Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyeru agar pengundi memilih pasukan terbaik kerana pemerintah yang lemah akan menjejas kedudukan Singapura dalam dunia yang tidak menentu dan kian bergolak.
Menurutnya, jika pihak pembangkang semakin mendapat tempat, ia bakal amat melemahkan keupayaan Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk memerintah dengan berkesan, meskipun jika parti itu kembali berkuasa.
Apatah lagi jika ia kehilangan beberapa menteri Kabinet dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Encik Wong berkata demikian di rapat tengah hari Fullerton PAP di UOB Plaza pada 28 April.
“Jika parti pembangkang berjaya dalam beberapa kawasan undi – bukan hanya satu, bukan hanya dua, malah beberapa (kawasan undi) – maka walaupun PAP kembali untuk mentadbir, ia akan kembali dengan mandat yang sangat lemah.
“Bukan hanya kehilangan seorang menteri. Saya boleh kehilangan tiga (atau) empat menteri. Kehilangan tiga hingga empat menteri akan melemahkan pasukan Kabinet, akan melemahkan pemerintah, akan melemahkan Singapura,” kata Encik Wong.
Rapat Fullerton, yang dinamakan kerana lokasinya berdekatan dengan Fullerton Square – di tengah-tengah Kawasan Pusat Bandar (CBD) – adalah tempat perhimpunan politik ikonik sejak 1959 dan biasanya menarik ribuan penonton.
Dalam ucapannya pada 28 April, Encik Wong berkata undi untuk pembangkang bukanlah undi percuma untuk lebih banyak suara alternatif di Parlimen, tetapi undi untuk melemahkan pasukan PAP, yang katanya, adalah “parti yang benar-benar bekerja untuk anda”.
Sementara itu, Encik Wong menambah, pembaharuan kepimpinan adalah keutamaan teras bagi pemerintah dan Singapura, dan PAP mesti terus mengukuhkan pasukan bagi penggal akan datang dan untuk masa depan.
Beliau menampilkan barisan calon seperti Encik David Neo di GRC Tampines; Encik Dinesh Vasu di GRC East Coast; dan Encik Jeffrey Siow di GRC Chua Chu Kang, sebagai contoh yang “akhirnya akan berkembang untuk mengambil peranan kepimpinan yang lebih besar”.
Sehubungan itu, Encik Wong menggesa rakyat Singapura supaya berfikir dengan teliti kesan pilihan mereka apabila mereka keluar mengundi pada 3 Mei.
“Jika anda, dalam hati anda, percaya PAP masih parti terbaik untuk membawa Singapura ke hadapan melalui masa yang tidak menentu ini, maka sokonglah saya dan pasukan saya.
“Undi anda penting – di setiap kawasan undi, di seluruh Singapura. Kerana saya memerlukan satu pasukan. Dan pilihan raya ini bukan hanya tentang membentuk pemerintah hari ini. Ia juga mengenai membina kepimpinan masa depan,” kata Encik Wong.
Mengenai gesaan berulang kali oleh parti pembangkang bahawa mereka tidak mempunyai bilangan calon yang mencukupi untuk membentuk pemerintah, atau membentuk satu pertiga daripada Parlimen, Encik Wong berkata secara kolektif, “jumlah mereka tidak sedikit” dan parti-parti lain juga “berminat untuk meraih kejayaan juga”.
Beliau memetik bagaimana Parti Pekerja (WP) dan Parti Kemajuan Singapura (PSP) sudah pun berada di Parlimen, menumpukan usaha pada bahagian timur dan barat Singapura, masing-masing untuk meluaskan kehadiran mereka.
“Apabila anda mencampurkan bilangan kesemuanya, jumlahnya bukan sedikit, dan anda mula tertanya-tanya, apakah jenis politik yang akan kita ada di Singapura?
“Dan itulah sebabnya saya berkata dari awal lagi, ini adalah pilihan raya yang sukar, dan ia telah terbukti begitu,” kata Encik Wong.
Tambahnya, jika PAP kembali berkuasa dengan mandat yang lemah, adalah lebih sukar bagi pemerintah untuk menjalankan dasar ehwal luar apabila beliau melawat negara lain kerana negara lebih besar tidak akan teragak-agak untuk menggunakan paksaan dan kekerasan untuk mengutamakan kepentingan mereka.
Negara kecil seperti Singapura mesti bekerja lebih keras untuk menjaga kedudukan mereka, kata Encik Wong.
Menurutnya, rakan sejawatannya di luar negara akan memerhatikan dengan teliti keputusan pilihan raya Singapura untuk menilai kekuatan politiknya.
“Dengan mandat yang jelas daripada anda, saya dan pasukan saya boleh bersuara untuk Singapura dengan yakin, dan kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan titik merah kecil ini terus bersinar terang walaupun dalam dunia yang bermasalah,” katanya.
“
“Undi anda penting – di setiap kawasan undi, di seluruh Singapura. Kerana saya memerlukan satu pasukan. Dan pilihan raya ini bukan hanya tentang membentuk pemerintah hari ini. Ia juga mengenai membina kepimpinan pada masa depan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg