Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perebutan empat penjuru di GRC Tampines

WP, NSP dan PPP akan berdepan dengan PAP apabila rakyat S’pura keluar undi pada 3 Mei
Apr 23, 2025 | 8:22 PM
GE2025, GRC TAMPINES, Nomination day
GRC Tampines bakal menyaksikan pertempuran antara (dari kiri atas, mengikut putaran jam) pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP), Parti Pekerja (WP), Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP). - Foto ST

Tiga parti pembangkang akan bertanding dalam usaha merebut GRC Tampines dan menumbangkan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dipimpin Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Setelah berjaya menyerahkan kertas pencalonan mereka di Sekolah Poi Ching yang terletak di Tampines, Parti Pekerja (WP), Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP) akan berdepan dengan PAP apabila rakyat Singapura keluar mengundi pada 3 Mei.

Pasukan parti pemerintah itu diketuai Encik Masagos, 62 tahun, yang pertama kali dipilih ke Parlimen pada 2006, lapor The Straits Times.

Pasukannya turut disertai Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon, 53 tahun; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Baey Yam Keng, 54 tahun.

Melengkapkan pasukan PAP dua muka baru dalam politik: mantan ketua tentera Encik David Neo, 47 tahun; dan profesor pemasaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU),  Dr Charlene Chen, 43 tahun.

WP, yang sebelum ini berahsia mengenai tempat pencalonan mereka, mengesahkan bahawa pasukan lima anggota mereka terdiri daripada naib pengerusi parti itu, Encik Faisal Manap, 49 tahun; pengasas bersama firma pembekalan peralatan industri Immanuel Engineering, Encik Jimmy Tan, 53 tahun; ahli psikologi klinikal kanan di Institut Kesihatan Mental (IMH), Dr Ong Lue Ping, 48 tahun; mantan diplomat, Cik Eileen Chong, 33 tahun; dan pengasas bersama syarikat permulaan teknologi Showdrop, Encik Michael Thng, 37 tahun.

Encik Faisal, yang memasuki Parlimen pada 2011 dan merupakan Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Aljunied, menyertai pasukan GRC Tampines dalam pertukaran mendadak pada Hari Penamaan Calon.

Ini kali pertama WP bertanding di GRC Tampines.

Namun, parti tersebut telah memulakan persiapan sejak sekurang-kurangnya 2016, termasuk mengadakan lawatan rumah dan menjalankan aktiviti di sekitar kejiranan.

NSP, yang telah bertanding di GRC Tampines dalam tiga pilihan raya lalu, menampilkan presiden mereka, Encik Reno Fong, 56 tahun; naib presiden parti itu, Encik Mohd Ridzwan Mohammad, 63 tahun; penolong setiausaha agung parti itu, Encik Eugene Yeo, 49 tahun; perancang kewangan, Encik Zee Phay, 32 tahun; dan Encik Thamilselvan Karuppaya, 57 tahun, yang bekerja sendiri.

Setiausaha Agung PPP, Encik Goh Meng Seng, 55 tahun, mengetuai pasukan parti tersebut.

Bergabung dengannya ialah pengerusi parti itu, Encik Derrick Sim, 44 tahun; eksekutif landskap, Encik Vere Nathan, 26 tahun; pengasas firma teknologi hijau, Encik Peter Soh, 65 tahun; dan usahawan, Cik Arbaah Haroun, 50 tahun.

Dalam ucapan yang disampaikan kepada penyokong PAP di pusat pencalonan, Encik Masagos, yang ditemani pasukannya, mengucapkan terima kasih kepada penduduk GRC Tampines atas sokongan mereka.

“Hubungan baik antara masyarakat dengan kami membolehkan kejayaan Projek Hab Tampines Kita dan Tampines Eco Town, dan kami akan terus membawa lebih banyak lagi,” katanya.

Seterusnya, pasukan WP pula memberi ucapan di tengah-tengah sorakan “Parti Pekerja” daripada penyokongnya.

Dalam ucapannya, Encik Faisal berkata: “Selama bertahun-tahun anda meminta WP datang ke GRC ini dan pada pilihan raya kali ini, kami telah memenuhi permintaan anda.

“Berikan kami sokongan untuk mewakili anda di Parlimen.”

GRC Tampines telah menjadi kubu kuat PAP sejak penubuhannya pada 1988, ketika sistem GRC diperkenalkan.

Pada pilihan raya terakhir pada 2020, pasukan PAP memperoleh 66.41 peratus undi, lebih tinggi daripada bahagian undi nasional sebanyak 61.24 peratus. 

Pada 2015, PAP meraih 72.06 peratus undi di Tampines, dengan bahagian undi nasional sebanyak 69.9 peratus.

PAP hadapi persaingan GRC Tampines pada setiap pilihan raya, kecuali pada 1997, apabila parti itu menang tanpa bertanding.

Mengenai tindakan WP menampilkan Encik Faisal sebagai calon di Tampines, Encik Masagos menyatakan beliau tidak mengetahui isu yang akan diketengahkan oleh pasukan WP.

Bagaimanapun, pasukan PAP akan memberi tumpuan kepada kempen mereka sendiri dan kepada penduduk Tampines, kata Encik Masagos, semasa pelancaran manifesto di Blok 730 Tampines Street 31, selepas penamaan calon.

“Tugas kami adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat di Tampines dan memberikan yang terbaik.

“Dengan itu, kami menumpukan perhatian kepada penduduk Tampines supaya kediaman bertambah baik,” tambah Encik Masagos.

Manifesto bertajuk ‘Tampines Bersama: Bandar Contoh, Masyarakat Penyayang’, merumuskan pelan induk yang telah dilaksanakan di Tampines sepanjang lima tahun lepas, dari 2020 hingga 2025.

Ini juga termasuk perancangan bagi pelbagai inisiatif lain dalam tempoh lima tahun akan datang, dari 2025 hingga 2030, mencadangkan pusat bandar mesra pejalan kaki sepenuhnya, dilengkapi dengan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap. 

Selain itu, lebih banyak pusat penuaan aktif dan ruang rekreasi akan diwujudkan agar dapat memupuk hubungan antara anggota masyarakat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg