Keharmonian di Singapura amat berharga dan sukar diperoleh, justeru tidak boleh diambil mudah, tegas Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Disebabkan itu, isu perkauman atau agama tidak boleh dibiarkan untuk digunakan sebagai alat politik. Campur tangan asing, terutama yang menggunakan bahasa yang memecahbelahkan, dalam pilihan raya Singapura juga adalah sesuatu yang membahayakan kerana dapat menghakis kepercayaan yang telah dibina.
Bercakap kepada wartawan ketika ditemui di Tampines pada 26 April, Encik Masagos berkata: “Keharmonian di Singapura bukan sesuatu yang mudah dicapai. Ia dibina selama berdekad-dekad bagi mewujudkan sikap saling menghormati, sikap bertolak ansur yang berterusan dan keazaman bersama untuk maju.
“Keharmonian itu berharga dan sukar diperoleh. Kita tidak boleh memandang ringan terhadapnya.”
Beliau, yang menerajui pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Tampines dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) ditemui bersama anggota pasukannya yang lain iaitu Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon; Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Baey Yam Keng; dan dua muka baru PAP – mantan ketua tentera Encik David Neo; dan profesor pemasaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Charlene Chen.
Kenyataannya itu dibuat sehari selepas pemerintah bertindak untuk menyekat akses kepada kiriman Facebook yang dibuat dua ahli politik Malaysia dan seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana cuba campur tangan dalam GE2025 yang sedang berlangsung.
Kiriman itu milik Bendahari Negara Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Encik Iskandar Abdul Samad, dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Encik Mohamed Sukri Omar.
Seorang lagi individu, pengguna Facebook “Zai Nal”, dikenali sebagai Encik Zulfikar Mohamad Shariff – warga Australia yang melepaskan kerakyatan Singapura pada 2020 – turut dinamakan.
Mereka, bersama seorang guru agama warga Singapura yang berpangkalan di Malaysia, dikenali sebagai Encik Mohammed Noor Mohammed Deros, telah menarik perhatian kepada beberapa ahli politik pembangkang dalam kiriman media sosial, termasuk Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) di GRC Aljunied, Encik Faisal Manap, yang bertanding di GRC Tampines dalam GE2025.
Encik Masagos, juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, berkata usaha berterusan diperlukan untuk memelihara perpaduan di Singapura, dan identiti bersama sebagai warga Singapura mesti sentiasa diutamakan.
“Disebabkan itu, kita tidak boleh membiarkan isu perkauman atau agama digunakan sebagai alat politik. Lebih membahayakan apabila adanya campur tangan asing dalam GE kita dan menggunakan bahasa yang memecahbelahkan. Ini menghakis kepercayaan yang kita telah bina dengan gigih,” katanya.
Dalam kenyataannya yang disampaikan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, Encik Masagos berkata warga Singapura akan sentiasa mempunyai pandangan berbeza terutama tentang isu-isu global, tetapi percanggahan pendapat tidak boleh menjadi perpecahan.
“Jika kita tidak berjaga-jaga, retak akan menjadi besar dan menjadi belah,” ujarnya.
Di negara yang gagal membina asas kepercayaan, masyarakat minoriti berdepan kesukaran untuk beribadah dengan bebas, hingga wujud tentangan terhadap (pembinaan masjid), dan (penyediaan tanah bagi) kubur pun dipertikaikan.
Sebaliknya di Singapura, kepercayaan antara masyarakat membolehkan rakyat, termasuk umat Islam, menjalani kehidupan dan menunaikan ibadah dengan yakin.
“Dan apabila penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) diumumkan dalam Rapat Hari Kebangsaan, seluruh negara bersorak bangga. Itulah semangat Singapura,” kata Encik Masagos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg