Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khidmat cemerlang DPM Heng lebih 4 dekad kepada S’pura diiktiraf

Galas pelbagai peranan penting termasuk perubahan sektor pendidikan, kepimpinan semasa krisis, perkukuh kemajuan negara
May 6, 2025 | 9:37 PM
Heng Swee Keat, deputy prime minister
Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, telah berkhidmat selama hampir 15 tahun dalam arena politik sebelum mengumumkan persaraannya pada 2025. - Foto fail

“Ke hadapan Swee Keat,

Sedang anda bersara daripada politik, saya ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan besar anda kepada Singapura.

Sepanjang kerjaya anda – lebih dari empat dekad – anda telah mendedikasikan seluruh hidup anda untuk berkhidmat kepada Singapura dan rakyatnya.

Anda bermula sebagai pegawai polis, sebelum menyertai Perkhidmatan Pentadbiran, yang menyaksikan anda memegang jawatan penting, termasuk sebagai Setiausaha Tetap di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) serta Pengarah Urusan di Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Selepas menyertai politik pada 2011, anda berkhidmat sebagai Menteri.

Dalam setiap peranan, anda membawa ketelitian dan dedikasi – menguasai setiap butiran dasar dan bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk membentuk masa depan yang lebih baik untuk Singapura.

Sebagai Menteri Pendidikan, anda sangat percaya dalam mengasah potensi setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang mereka.

Slogan anda, “setiap sekolah adalah sekolah yang baik”, mencerminkan matlamat utama sistem pendidikan kita: bahawa setiap sekolah harus menghasilkan yang terbaik dalam diri setiap pelajar dengan cara tersendiri.

Anda memperjuangkan pembaharuan pendidikan yang memberi penekanan kepada pembangunan perwatakan dan keseimbangan dalam pencapaian akademik.

Anda memansuhkan amalan penyusunan ranking sekolah menengah dan memperkenalkan pengumpulan berdasarkan subjek, yang membuka jalan kepada penghapusan sistem penyaluran pelajar daripada sistem kami.

Anda juga merancang penambahan tempat pengajian tinggi, yang membawa kepada penubuhan Institut Teknologi Singapura sebagai universiti autonomi kelima kami.

Anda turut mempelopori aspirasi menjadikan Singapura sebuah masyarakat yang (cenderung) belajar.

Di bawah kepimpinan anda, SkillsFuture diperkenalkan, melancarkan gerakan nasional bagi pembelajaran sepanjang hayat.

Inisiatif ini membuka laluan kejayaan yang lebih meluas dan menyeluruh – laluan yang terus kita tingkatkan di bawah Melakar Hala Tuju Singapura.

Sebagai Menteri Kewangan, anda adalah penjaga sumber fiskal negara yang teguh dan dipercayai.

Anda membuat keputusan sukar tetapi perlu, termasuk menaikkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) demi memastikan hasil pendapatan yang mampan.

Anda merancang langkah ini dengan teliti, menekankan pertumbuhan perbelanjaan yang berdisiplin, memperluas sumber pendapatan lain dan meneroka pilihan untuk pinjaman, termasuk menerusi pengenalan bon SINGA.

Anda mereka satu Pakej Jaminan yang lengkap, bagi memastikan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana tidak dibebankan secara berlebihan.

Ketegasan anda membantu Singapura mengekalkan bajet seimbang dan membina rizab negara.

Apabila Covid-19 melanda, sumber ini menjadi amat penting. Anda menyedari lebih awal berbanding ramai yang lain tentang kesan besar pandemik terhadap pekerja, isi rumah dan ekonomi.

Pada 2020 sahaja, anda membentangkan lima Belanjawan yang luar biasa, demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian serta mempersiapkan Singapura untuk bangkit lebih kukuh daripada krisis ini.

Kepimpinan anda yang tenang, ketabahan ketika diuji dan keprihatinan terhadap rakyat biasa membawa kestabilan dan keyakinan kepada negara dalam saat-saat mencabar.

Anda juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan daya saing ekonomi negara untuk mencipta peluang pekerjaan yang baik untuk rakyat Singapura.

Sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi serta Pengerusi Majlis Ekonomi Masa Hadapan dan kemudian Panel Penasihat Ekonomi Masa Hadapan, anda mengawasi pelancaran dan pelaksanaan Perancangan Perubahan Industri (ITM).

Setiap ITM dirancang bersama syarikat dan pekerja dalam industri berkenaan. Usaha ini telah membuahkan hasil: antara 2016 dengan 2023, pertumbuhan sektor ITM mengatasi pertumbuhan ekonomi keseluruhan.

Anda turut melabur dalam memperkukuh hubungan dengan rakan antarabangsa bagi membuka peluang ekonomi baru.

Sebagai pengerusi bersama Majlis Kerjasama Dua Hala Tahunan dengan China dari 2019 hingga 2022, anda menggalakkan kerjasama dalam bidang seperti kesihatan awam, inovasi dan kelestarian, serta ekonomi hijau dan digital.

Sebagai Pengerusi Yayasan Penyelidikan Nasional, anda menyelaraskan strategi penyelidikan, inovasi dan perusahaan dengan pelan transformasi industri, dan mengenal pasti pemacu pertumbuhan baru.

Anda memastikan tumpuan diberikan kepada keutamaan negara yang berasaskan penyelidikan dan aplikasi.

Hasilnya, kedudukan Singapura sebagai hab teknologi, inovasi dan perusahaan Global-Asia semakin kukuh.

Hari ini, kita mempunyai ekosistem penyelidikan dan inovasi yang lebih rancak, bukan sahaja menangani cabaran kita sendiri, malah masalah sejagat seperti perubahan iklim dan penuaan.

Anda juga seorang Anggota Parlimen (AP) yang berdedikasi. Pendekatan anda terhadap pembinaan masyarakat adalah berani dan penuh imaginasi.

Our Tampines Hub (OTH), yang dibuka pada 2017 semasa anda menjadi AP Tampines, menjadi bukti kepada visi anda.

OTH kini menjadi ruang masyarakat yang meriah dan turut menjadi perintis dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan pemerintah di satu tempat.

Pada 2020, anda memulakan lembaran baru sebagai AP bagi Kawasan GRC East Coast, bersama penduduk membina masyarakat yang lebih prihatin, meriah dan hijau.

Pasukan GRC anda memperkenalkan sesi perbualan East Coast bersama penduduk secara bulanan, untuk memahami kebimbangan dan aspirasi mereka, serta melibatkan mereka dalam perancangan kawasan kejiranan. Usaha ini menjadikan East Coast lebih ceria dan lestari.

Sebagai Penolong Setiausaha Agung Pertama dan kemudian sebagai Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (PAP), anda memimpin usaha parti untuk lebih mendekati rakyat Singapura.

Anda sentiasa percaya Singapura menjadi lebih kuat apabila rakyatnya terlibat secara aktif dalam membentuk masa depan bersama.

Menerajui Perbincangan Singapura Kita, anda mengadakan sesi penglibatan yang luas dan terbuka kepada pelbagai pandangan.

Anda kemudian melancarkan gerakan Singapura Bersama pada 2019 dan Emerging Stronger Conversations pada 2020.

Inisiatif ini mencerminkan keinginan rakyat Singapura untuk bersuara dalam pembinaan negara dan meletakkan asas yang kukuh untuk memperdalam kerjasama antara pemerintah dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk menerusi Melakar Hala Tuju Singapura.

Sepanjang kerjaya anda, anda sentiasa mengamalkan prinsip berkhidmat melebihi kepentingan diri.

Pada 2018, apabila pasukan generasi keempat (4G) sebulat suara memilih anda sebagai pemimpin kami, anda menerima tanggungjawab itu.

Tetapi selepas peralihan kuasa tertangguh akibat Covid-19, anda mengambil keputusan untuk berundur demi membolehkan pasukan memilih pemimpin muda yang mempunyai masa depan lebih panjang.

Kini, anda telah membuat keputusan sukar untuk bersara daripada khidmat awam – yang telah menjadi misi dan seruan sepanjang hidup anda.

Saya hanya mampu berharap kerjasama kita dapat diteruskan lebih lama lagi. Anda telah menjadi rakan seperjuangan yang setia dan sahabat yang amat saya hargai.

Kita menyertai politik pada waktu yang sama, tetapi anda adalah senior saya dan sentiasa murah hati dalam memberi nasihat dan bimbingan.

Ia merupakan satu penghormatan untuk saya berkhidmat bersama anda di Kementerian Pendidikan dan Kewangan, dalam perjuangan kita melawan Covid-19, di Kabinet dan arena politik secara umum.

Mewakili seluruh rakyat Singapura, terima kasih atas segala sumbangan dan jasa anda kepada negara dan rakyat. Saya doakan kesihatan yang baik, kebahagiaan dan ketenangan dalam persaraan anda.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg