Parti Kemajuan Singapura (PSP) telah mengumumkan barisan anggota bagi badan kepimpinan tertingginya.
Dengan ini, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) terbaru parti tersebut dijangka memimpin parti dalam Pilihan Raya Umum (GE) akan datang, yang harus diadakan sebelum November 2025.
Sejumlah 24 calon bertanding dalam pemilihan yang diadakan di ibu pejabat PSP di Pusat Beli-Belah Bukit Timah itu pada 20 Mac dan daripada jumlah itu, 12 anggota dipilih.
Antara anggota yang dipilih adalah mantan setiausaha agung pertama PSP, Dr Tan Cheng Bock, 84 tahun, serta Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) parti tersebut, Encik Leong Mun Wai, 65 tahun dan Cik Hazel Poa, 54 tahun – kesemua mereka bertanding di GRC West Coast pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020).
Enam nama baru dipilih. Mereka ialah Encik Samuel Lim Ngee Tong, 29 tahun; Encik Anthony Neo, 57 tahun; Encik S. Nallakaruppan, 60 tahun; Encik Soh Zheng Long, 36 tahun; Encik Jonathan Tee Kow Loke, 50 tahun dan Encik Joseph Wong Chee Fong, 68 tahun.
Tiga lagi anggota yang dipilih ialah Encik A’bas Kasmani, 71 tahun, Cik Wendy Low Wei Ling, 48 tahun dan Encik Phang Yew Huat, 65 tahun.
Lapan anggota CEC sebelumnya tidak dipilih semula, termasuk beberapa calon dari pilihan raya lalu. Mereka ialah Dr Ang Yong Guan, Encik Harish Pillay, Encik Jeffrey Khoo, Encik Nadarajah Loganathan and Encik Lim Cher Hong.
Sekitar 90 kader paling rapat dengan kepimpinan parti hadir untuk membuang undi dan memilih CEC baru.
Menyusuli ini, dua lagi kader akan dilantik untuk membentuk badan 14 anggota yang bersama akan memutuskan jawatan kepimpinan, termasuk ketua parti, iaitu setiausaha agung.
CEC baru akan berkhidmat bagi penggal Mac 2025 hingga Mac 2027.
Encik Leong, yang dilihat meninggalkan ibu pejabat parti di Pusat Beli-Belah Bukit Timah selepas acara itu memberitahu wartawan parti tersebut akan mengumumkan jawatan kepimpinan, termasuk setiausaha agung, pada tarikh akan datang.
Beliau berkata PSP sentiasa bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum.
Pemerhati politik sebelum ini berkata hanya dua calon yang dianggap serius bagi jawatan setiausaha agung, iaitu kededua NCMP, Encik Leong dan Cik Poa. Cik Poa adalah setiausaha agung sehingga pemilihan CEC terkini ini.
Encik Leong, yang pada masa ini tidak memegang sebarang jawatan dalam CEC, kali pertama menjadi setiausaha agung pada April 2023.
Beliau meletak jawatan sebagai setiausaha agung pada Februari 2024, demi bertanggungjawab ke atas satu arahan pembetulan yang diterimanya di bawah undang-undang berita palsu Singapura bagi satu hantaran media sosial.
Jika Encik Leong menggalas semula jawatan itu, ia adalah kali kelima parti menukar pemimpinnya sejak ia ditubuhkan pada 2019.
Cik Poa ialah setiausaha agung keempat PSP dan merupakan naib pengerusi parti sebelum itu.
Pengasas dan pengerusi semasa PSP, Dr Tan, adalah setiausaha agung pertama parti tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg