Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) akan meluaskan sokongan kewangan dan teknikal bagi pasukan bola sepak lelaki negara menyusuli kejayaan bersejarahnya melayakkan diri ke Piala Asia AFC 2027.
Menjawab pertanyaan yang diajukan Anggota Parlimen Cik Elysa Chen (Bishan-Toa Payoh).
Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, menyifatkan kelayakan itu sebagai “pencapaian penting” dan menyatakan rasa bangga terhadap pasukan Lions.
Dalam jawapan bertulis itu, Encik Neo berkata SportSG sudahpun menyokong usaha Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam pelbagai cara, dan perancangan sedang diatur untuk meningkatkan sokongan ini sebagai persiapan menghadapi Piala Asia.
Justeru, Encik Neo berkata badan sukan negara, SportSG telah menggariskan dua bidang utama sokongan yang akan dipertingkat untuk pasukan bola sepak nasional.
Ini termasuk latihan pusat luar negara yang dipertingkat dan sokongan teknikal sains sukan tambahan untuk memastikan pasukan disokong oleh set keupayaan sains sukan yang holistik dan disesuaikan dengan keperluan khusus pasukan.
Cik Chen telah bertanya sama ada MCCY akan mempertimbangkan untuk memperluaskan sokongan kewangan dan prasarana latihan bagi bola sepak dan sukan berpasukan lain yang menunjukkan momentum serupa.
Memberikan perincian lanjut mengenai sokongan yang diberikan SportSG kepada pasukan bola sepak negara buat masa ini, Encik Neo berkata sokongan ini diberikan menerusi sokongan kewangan untuk menjalani latihan dan menyertai pertandingan di dalam dan luar negara; menyediakan prasarana latihan di Hab Bola Sepak Kallang, yang disifatkan sebagai persekitaran yang sesuai untuk latihan berkualiti tinggi dan tanpa gangguan bagi pasukan; serta kepakaran teknikal seperti sains prestasi bola sepak dan pembangunan kejurulatihan.
Singapura menewaskan Hong Kong 2-1 dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 di Hong Kong pada 18 November. Kemenangan itu menjamin tempat Singapura di kejohanan benua yang bakal berlangsung di Arab Saudi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg