Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PAP menang selesa di GRC West Coast-Jurong West

Raih 60.01 peratus undi walaupun pada awalnya dijangka hadapi saingan sengit PSP
May 4, 2025 | 2:32 AM
Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC West Coast-Jurong West, yang diketuai Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, menang selesa 60.01 peratus undi ke atas Parti Kemajuan Singapura (PSP) pada Pilihan Raya Umum 2025.
Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC West Coast-Jurong West, yang diketuai Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, menang selesa 60.01 peratus undi ke atas Parti Kemajuan Singapura (PSP) pada Pilihan Raya Umum 2025. - Foto ST

Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC West Coast-Jurong West, diterajui Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, menang selesa dengan meraih 60.01 peratus undi pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Ini meskipun kawasan undi itu, yang sebelum ini dikenali sebagai GRC West Coast pada GE2020, dijangka melihat persaingan sengit menyusuli kemenangan tipis parti itu ke atas Parti Kemajuan Singapura (PSP) pada 2020.

Sebanyak 3.38 mata peratusan undi memisahkan kededua pasukan pada waktu itu.

Berkongsi kepada media selepas pengumuman kiraan undi sampel pada 3 Mei, Encik Lee berkata beliau tidak menjangkakan PAP akan menang dengan margin tinggi.

Pada GE2020, pasukan PAP meraih 51.69 peratus undi.

Kali ini ia memperoleh hampir sembilan mata peratusan lebih tinggi.

Beliau berkata: “Ia adalah pertandingan yang sangat sengit, tetapi ia adalah satu pertandingan yang sangat bermaruah.

“Ia pertandingan yang teguh, dan semua calon mempunyai perbahasan yang mantap di khalayak ramai sebagai sebahagian daripada kempen.

“Namun, kami melaksanakannya dengan cara yang bermaruah dan ia mematangkan sistem (politik) kita.”

Selain Encik Lee, pasukan PAP dianggotai Setiausaha Parlimen Kanan (Kewangan merangkap Pendidikan), Encik Shawn Huang; Encik Ang Wei Neng; Cik Cassandra Lee dan Dr Hamid Razak.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pengerusi PSP, Dr Tan Cheng Bock, yang mengetuai pasukannya di kawasan undi itu.

Beliau menyifatkan persaingan yang diberikan pasukan Dr Tan sebagai satu “pertandingan yang teguh, membentangkan idea baik, dan berkomunikasi bersama kami untuk Singapura yang lebih baik”.

Encik Lee menambah beliau dan pasukannya akan giat menangani isu-isu meliputi kos sara hidup dan kesihatan mental.

Berkongsi kepada Berita Harian selepas keputusan diumumkan, Dr Hamid melahirkan rasa syukur dengan keputusan yang diperoleh, namun berkata ia bererti usaha menambat hati penduduk bermula dan harus diteruskan.

“Kami harus tunaikan apa yang telah kami lakar dalam manifesto,” katanya.

Selain Dr Tan, calon PSP lain bagi kawasan undi itu termasuk ketua parti, Encik Leong Mun Wai; naib pengerusi pertama parti, Cik Hazel Poa; Encik Sani Ismail dan Encik Sumarleki Amjah.

Encik Leong, bekas Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) sebelum Parlimen dibubarkan, berkongsi selepas pengumuman kiraan undi sampel bahawa PSP “perlu menyemak strategi” dan “mempertimbangkan secara serius bagaimana kami dapat memperoleh kepercayaan orang ramai”.

Pada 16 Mac, beliau akur parti itu berdepan cabaran sukar di GRC West Coast-Jurong West menyusuli penerbitan laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) pada 11 Mac.

Ini selepas estet Taman Jurong dan sebahagian Jurong Spring, yang sebelum ini membentuk GRC Jurong, kini merupakan sebahagian daripada GRC baru tersebut dengan tambahan sekitar 41,000 pengundi.

Kededua kawasan itu dianggap kubu kuat PAP, berdasarkan keputusan GE2020 di GRC Jurong.

Dalam kempen GE2025, PSP memberi tumpuan kepada kepada tiga perkara – mengurangkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), dasar perumahan dan pengalaman di Parlimen sebagai NCMP.

PAP pula menyasarkan kempen kepada penyelenggaraan dan inisiatif tempatan yang telah dan akan dilakukan bagi kawasan undi itu, dengan Encik Lee menekankan akses kepada perumahan awam di Singapura memerlukan perancangan jangka panjang dan bukan sekadar menggubal dasar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg