Menyusuli kegagalan partinya dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), pengasas dan pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP), Dr Tan Cheng Bock, mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya.
Dalam ucapannya selepas parti itu kalah kesemua enam kawasan yang ditandingi, beliau mengakui PSP telah mengharungi malam yang sukar.
“Kepada mereka yang mengundi PSP, kami sedalam-dalamnya dan setulus hati mengucapkan terima kasih. Kami tidak pernah ambil ringan sokongan anda,” tulisnya dalam satu hantaran Facebook.
“Saya berkongsi kepedihan dan kekecewaan anda. Bersama-sama, kami bukan sahaja menentang lawan politik, tetapi menentang seluruh jentera yang datang kepada kami dengan perubahan garis sempadan dan sumber tanpa had. Namun, anda membawa keberanian, jiwa dan semangat yang tidak terpadam,” katanya lagi.
Bagi mereka yang tidak mengundi PSP, Dr Tan berkata parti itu menghormati pilihan mereka dan berjanji untuk bekerja lebih keras untuk mendapatkan kepercayaan golongan ini pada masa hadapan.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, dan pasukannya kerana menang, dan berkata bahawa Encik Lee telah menjalankan kempen dengan hebat.
“Saya dan pasukan saya mengucapkan tahniah yang tulus ikhlas di atas kejayaan anda sepasukan dalam pilihan raya ini.
“Saya, khususnya, mengucapkan terima kasih kepada anda atas pesanan baik budi anda kepada PSP malam tadi (4 Mei) kerana memberi persaingan yang kuat, mengemukakan idea yang baik, serta melibatkan kami dalam perbincangan untuk menghasilkan Singapura yang lebih baik lagi,” jelas Dr Tan.
Pasukan Dr Tan - termasuk Ketua PSP, Encik Leong Mun Wai, dan Naib Pengerusi PSP, Cik Hazel Poa, bertanding di GRC West Coast-Jurong West, bagi menentang pasukan PAP yang diketuai Encik Lee. Pasukan PAP menang dengan 60.01 peratus undi.
Semasa berkempen, PSP juga mengumumkan bahawa GE2025 kemungkinan merupakan pilihan raya terakhir untuk Dr Tan, 85 tahun.
PSP telah meletakkan 13 calon di enam kawasan, dan memperolehi antara 24.17 pertus dengan 39.99 peratus undi.
Selain GRC West Coast-Jurong West, mereka juga bertanding di GRC Chua Chu Kang, SMC Pioneer, SMC Bukit Gombak, SMC Kebun Baru dan SMC Marymount.
Keputusan itu juga bermakna PSP akan hilang peluang menduduki kerusi di Parlimen, memandangkan dua kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) diberikan kepada calon yang tewas tetapi memiliki peratusan undi paling tinggi, iaitu Parti Pekerja (WP).
Dr Tan turut menyeru penyokong mudanya supaya tidak berputus asa.
“Hari ini, kita merawat luka politik kita. Tetapi lama-kelamaan, luka itu akan sembuh. Dan parut yang kita bawa bersama kita bukanlah tanda kekalahan, tetapi peringatan kekal bahawa kita berani bangkit, kita berani bersuara, dan bersama-sama, kita berkorban - bukan hanya untuk diri kita sendiri, tetapi untuk kebaikan bersama semua rakyat Singapura,” tambah Dr Tan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg