Membentangkan isu kompleks yang dihadapi rakyat Singapura memerlukan lebih daripada hanya menyuarakan kebimbangan, kata calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha.
Sebaliknya, ia memerlukan kerja keras dan tindakan yang konsisten, tambah beliau dalam ucapannya di rapat umum PAP di Maktab Rendah Tampines Meridian, pada 28 April.
“Senang untuk mengetengahkan masalah, tetapi cabaran yang sebenar terletak pada penyelesaian yang menyusuli,” kata Encik Sharael yang bertanding untuk penggal keduanya.
Semasa berucap, Encik Sharael menyentuh tentang pelbagai cabaran yang dihadapi rakyat Singapura – daripada ketidakpastian pekerja, tekanan dunia yang kerap berubah kepada peningkatan kos sara hidup.
Beliau menekankan bagaimana kebimbangan menjejas penduduk di Pasir Ris, Changi, dan Ubin – kawasan yang beliau anggap seperti keluarga.
“Khidmat saya sebagai Anggota Parlimen (AP) selama lima tahun ini adalah satu penghormatan yang luar biasa,” katanya, sambil mengucapkan terima kasih kepada penduduk atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.
Mengenang perjalanannya selama lima tahun lalu, Encik Sharael menekankan bagaimana mendengar kisah penduduk hasil lawatannya ke pasar, kedai kopi dan kunjungan dari rumah ke rumah, membentuk tugas yang beliau lakukan di Parlimen.
Encik Sharael menunjukkan tindakan konkrit yang diambil bagi menangani isu utama seperti tekanan kos sara hidup, sokongan penjaga, serta dasar kesihatan dan perumahan yang lebih adil.
Beliau berkongsi bagaimana, melalui penglibatan langsung dengan masyarakat, beliau telah mengemukakan kebimbangan mengenai isu-isu itu di Parlimen.
“Saya telah mengutarakan kebimbangan tentang tekanan kos sara hidup, memperjuangkan peningkatan Geran Penjagaan di Rumah, dan menyuarakan keperluan perlindungan yang lebih baik untuk pekerja ‘gig’ dan berpendapatan rendah.
“Terutamanya dari segi penjagaan kesihatan apabila mereka cedera di tempat kerja,” kata Encik Sharael.
Selain isu segera, beliau turut menekankan kepentingan perancangan jangka panjang, dengan memberi tumpuan kepada inisiatif untuk melindungi ekonomi Singapura daripada cabaran sejagat, menyokong peningkatan kemahiran, dan melabur dalam penyelesaian tenaga mampan seperti hidrogen dan tenaga nuklear.
“Sama seperti anda, saya percaya dalam membina Singapura yang bukan sahaja untuk hari ini, malah untuk generasi anak dan cucu kita,” ujar beliau.
Melihat ke hadapan, Encik Sharael memberi tumpuan kepada pengukuhan masyarakat.
Beliau turut menyentuh mengenai pembangunan berterusan di Pasir Ris-Changi sebagai bandar terangkum, mampan dan terhubung.
Ini termasuk meningkatkan aksesibiliti dengan ciri mesra golongan kurang upaya, memperluas taman, dan menyokong daya usaha kemampanan seperti ladang bandar, pengecas kenderaan elekrikal (EV) dan panel solar.
Visi beliau termasuk menjadikan Pasir Ris-Changi hab pembangunan belia, melalui program seperti sokongan kesihatan mental, bimbingan untuk belia berisiko dan pembangunan kemahiran dalam teknologi digital seperti kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.
Encik Sharael turut memohon sokongan pengundi dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), mengajak mereka meneruskan perjalanan bersamanya untuk membina masa depan lebih cerah bagi semua.
“Marilah kita mencipta hari esok yang lebih cerah bersama... Bersama, kita akan cipta Singapura di mana tiada sesiapa yang ditinggalkan, di mana harapan bersinar terang dan setiap individu mempunyai peluang untuk berjaya,” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg