Pengundi harus mengambil kira bahawa Parti Pekerja (WP) tidak akan berada dalam pemerintah, justeru perbandingan harus dibuat dengan Anggota Parlimen (AP) biasa atau backbenchers Parti Tindakan Rakyat (PAP), dan bukannya AP PAP yang memegang jawatan politik, kata Encik Pritam Singh.
Ketua WP itu berkata demikian sebagai respons kepada pertanyaan media pada sesi media di Fengshan Centre pada 25 April, apabila diminta mengulas ucapan rapat Perdana Menteri Encik Lawrence Wong pada 24 April.
Encik Wong, dalam ucapannya, berkata “jangan beri peluang bebas kepada pembangkang! Gunakan piawaian yang sama untuk mereka, dengan penilaian PAP”.
Menyentuh kenyataan itu, Encik Pritam mengingatkan pengundi bahawa perbandingan harus dibuat dengan AP PAP yang tidak memegang jawatan.
“Apabila tiba masanya untuk mengundi, rakyat berpeluang mengundi untuk sesiapa sahaja yang mereka mahukan, dan kami akan menghormati keputusan mereka,” kata Encik Pritam.
Beliau turut menyarankan masyarakat di East Coast supaya memainkan peranan mereka untuk memastikan sistem politik di Singapura dapat menjadi lebih seimbang.
WP turut bertanding di GRC Tampines, yang merupakan kawasan undi yang merangkumi jumlah pengundi Melayu yang tertinggi di Singapura.
Bagi Encik Pritam, WP melihat pengundi Melayu di Singapura sebagai golongan yang berpengetahuan, atau yang disifatkannya “sofistikated”.
Isu-isu nasional turut menjadi kebimbingan utama bagi pengundi Melayu, dan mereka sentiasa ingin tahu apa yang WP dapat sumbangkan kepada masyarakat mereka.
Acara media itu telah dibuka oleh ketua pasukan WP GRC East Coast, Encik Yee Jenn Jong, yang pernah bertanding di GRC Marine Parade sebanyak dua kali.
Melahirkan perasaan teruja pihak WP kerana dapat bertanding di East Coast buat kali kelima, beliau berkata walaupun kawasan undi tersebut telah diubah pada GE2025, masih ramai yang menyokong dan memahami situasi mereka.
Turut hadir bersamanya ialah anggota pasukan WP GRC East Coast – Cik Paris V. Parameswari, Encik Sufyan Mikhail Putra, Encik Nathaniel Koh dan Encik Jasper Kuan.
Encik Sufyan, mantan pengarah bersekutu di sebuah firma guaman, pernah dilihat berkhidmat sebagai sukarelawan di Punggol dan Aljunied sejak 2024. Walaupun kini berada di kawasan undi berbeza, beliau turut menantikan peluang menyumbang kepada penduduk di East Coast.
“Saya membesar di kawasan timur, dan saya bersekolah di sini, mempunyai ramai kawan di East Coast dan memahami isu-isu yang dihadapi oleh penduduk di sini,” kata Encik Sufyan, yang mengakui bahawa secara peribadi, beliau berasa lebih selesa di East Coast dibandingkan dengan Aljunied dan Punggol.
Antara isu-isu yang ingin beliau memperjuang adalah kos sara hidup, harga perumahan yang tinggi dan pendidikan.
Apabila ditanya jika beliau berasa tertekan apabila dibandingkan dengan calon Melayu daripada pasukan PAP GRC East Coast, Cik Hazlina Halim, Encik Sufyan mengemukakan kepentingan dan keinginan penduduk East Coast untuk suara alternatif, yang akan beliau perjuangkan jika dilantik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg