Parti Tindakan Rakyat (PAP) sentiasa berterus terang dan jujur kepada rakyat Singapura kerana rakyat berhak mengetahui perkara yang dipertaruhkan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Bercakap pada rapat tengah hari Fullerton pada 28 April di luar UOB Plaza, Encik Wong membezakan pendekatan PAP dengan pendekatan parti-parti pembangkang yang sedang bertanding bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Beliau, yang juga Menteri Kewangan, mengkritik parti pembangkang kerana menawarkan “senarai hasrat yang panjang” tanpa mengambil tanggungjawab untuk pilihan sukar yang perlu diambil atau mengetengahkan kesan buruk yang akan dihadapi rakyat Singapura.
“Pada mereka, ini adalah beban PAP yang perlu dipikul, lagipun mereka mahu PAP terus membentuk pemerintah.
“Mereka hanya mahukan lebih banyak kerusi di Parlimen, bukan lebih tanggungjawab,” kata Encik Wong, sambil memberi amaran bahawa mandat PAP yang lemah akan menyukarkannya untuk membentuk Kabinet yang kuat dan berkesan.
Rapat Fullerton, yang dinamakan kerana lokasinya berdekatan dengan Fullerton Square, pada masa lalu telah menarik ribuan pekerja pejabat. Kawasan itu telah menjadi tempat perhimpunan politik sejak 1959 apabila parti politik Singapura terawal naik ke podium di sana.
Encik Wong, yang juga Setiausaha Agung PAP, mengulangi mesej teras kempennya iaitu kestabilan, kepimpinan yang bertanggungjawab, dan pembaharuan.
Beliau mengingatkan rakyat Singapura bahawa PAP telah menyokong mereka melalui setiap krisis, dan kepimpinan yang tegas dan jujur akan menjadi faktor-faktor penting untuk mengharungi cabaran yang mendatang.
Encik Wong turut menggesa rakyat Singapura untuk mempertimbangkan akibat sebenar undi mereka.
“Ini bukan permainan kad. Ia berkenaan hidup anda, hidup saya, masa depan kita,” katanya, mengulangi kata-kata Perdana Menteri pengasas, Encik Lee Kuan Yew, yang diucapkan beberapa dekad sebelumnya di lokasi yang sama.
Dalam mengemudi Singapura melalui dunia yang tidak menentu, Encik Wong turut menawarkan visi yang berharapan dan peluang untuk rakyat Singapura.
Beliau membentangkan usahanya untuk memperbaharui pasukan kepimpinan PAP, menonjolkan senarai calon baru yang disifatkannya sebagai mewakili “aspirasi dan harapan setiap rakyat Singapura”.
Beliau memberi contoh calon-calon berpengalaman PAP seperti Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, dan muka baru seperti Encik David Neo di GRC Tampines, Encik Dinesh Vasu di GRC East Coast, dan Encik Jeffrey Siow di GRC Chua Chu Kang, sebagai kritikal demi kesinambungan dan kejayaan masa depan Singapura.
Encik Wong berkata: “Pembaharuan mesti datang, demi Singapura. Kami memerlukan perspektif dan tenaga baru untuk membina Singapura yang lebih baik untuk semua.”
Mengenai dasar ekonomi, Encik Wong mempertahankan keputusan pemerintah untuk menaikkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), dengan alasan bahawa langkah itu penting untuk membiayai sokongan untuk penduduk Singapura yang semakin menua dan mengukuhkan kewangan awam.
Beliau menambah bahawa keputusan untuk menaikkan GST bukanlah mudah tetapi menjelaskan bahawa kerana pemerintah telah membuat keputusan yang sukar pada awalnya, Singapura kini boleh menghadapi cabaran di hadapan dengan penuh keyakinan.
Beliau juga mengkritik cadangan pembangkang untuk melaksanakan gaji minimum secara menyeluruh, satu langkah yang menurutnya boleh meningkatkan kos perniagaan, meningkatkan inflasi dan membawa kepada lebih sedikit peluang pekerjaan untuk pekerja yang terdedah.
Sebaliknya, beliau menegaskan semula komitmen PAP terhadap Model Gaji Progresif (PWM) dan skim seperti Daya Kerja (Workfare), yang katanya memberikan sokongan yang disasarkan dan mampan.
Encik Wong juga berkata agenda PAP melangkaui pengurusan ekonomi segera, kepada wawasan masyarakat yang lebih luas.
Prihatin tentang kebimbangan mengenai tekanan kehidupan moden di Singapura, beliau berjanji untuk meneruskan dasar yang akan mewujudkan “ruang untuk bernafas, ruang untuk bermimpi dan ruang untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna”.
Menggariskan pembaharuan yang berterusan dalam pendidikan, cuti ibu bapa, kesihatan mental dan sokongan penjagaan, Encik Wong berkata Singapura mesti mencari keseimbangan yang lebih baik.
Bagi ini, beliau berkata pemerintah akan terus melakukan lebih banyak lagi dengan rakyat Singapura.
Sebagai penutup ucapannya, Encik Wong menyeru rakyat Singapura untuk memberikan kepercayaan mereka kepadanya dan pasukannya, seperti mana rakyat Singapura telah mempercayai PAP untuk mengemudi keluar daripada krisis Covid-19.
“Anda mempercayai saya, Kim Yong, dan pasukan kami pada ketika itu. Anda melihat bagaimana kami menyelamatkan nyawa, menyelamatkan pekerjaan, dan membawa Singapura kembali lebih kuat.
“Kini, sedang Singapura berdepan dengan ketidaktentuan baru, saya meminta anda mempercayai saya dan pasukan saya lagi,” kata Encik Wong.
Singapura akan keluar mengundi pada 3 Mei, dengan Hari Bertenang jatuh pada 2 Mei.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg