Kos sara hidup, penjagaan anak, kesihatan mental dan penuaan menjadi antara topik utama yang dibangkitkan dalam ucapan calon Parti Pekerja (WP) sewaktu rapat kedua parti tersebut yang diadakan di Maktab Rendah Temasek pada malam 26 April.
Membuka tirai rapat tersebut, calon GRC Punggol, Cik Siti Alia Abdul Rahim Mattar menyentuh bagaimana kos sara hidup yang semakin meningkat menyusuli kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), membuat golongan ibu bapa mempertimbangkan sama ada ingin mempunyai lebih ramai anak.
Beliau mengaitkan hal demikian kepada kadar kesuburan Singapura yang mencecah rekod terendah pada 2024 dan mahu memperjuangkan agar GST dikecualikan daripada lebih banyak barang keperluan, termasuk makanan asas.
Menyentuh tentang keprihatinan golongan ibu bapa seperti beliau, calon GRC Aljunied, Encik Fadli Fawzi, mengutarakan saranan WP untuk menaikkan jumlah cuti penjagaan kanak-kanak.
“Ibu bapa tidak sepatutnya dipaksa untuk memilih antara menjaga anak mereka yang sakit dengan kehilangan pekerjaan mereka,” ujarnya.
Pengerusi WP yang juga calon GRC Aljunied, Cik Sylvia Lim, menumpukan ucapannya pada cabaran yang dihadapi oleh warga emas dengan menggariskan beberapa dasar utama yang akan diperjuangkan.
Ini termasuk penghapusan usia persaraan berkanun agar golongan penjaga ibu bapa tua mendapat cuti penjagaan keluarga bergaji, dengan kos itu dikongsi antara majikan dengan pemerintah.
“Pilihan raya pada 2025 ini, ingatkan pemerintah bahawa ia adalah warga emas yang membina negara ini.
“Hantar isyarat yang kuat bahawa lebih banyak perlu dilakukan agar warga emas dapat hidup dengan selamat, maruah dan tujuan,” katanya.
Seperti yang diutarakan sewaktu perhimpunan WP yang pertama pada 24 April, keperluan untuk lebih banyak persaingan politik menjadi tema yang kerap disentuh.
Calon GRC East Coast, Encik Sufyan Mikhail Putra, dalam ucapannya menyeru agar para pengundi memilih lebih ramai Anggota Parlimen WP dimasukkan ke Parlimen.
“Apa yang kami perjuangkan adalah untuk membina sistem politik yang seimbang dengan persaingan politik, memastikan kedua-dua pihak bekerja lebih keras untuk anda.
“Dengan pelbagai sudut pandangan yang dibahaskan di Parlimen, ini adalah cara untuk berusaha mendapatkan hasil dasar yang lebih baik untuk anda, keluarga anda dan untuk Singapura,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg