Setiausaha Agung Parti Kuasa Rakyat (PPP), Encik Goh Meng Seng, menyampaikan ‘komen pedas’ terhadap Parti Pekerja (WP) dan setiausaha agung parti itu, Encik Pritam Singh, semasa hari pertama rapat Pilihan Raya Umum (GE) 2025.
Encik Goh, yang mengetuai pasukan lima anggota dalam persaingan empat penjuru bagi GRC Tampines, berkata WP telah ‘mengabaikan’ dan ‘mengkhianati’ sekitar 130,000 pengundi di GRC Marine Parade-Braddell Heights.
Ini berlaku selepas WP, parti pembangkang utama Singapura, membuat keputusan untuk tidak bertanding di kawasan itu, sekali gus memberikan PAP laluan untuk menang tanpa bertanding.
Beliau berkata demikian ketika berucap di rapat PPP di Maktab Rendah Temasek pada 24 April.
Beliau mendakwa WP mengundurkan diri dari GRC Marine Parade-Braddell Heights untuk bertanding di GRC Tampines bagi menghalang PPP daripada menyertai Parlimen dan membangkitkan isu keselamatan vaksin.
Encik Goh berkata Encik Pritam tidak menghormati pengundi dan penyokong di GRC Marine Parade-Braddell Heights.
“Tiada satu permohonan maaf; hanya alasan, alasan yang kurang kukuh,” katanya.
Encik Goh, mantan anggota WP dan Parti Perpaduan Nasional (NSP), kemudiannya berkata beliau akan bercakap mengenai dasar parti.
Beliau berkata: “Jangan tanya saya tentang Pritam Singh lagi. Saya tidak berminat dengan beliau.”
Encik Goh merupakan salah seorang daripada lapan calon PPP bagi GRC Tampines dan GRC Ang Mo Kio yang berucap dalam rapat yang berlangsung selama hampir dua setengah jam itu yang meliputi pelbagai isu.
Ini termasuk isu cukai karbon, kenderaan autonomi, kos sara hidup dan kemampuan perumahan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg