2003 hingga 2011.
Di bawah kepimpinannya, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menjalani transformasi generasi ketiga, memperoleh peralatan maju dan canggih serta mewujudkan angkatan yang bersepadu supaya anggota perkhidmatan dapat berkhidmat secara lebih berkesan, kata Encik Wong.
Antara lain, Encik Teo menerajui SAF dalam membuat pengerahan operasi yang bermanfaat untuk keselamatan Singapura, seperti Operation Flying Eagle untuk memberikan bantuan kepada Indonesia dan Thailand menyusuli bencana tsunami pada 2004.
Apabila beliau dilantik menerajui Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 2011, Encik Teo menggerakkan transformasi Home Team untuk mempercepatkan penyepaduan teknologi dan memperkukuh tindak balas polis dan pertahanan awam.
Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kemudian Menteri Kanan, Encik Wong berkata Encik Teo telah membawa bersamanya banyak pengalaman dan minda strategik yang tajam untuk menangani isu-isu kritikal negara.
“Anda tidak pernah teragak-agak untuk menyatakan fikiran anda dan menyuarakan pandangan berbeza dalam Kabinet, menjadikan perbincangan kami lebih mantap. Anda mempengerusikan beberapa jawatankuasa mengenai perkara yang rumit dan pelbagai, termasuk mengenai hal penduduk dan isu perubahan iklim.
“Mengenai yang terakhir, anda menetapkan hala tuju untuk agensi kami mengambil pendekatan seluruh pemerintah yang diselaraskan, mengimbangi keseimbangan yang sukar bagi merumuskan matlamat penyahkarbonan dan sifar bersih yang praktikal,” kata Encik Wong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg