“Ke hadapan Dr Maliki,
Sebagai tanda penghargaan atas perkhidmatan berdedikasi anda yang hampir 25 tahun dalam dunia politik, saya ingin mengucapkan terima kasih yang setinggi-tingginya atas segala sumbangan anda kepada Singapura.
Sepanjang berkhidmat dalam pelbagai portfolio, anda telah menunjukkan kemampuan menyatukan rakyat dan memberi semangat kepada masyarakat.
Ini sangat jelas dalam dekad perkhidmatan anda di Kementerian Ehwal Luar (MFA). Anda sentiasa bersedia untuk menerangkan dengan terperinci dasar luar negara kita kepada khalayak domestik yang pelbagai. Anda mengembangkan rangkaian rakan-rakan Singapura dan memperkukuh hubungan antarabangsa, yang kedua-duanya sangat penting bagi negara kecil dan terdedah seperti kita.
Walaupun mempunyai jadual perjalanan yang padat, anda meluangkan masa dan tenaga untuk berinteraksi dengan rakan-rakan di dalam dan luar negara – bukan hanya di rantau kita seperti Brunei, Malaysia, dan Indonesia, tetapi juga di Timur Tengah, Afrika, dan Amerika Latin.
Walaupun terdapat perbezaan budaya dan bahasa, anda menemui cara untuk berhubung, membina kepercayaan, dan menjelaskan mengapa Singapura sebuah negara yang penting. Usaha anda telah mengukuhkan kerjasama dan memperoleh sokongan antarabangsa untuk kelangsungan dan kejayaan Singapura.
Di Kementerian Pertahanan (Mindef), anda bekerjasama rapat dengan Majlis Penasihat Perhubungan Masyarakat dalam Pertahanan (Accord) untuk memperkukuhkan sokongan terhadap Perkhidmatan Negara (NS) dan meningkatkan kesedaran tentang Pertahanan Mutlak. Anda juga mengetuai Kumpulan Kerja Penghargaan dan Faedah untuk NS, yang ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Pengukuhan NS.
Cadangan-cadangan mereka meningkatkan sokongan dan penghargaan yang diberikan kepada Anggota NS atas sumbangan dan pengorbanan mereka.
Di Kementerian Pendidikan (MOE), anda menyatukan pelbagai pihak untuk menyokong pelajar dengan Keperluan Pendidikan Khas (SEN), serta mereka yang berasal daripada latar belakang kurang berkemampuan.
Anda juga memperjuangkan penubuhan lebih banyak laluan pendidikan pascasekolah menengah yang pelbagai dan fleksibel, untuk memenuhi keperluan pelajar dengan profil pembelajaran yang berbeza dan menyediakan mereka dengan kemahiran yang relevan untuk ekonomi yang berubah dengan pantas.
Di Kementerian Pembangunan Negara (MND), anda memainkan peranan penting dalam pembangunan Skim Perumahan Permulaan Baru, membantu keluarga berpendapatan rendah merealisasikan impian memiliki rumah. Anda juga mengetuai reka bentuk dan perancangan pusat sivik baru di Geylang Serai, menghidupkan semula kawasan tersebut sambil mengekalkan warisan Melayu yang unik.
Kini, Wisma Geylang Serai berdiri sebagai mercu tanda utama di kawasan tersebut, serta sebagai pusat perkhidmatan sehenti untuk masyarakat Melayu/Islam. Walaupun telah meninggalkan MND, anda terus mengikuti dengan teliti usaha memulihkan Geylang Serai.
Sumbangan anda kepada masyarakat Melayu/Islam jauh melebihi prasarana fizikal. Anda merupakan ahli penting dalam pasukan pegawai dan Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam. Bersama rakan-rakan sepasukan, anda membantu pemerintah berinteraksi dengan masyarakat mengenai isu-isu sensitif, seperti penghapusan Seksyen 377A Kanun Keseksaan.
Anda membina kerjasama yang kukuh dengan pertubuhan Melayu/Islam, menggalakkan penyelarasan dan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik, serta menyatukan pemerintah dan masyarakat melalui inisiatif seperti M3. Usaha-usaha ini memberi impak yang berpanjangan – daripada menyokong keluarga di flat sewa melalui Projek Dian hingga kepada menyelaras bantuan kemanusiaan untuk orang awam di Gaza.
Sebagai Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, serta AP untuk Sembawang dan kemudiannya GRC East Coast, anda sentiasa memberikan perhatian kepada keperluan penduduk anda. Anda bekerja tanpa jemu untuk memperbaiki kehidupan mereka, terutamanya bagi penduduk yang paling memerlukan.
Dalam semua jawatan ini, pengalaman dan latar belakang anda sebagai pekerja sosial serta keghairahan anda membantu golongan kurang bernasib baik dalam masyarakat, jelas kelihatan. Salah satu inisiatif yang terkenal adalah Projek 4650, yang memberi tumpuan kepada blok sewa di Blok 46 dan 50 di Bedok South.
Daripada agensi bekerja secara berasingan, anda membawa bersama rakan kongsi pemerintah dan masyarakat untuk meningkatkan penyelarasan, mengambil pendekatan berpusatkan keluarga, dan menyesuaikan penyelesaian untuk setiap keluarga. Usaha tambahan ini terbukti sangat berbaloi, mendatangkan hasil yang jauh lebih baik. Apabila Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) kemudian merangka ComLink, Projek 4650 menjadi rujukan utama.
Mewakili seluruh rakyat Singapura, saya mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan yang teguh dan sumbangan anda selama ini. Saya doakan yang terbaik untuk anda dan keluarga dalam memulakan fasa seterusnya dalam hidup anda.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg