Setahun selepas menyertai politik dan dipilih sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi, masih berdepan pertanyaan mengenai keputusannya melepaskan jawatan sebagai Anggota Parlimen Dilantik (NMP) sebelum bertanding di bawah ‘tiket’ Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan itu dibuat berlandaskan prinsip yang sama yang menjadi pegangan hidupnya selama ini – keikhlasan, kejujuran dan keinginan untuk terus berbakti kepada masyarakat.

“Mungkin saya bawa kembali kepada dasar di mana saya membuat keputusan saya sejak sekian lama ini,” katanya dalam podcast BHerbual, Berita Harian.

“Apabila ingin melakukan sesuatu, perlu kita lihat kepada keikhlasan dan kejujuran, dan kedua, di mana ada peluang untuk menabur bakti kepada masyarakat, kita cuba.”

Keputusan beliau menyertai parti pemerintah, PAP, sebelum Pilihan Raya Umum 2025 mengundang kritikan daripada sesetengah pihak yang mempersoalkan sama ada seorang NMP wajar beralih terus kepada politik kepartian.

Ada yang berpendapat langkah tersebut menimbulkan persoalan mengenai kebebasan dan sifat tidak berkecuali yang menjadi asas kepada institusi NMP.

Menjawab perkara itu, Dr Syed Harun berkata rekod perbahasannya di Parlimen ketika menjadi NMP menunjukkan beliau tidak teragak-agak mengemukakan pandangan kritikal dan cadangan penambahbaikan kepada pemerintah.

“Saya mencetuskan banyak usul dan ucapan di mana terdapat juga saya memberi kritikan kepada pihak pemerintah di mana saya rasa banyak yang boleh kita perbaharui dan banyak juga boleh kita lakukan dengan lebih baik,” katanya.

Beliau merujuk kepada isu seperti kesihatan mental, pembangunan belia, perpaduan sosial dan ruang bersama yang pernah diketengahkannya ketika menjadi NMP.

Menurut beliau, apabila peluang untuk memasuki politik pilihan raya muncul, perkara paling penting ialah memastikan integriti institusi NMP terus dipelihara.

Atas sebab itu, beliau memilih untuk meletakkan jawatan sebelum menerima pencalonan politik.

“Apabila kita rasa tidak dapat lagi melunaskan tanggungjawab tersebut mengikut apa yang diperlukan sebagai NMP, yang perlu dan yang mesti ialah untuk meletakkan jawatan,” katanya.

Beliau mengakui langkah itu bukan sesuatu yang mudah.

“Adakah ia satu langkah yang sukar untuk dilakukan? Semestinya. Adakah ia membawa kepada ketidakselesaan? Semestinya,” akui Dr Syed Harun.

Namun, beliau kekal yakin keputusan itu tepat.

“Ia perkara yang betul untuk dilakukan,” ujarnya.

Kini, sebagai AP dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), beliau berkata tumpuannya adalah kepada amanah yang diberikan penduduk Nee Soon serta tanggungjawab yang dipikul di Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND).

“Penduduk melihat kepada saya sebagai Anggota Parlimen.

“Apakah keikhlasan dan kejujuran yang anda bawa kepada kejiranan, dan apakah yang akan anda lakukan untuk memperbaiki keadaan mereka. Itu yang penting bagi mereka,” katanya.

Imbas kod QR untuk mendengar podcast penuh.
Imbas kod QR untuk mendengar podcast penuh. - Foto BH